Memaparkan catatan dengan label sejarah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sejarah. Papar semua catatan

Rabu, 20 Ogos 2014

Maklumat Negara Lanna


Kerajaan Zaman Awal

Negara Siṃhanavati
Negara Hirañya Ngěnyāng
Negara Phayao

Kerajaan Zaman Pertengahan

Negara Lanna
Negara Jāya Nārāyaṇa

Zaman Moden

Negara Rattanatiṃśa Chiangmai
Negeri Lampang

Rujukan
  • Hikayat-hikayat daun lontar Chiangmai kemungkinan bermula ditulis pada lewat abad ke-15 M. Versi terjemahan bahasa Inggeris diperbuat pada 1828. 
  • Hikayat Jinakālamāli digubah oleh Ratanapañña (16 M) mengenai kemunculan awal ajaran Buddha serta rekod sejarah negeri-negeri utara rantau Indochina.
  • Hikayat Burma oleh Zinme Yawazin (Chiangmai) (2012). Rujuk Forbes, Andrew dan Henley, David, Ancient Chiang Mai, bil. 4. Chiang Mai, Cognoscenti Books.

Kerajaan Hirañya Ngěnyāng


Kerajaan ini merupakan negara awal orang Thai Utara bermula dari abad ke-7 M sehingga ke-13 M. Ia mula berpusat di Hirañya yang sebelum itu digelar Vieng Prěuksa. Kini tempat itu terletak di daerah Mae Sai di negeri Chiangrai. 

Ibu kota negara ini kemudian berpindah ke Ngěnyāng (Chiang Saen). Negara ini pernah didahului negara Hindu yang lain, negara Siṃhanavati. Raja ke-17, raja Mangrāi menjadi pengasas kepada negara Lanna. Berbeza dengan negara-negara Tai lain ketika itu, kerajaan Hirañya Ngěnyāng disebut juga oleh hikayat-hikayat tempatan. Oleh itu, mudah sekali untuk mengesan sejarahnya.

Pada 545 M, gempa bumi memusnahkan negara-kota Naga dan negara Siṃhanavati. Mereka yang terselamat berkumpul dan berbincang untuk melantik raja di Vieng Prěuksa. Prěuksa bermaksud, berbincang. Selepas 93 tahun mereka menjalani sistem beraja berganti-ganti, raja Kalavarnadit dari negara Lavo memaksa Vieng Prěuksa untuk menerima Lavachakka menjadi raja mereka pada 638 M. kemudian dinamakan semula, negara Hirañ.

Lavachakka ini dihipotesiskan sebagai ketua puak di kawasan itu yang menerima sokongan negara Lavo. Wangsa Lao dari Lavachakkaraja kemudian memerintah selama 700 tahun di situ. Laokiang, raja ke-10, membina kota di Ngěnyāng (Chiang Saen) sekitar 850 M. Ibu kota pun berpindah ke situ dan baginda menjadi raja pertama di Ngěnyāng. Rantau jajahan negara ini didakwa melebar dari barat di Chiang Saen sehingga ke Luang Prabang di utara Laos sehingga ke Thaeng di Điện Biên Phủ di Vietnam.

Kerajaan ini pernah dijajah oleh orang Tai suku Lu dari negara Chianghung (Jingrong) di China pada 1250 M. Kawasan utara yang dijajah itu kekal begitu sehingga penaklukan Mongol dinasti Yuan. Agama penduduk di Ngěnyāng tebal sekali dipengaruhi oleh ajaran Buddha Theravada seperti yang dianuti oleh kerajaan Haripuñjāya di selatan.

Sekitar tahun 1250, Laomeng, raja ke-16, mengasaskan negara-kota Chiangrai. Putera baginda, Mangrai memindahkan ibu kota ke Chiangrai sebaik saja bertakhta pada 1262. Pada 1281, Mangrai menjajah Haripuñjāya dan merampas kota Lamphun.

Selasa, 19 Ogos 2014

Senarai Raja Pemerintah Haripuñjāya


Wangsa Jamadevi

Ratu Jamadevi
Hanayos
Kumanjaraja
Rudantra
Sonamanjusaka
Samsara
Padumaraj
Kusadeva
Nokaraja
Dasaraja
Gutta
Sera
Yuvaraja
Brahmtarayo
Muksa
Traphaka
Uchitachakraphad, raja Lavo
Kampol
Jakaphadiraj, raja Atikuyaburi
Vasudeva
Yeyyala
Maharaja, raja Lampang
Sela
Kanchana
Chilanka
Phunthula
Ditta
Chettharaja
Jeyakaraja
Phatijjaraja
Dharmikaraja
Ratharaja
Sabhasitha
Chettharaja
Jeyakaraja
Datvanyaraja
Ganga
Siribun
Uthen
Phanton
Atana
Havam
Trangal
Yotta
Yibha

Kebudayaan dan Kepercayaan

Negara ini dipengaruhi kebudayaan dari ajaran Buddha Theravada. Raja-raja mereka semua sangat mengambil berat mengenai ajaran agama. Orang Senoi dari bangsa Mon ini menerima budaya dan kesenian Hindu (India). Beberapa abad lamanya, mereka menjadi agen penyebar budaya dan nilai-nilai Hindu di Indochina. Nama-nama berbunyi bahasa Sanskrit sebagai nama tempat di Thailand moden itu merupakan hasil pengaruh budaya dan pengaruh Hindu yang lama itu.

Maklumat: Negara Haripuñjāya


Negara ini suatu ketika dulu wujud di rantau utara Thailand moden. Negara ini dibangunkan oleh orang-orang Senoi dari bangsa Mon. Ibu kota mereka berpusat di Lamphun. Ia bermula sekitar 661 M dan berakhir pada 1292 selepas dihentam teruk oleh bangsa Tai-Lanna. Kemudian, ia diserap menjadi sebahagian daripada negara Lanna.

Pengasasan

Menurut Hikayat Jamadevivaṃśa dan Jinakalamali, kota itu diasaskan oleh seorang yogi bernama Vasudeva pada 661 M. Hikayat Tai Yonok menyebut bahawa Vasudeva mengupah beberapa kumpulan etnik Mon untuk membina kota. Kota itu terletak antara sungai Mae Ping dan Mae Kwuang. Kemudian, pemerintah negara Lavo menghantar puterinya, Jamadevi, untuk menjadi ratu serta pemerintah pertama di kota Haripuñjāya atas jemputan Vasudeva.

Setengah orang menganggap tarikh itu terlampau awal. Mereka menganggap tarikh sebenar kota ini bermula sekitar 750 M. Ketika itu pun, kebanyakan rantau tengah ketika itu diperintah oleh pemerintah Senoi etnik Mon yang bersekutu dalam kerajaan Dvaravati. Ratu Jamadevi mempunyai dua putera. Yang sulung memerintah di Lamphun, manakala yang bongsu pula di Lampang yang berjiran.

Lagenda Ratu Jamadevi

Cerita hikayat mengenai ratu orang Senoi ini terkenal dalam tradisi lisan dan bertulis kerajaan Lanna. Ratu ini mengembara di seluruh pelosok kerajaan dan mengetuai pasukan kesatria, bhiksu Buddha dan pendita-pendita Brahmin. Baginda turut membawa bersama karyawan seni dalam usaha beraninya memperluas jajahan.

Malang sekali, sebelum baginda sempat melunaskan impian tersebut, peperangan besar pula meletus. Negara kota baginda dan kebebasannya terancam. Ratu Jamadevi bersama barisan tentera baginda pun teguh bertahan menerima hentaman orang Kemboja.

Menerima Agama Buddha

Seterusnya, ratu Jamadevi memperkenal ajaran Buddha di kota Haripuñjāya. Semenjak itu, penduduk di situ setia berpegang dengan ajaran Buddha. Pada kurun ke-8 M, penyebar-penyebar ajaran Buddha dari Sri Lanka pun tiba lalu memperkenal aliran Theravada-Langkavaṃśa kepada orang Senoi suku bangsa Mon itu.

Orang Mon setia memeluk ajaran Buddha dan turut menyebarkannya ke timur di sempadan empayar Angkor di Kemboja dan di negara orang Melayu di selatan, negara Tambralinga. Tradisi Brahmin dan Buddha berkembang tanpa pertelingkahan.

Tradisi Brahmin Hindu terus memberi latarbelakang budaya penduduk sedangkan nilai-nilai ajaran Buddha dan ajaran akhlak hidup mulia diamalkan. Walaupun ajaran Buddha adalah agama rasmi orang Mon dan orang Khmer, namun amalan asli mereka sebagai suku-sakat bangsa Senoi pun masih lagi diamalkan.

Hikayat Jamadevivaṃśa

Laurent Hennequin menyebut bahawa:
Sejarah kerajaan Haripuñjāya yang kini terletak di Lamphun dalam rantau utara Thailand, memang diketahui oleh khalayak ahli akademik menerusi hikayat-hikayat lain. Namun, hikayat-hikayat itu sering bercanggah sesama sendiri, terutamanya dari segi kronologi peristiwa. Tiada bukti kontemporari pula untuk mengesahkan kejadian. Kronologi sebelum pembentukan wilayah-wilayah pra-negara Thai untuk negara Haripuñjāya ini merumitkan pengkajian sejarawan disebabkan oleh pelbagai sebab seperti kenyataan bercanggah, kurang dokumen asal, batu bersurat pun sedikit sahaja tidak melebihi 10 dan kurang bermaklumat.
Lagenda Jamadevivaṃśa ini dikumpul dan ditulis semula oleh seorang bhiksu Buddha senior, Mahathera Bodhiramsi pada awal kurun ke-15 M. Ia ditulis dengan bahasa Pali menceritakan semula mengenai pengasasan negara Haripuñjāya di Chiangmai pada abad ke-7 M.

Sama seperti hikayat-hikayat Pali Theravada lain, lagenda itu turut dijalinkan dengan cerita-cerita politik dan keagamaan seperti permulaan silsilah kerabat Jamadevi dan perlindungan yang diberi kerajaan terhadap agama Buddha.

Salah satu ciri yang jelas berselari dengan cerita-cerita teks lain dalam kitab ini adalah cerita mengenai Siddhartha Gautama Buddha berziarah ke utara Thailand pada zaman baginda, ramalan baginda bahawa peninggalan baginda nanti ditemui oleh si folan dan si folan dan ternyata peninggalan tersebut ditemui oleh raja Adittaraja pada abad ke-11 M. Begitu juga baginda Buddha meramal mengenai permulaan wangsa tertentu oleh seorang ratu dan kerabatnya memerintah negara itu selama 500 tahun.

Kegemilangan dan Kejatuhan

Hikayat-hikayat menyebut bahawa orang Khmer dari timur gagal menghentam kota ini beberapa kali semasa abad ke-11 M. Ketika itu, konflik dan pertempuran meluaskan jajahan sering terjadi.

Empayar Angkor di Kambūjadeśa disatukan semula oleh maharaja Suryavarman II (1113-1150 M). Baginda memulakan projek pembinaan Kuil Angkor yang mengambil masa selama 37 tahun untuk disiapkan. Kuil itu dibina untuk menyembah dewa Vishnu. Suryavarman II berjaya menjajah sebahagian saja daripada Haripuñjāya di barat. Sejak itu, Haripuñjāya bertahan dari serangan bangsa Khmer dan raja memerintah kota itu sebagai daerah merdeka.

Raja Yiba, pemerintah terakhir kalah perang dengan raja Mangrai, pemerintah Lanna pada 1282. Selepas itu, pentadbiran pusat negara Lanna dibawa ke Chiangmai. Haripuñjāya pula menjadi pusat keagamaan Buddha. Di situ terletak biara negara Haripuñjāya, Phra Brahmadhatu. Ia menjadi simbol kegemilangan agama Buddha di utara. Kemudian raja-raja Lanna terus melindungi dan menggunakan juga cetiya di situ untuk aktiviti keagamaan. Budaya Haripuñjāya dari Lamphun turut mempengaruhi orang Tai-Lanna terutamanya di Chiangmai, Chiangrai dan Viangkum Kam.

Zaman Moden

Lamphun diserap ke empayar Siam oleh raja Thaksin. Sejak itu, ia diperintah oleh gabenor sehingga 1922 apabila gabenor terakhir, mejar jeneral Tengku Chakkham Khachonsak mangkat.

Selasa, 8 April 2014

Sejarah Thailand


Sila klik di tajuk yang berikut untuk mengakses pautan maklumat ringkas:

Mukadimah

Lagu Kebangsaan Thailand
Ringkasan Pengenalan

Sejarah Kerantauan Thailand

Rantau Utara
Rantau Tengah
Rantau Selatan
Rantau Timur Laut

Sabtu, 2 Mac 2013

Sejarah Thailand: Demokrasi


Selepas 1973, Thailand menghadapi masalah hendak mentakrifkan penyesuaian politik bagi negara. Sistem negara dimenangi oleh raja dan Jeneral Prem Tinsulanonda yang lebih condong ke arah perlembagaan beraja. Zaman itu adalah zaman sukar sekali kerana berlaku pergolakan berdarah melibatkan tentera dengan orang awam. 

Revolusi 1973 merasmikann tempoh demokrasi yang tidak stabil untuk beberapa lama dengan pemerintahan ketenteraan dikenakan semula selepas pembunuhan besar-besaran 6 Oktober 1976. Thailand diperintah dari 1980-an oleh Prem Tinsulanonda yang merupakan orang yang percaya kepada demokrasi dan mengembalikan politik berparlimen. Maka, Thailand kekal menjadi negara demokrasi walaupun ada ketikanya ia diperintah oleh pihak tentera misalnya pada 1991-1992.

Parti Thai Rak Thai yang populis diketuai oleh bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra berkuasa pada 2001. Beliau popular di kawasan bandar, pinggir bandar dan dalam kalangan orang miskin di kampung-kampung sebab program-program kemasyarakatannya yang populis. Pemerintahan beliau ini dipandang sebagai mengancam oleh kelompok elit kerana beliau bersikap kuku besi di parlimen.

Pada pertengahan 2005, Sondhi Limthongkun yang merupakan hartawan media berjaya menjadi pengkritik paling utama Thaksin. Sondhi Limthongkun ini dari keluarga imigran Cina di Thailand. Sondhi dan sekutunya membentuk gerakan dan protes besar-besaran sebelum disatukn dengan nama Perikatan Orang Ramai untuk Demokrasi (PAD).

Pada 19 September 2006, selepas pembubaran parlimen, Thaksin menjadi ketua kepada kerajaan sementara. Semasa beliau berada di New York bermesyuarat dengan PBB, komander tentera ketua leftenen Jeneral Sondhi Boonyaratglin melancarkan rampasan kuasa tentera dengan dibantu oleh unsur-unsur anti-Thaksin dalam masyarakat sivil dan antara mereka juga adalah parti demokrat.

Pilihanraya umum 23 Disember 2007 mengembalikan semula kerajaan orang awam diketuai oleh Samak Sundaravej dari parti kuasa rakyat sebagai menggantikan Thai Rak Thai. Sundaravej ni kuat mencarut, mati dah dia, hahaha... Sundaravej dikritik juga sebab berhubungan rapat dengan bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra. Pada 26 Ogos 2008, kelompok pembantah menawan bangunan kementerian secara haram termasuklah Kediaman Perdana Menteri. Mereka mendesak supaya desakan mereka dikuatkuasakan.

Bermula 29 Ogos, para penunjuk perasaan mengganggu kemudahan udara dan landasan termasuk di lapangan terbang Suvarnabhumi. Mereka tidak pernah didakwa langsung oleh kerajaan. Kacau-bilau berakhir pada Disember apabila tiga parti membentuk kerajaan dibubarkan oleh Mahkamah Perlembagaan disebabkan oleh penipuan dalam pilihanraya. Selepas keputusan ini, banyak rakan kongsi parti perikatan berpecah dan menggabungkan diri mereka dengan parti pembangkang utama iaitu parti Demokrat. Mereka menolak pilihanraya bagi segera membentuk kerajaan baru bagi memberi ruang kepada elit-elit pelindung lama. Pada 3 Julai, parti pembangkang Pheu Thai memenangi pilihanraya dalam tanah runtuh.

Sejarah Thailand: Era Junta Tentera


Revolusi Siam berlaku pada 1932 dipacu kelompok pegawai tentera muda dan pejawat-pejawat awam. Kumpulan ini menjadikan para menteri dalam kalangan kerabat diraja sebagai tawanan sementara raja Rama VII berada di istana musim panas baginda di Hua Hin.

Rampasan kuasa ini dipanggil sebagai Revolusi 1932 menyebabkan berlakunya perubahan dalam Kerajaan Thailand dari kerajaan beraja mutlak kepada kerajaan raja berpelembagaan. Kabinet dipengerusikan oleh perdana menteri. Kelompok tentera memang selalu memainkan peranan penting dalam politik Siam sejak sebelum revolusi itu lagi. Pada 1912, pemerintahan Rama VI, tentera-tentera muda memang pernah merancang merampas kuasa dan mendesak supaya perlembagaan dirombak dengan kedudukan raja dikaji semula namun mereka ditahan.

Raja Rama VII, raja Prajadhipok menerima usul untuk perubahan lantas memberi kurnia kepada Perlembagaan tapi kemudian dipaksa turun takhta sebab pertelingkahan dengan kerajaan. Kerajaan revolusi merancng untuk melantik anak saudara raja Prajadhipok yang baru berusia 10 tahun sebagai raja baru iaitu raja Ananda Mahidol. Semasa sukarela turun dari takhta, raja Prajadhipok bertitah bahawa tugas seorang pemerintah untuk bertakhta itu adalah demi kebaikan semua orang, bukannya demi kelompok orang-orang terpilih sahaja! Dalam sedekad kacau-bilau politik di Thailand, kerajaan revolusi mula terpecah kepada beberapa bahagian iaitu bahagian tentera dan bahagian orang awam.

Keadaan tersebut mula menimbulkan kebimbangan kerana sudah ada unsur-unsur komunisme, unsur pemikiran revolusi melampau dan ultranasionalisme yang menyebabkan berlakunya peperangan dalam kalangan kelompok elit pemerintah yang baru. Pecahan ketenteraan muncul dan pemerintahan rejim tentera dijalankan dengan perdana menterinya, Plaek Phibulsongkhram. Phibulsongkhram adalah seorang ahli dalam sayap ketenteraan revolusi. Rejim tentera beliau itu terkenal dengan propaganda Pan-Thai dengan polisi nasionalis melampau bertujuan untuk menyatukan semua penduduk berbahasa Thai atau Tai tanpa mengira bangsa ke dalam satu kerajaan sahaja! Lanjut lagi, pada 1941, rejim tentera Phibul bersekutu dengan Jepun yang terlibat dalam perang dunia kedua. 

Raja Ananda Mahidol atau Rama VIII mangkat pada 1946 tanpa diketahui penyebabnya. Laporan rasmi menyebut bahawa baginda tertembak dirinya sendiri semasa membersihkan senjata api. Baginda digantikan oleh adinda baginda, Bhumibol Adulyadej yang merupakan raja paling lama bertakhta di Thailand dan paling popular dalam kalangan orang awam. Walaupun Thailand merupakan kerajaan raja berperlembagaan, ia diperintah oleh pentadbiran ketenteraan dikepalai oleh Plaek Phibulsongkhram dan Sarit Dhanarajata selain diselang-seli dengan tempoh sekejap-sekejap demokrasi berjalan.

Pada Januari 1941, Thailand menyerang Indochina jajahan Perancis. Perang Perancis-Thai pun berlaku dan tentera Thai lebih ramai serta lebih lengkap persenjataan mereka. Tentera Perancis kalah dan terpaksa menyerahkan Laos kembali kepada Thailand. Walau bagaimanapun, tentera Perancis melebihi armada lautan Thailand lalu mereka menang pula dalam peperangan di Koh Chang. Jepun menjadi orang tengah dalam pertelingkahan dan gencatan senjata umum diisytihar pada 28 Januari. Pada 9 Mei, perjanjian keamanan ditandatangani di Tokyo. Peranacis dipaksa oleh Jepun untuk melepaskan pegangan mereka ke atas wilayah-wilayah yang dipertikaikan.

Pada 8 Disember 1941, beberapa jam sebelum serangan di Pearl Harbor, Jepun menuntut hak bagi menghantar askar mereka merentasi Thailand ke sempadan British Malaya. Jepun menakluki Thailand dan bertembung dengan tentera Thai sebelum Phibulsongkhram mengarahkan gencatan senjata. Sebaik sahaja Jepun diberikan laluan bebas pada 21 Disember 1941, Thailand dan Jepun menandatangai perikatan ketenteraan dengan protokol rahsianya Tokyo bersetuju membantu Thailand untuk menuntut wilayah-wilayah jajahan yang terlepas kepada British serta Perancis misalnya wilayah di negeri-negeri Shan di British Burma, wilayah di British Malaya, Singapura, bahagian daripada Yunnan, Laos dan Kemboja. 

Berikutnya, Thailand "membantu" Jepun dalam perangnya menentang pihak Berikat yang antara lainnya terdiri daripada British. Untuk meyakinkan pihak Jepun mengenai "bantuan" yang ditawarkan, Thailand membekalkan tentera Jepun dengan senjata terkawal seperti senapang Mauser buatan Siam berkaliber tinggi. Pergerakan Seri Thai yang ingin membebaskan Thailand daripada sebarang pengaruh Jepun pula bergerak secara bawah tanah menentang Jepun. Gerakan tersebut diasaskan oleh Seni Pramoj, duta Thailand di Washington. Mereka mendapat bantuan daripada Pejabat Khidmat Strategik Amerika Syarikat (OSS). Di Thailand pula, pejabat pergerakan ini dioperasikan oleh Pridi Banomyong dengan sokongan keluarga diraja misalnya putera Chula Chakrabongse serta sokongan ahli kerajaan.

Selepas kekalahan Jepun pada 1945, disebabkan bantuan Gerakan Seri Thai yang disokong oleh Amerika maka syarat kalah perang atas Thailand dapat dikurangkan walaupun pihak British menuntut ganti rugi dalam bentuk beras yang mesti dihantar ke British Malaya dan pihak Perancis pula mendesak dikembalikan wilayah yang dirampas semasa perang Perancis-Thai. Sebagai tukaran kepada sokongan Kesatuan Soviet Russia dalam kenaikannya ke dalam Bangsa-Bangsa Bersatu, Thailand dituntut supaya memansuhkan perundangan anti-komunisnya.

Selain itu, bekas tawanan perang British yang terselamat ada mendirikan tugu peringatan menghargai bantuan penduduk di Ubon Ratchathani. Dalam zaman selepas perang, Thailand berhubungan rapat dengan Amerika Syarikat. Amerika Syarikat dilihat sebagai pelindung daripada ancaman revolusi komunis yang turut melanda negara-negara jirannya. Gerila Komunis wujud di Thailand sekitar awal 60-an sampai ke 1987. Kira-kira 12,000 ahli komunis sedia berperang sepenuh masa tetapi mereka tidak pernah menjadi ancaman serius kepada Thailand. Baru-baru ini juga, Thailand menjadi ahli giat dalam pertubuhan serantau seperti ASEAN, terutamanya selepas pemerintahan demokrasi dipulihkan semula pada 1992.      

Jumaat, 1 Mac 2013

Sejarah Thailand: Era Rattanakosin dan Bangkok


Selama 400 tahun berkuasa, pada 1767, kerajaan Sri Ayutthaya dijatuhkan oleh tentera empayar Burma. Ibu kota dibakar dan wilayah-wilayah dipecahkan. Jeneral Thaksin kemudian berjaya menyatukan semula kerajaan Siam dan membuka ibu kota baru di Thonburi. Baginda mengisytiharkan diri baginda sebagai raja baru.  Walau bagaimanapun, terdapat khabar angin bahawa disebabkan oleh tekanan yang tak tertahan menghadapi kekacauan maka raja Thaksin terkena penyakit kurang siuman.

Jeneral Chakri pula membantu memerintah empayar Siam. Dikatakan bahawa raja Thaksin diperintah menjadi sami Buddha dan mesti bertapa dalam hutan jangan kelihatan di muka umum lagi. Ada juga berita mengatakan bahawa Jeneral Thaksin sebenarnya disingkirkan oleh Jeneral Chakri. Jeneral Chakri kemudian naik menggantikannya pada 1782 dengan memakai gelaran raja Rama I. Baginda melantik adik lelaki baginda menjadi Maha Uparaja dan anak saudara baginda sebagai Phraraja Wang Klang. Keluarga Chakri adalah keluarga keturunan Mon yang berasal dari Siam. Mereka merupakan kelompok orang istana yang pernah berkhidmat dengan wangsa Sri Ayutthaya. Dalam tahun 1782 juga, ibukota kerajaan Rattanakosin dipindahkan ke Bangkok dari Thonburi.   

Pada 1790an, empayar Burma dikalahkan dan dihalau keluar oleh empayar Siam. Lanna kemudian bebas dari penjajahan Burma, tapi raja dari wangsa baru yang dilantik pada 1790an menjadi pemerintah yang menyembah kepada kerabat diraja Chakri. Waris raja Rama I berasa bimbang dengan ancaman penjajahan barat selepas mendengar berita bahawa British berjaya menjajah empayar Burma yang berjiran saja dengannya pada 1826. Pemerintahan kerajaan Rattanakosin mewakili empayar Siam diiktiraf di rantau ini melalui Perjanjian Persahabatan dan Perdagangan antara Siam dengan United Kingdom pada 1826. Pada 1833, Amerika Syarikat memulakan hubungan diplomatik secara rasmi dengan Siam dengan menggunapakai nama negara Thailand sehingga 1939. Kemudian duta dihantar lagi ke Amerika Syarikat dan Siam pada 1945 dan 1949.   

Semasa raja Mongkut bertakhta antara 1804-1868 dan pemerintahan putera baginda, raja Chulalongkorn (1853-1910), Thailand menjalankan penyesuaian diri mereka dengan kuasa-kuasa Barat sebab mereka mula sedar bahawa dunia bukan hanya berlegar di sekeliling mereka sahaja. Pandangan umumnya menyatakan bahawa Thailand menggunakan kemahiran diplomatiknya dan menggabungkannya dengan pembaharuan serta permodenan pentadbiran yang menyebabkan Siam menjadi satu-satunya negara di Asia Tenggara yang dapat mengelakkan penjajahan Eropah. Hal ini tercermin dalam nama moden negara tersebut, iaitu Prathet Thai atau Negara Thai yang terpakai sejak 1939 walaupun nama Siam dikembalikan pada antara 1945-1949. Prathet berasal dari bahasa Sanskrit, Pradesh yang bermaksud negara.  

Perjanjian Anglo-Siam pada 1909 mentakrifkan semula sempadan moden antara Siam dengan British Malaya dengan menetapkan kekuasaan empayar Siam ke atas wilayah-wilayah orang Melayu seperti Patani, Yala, Narathiwat dan Satun yang sebelum itu merupakan kesultanan yang separa bebas seperti kesultanan Kedah atau bahagian kesultanan Patani.

Di bahagian sempadan timur Siam pula, beberapa siri perjanjian diperbuat dengan Perancis melibatkan wilayah-wilayah Laos dan Kemboja.

Sejarah Thailand: Empayar Siam

Sebelum itu, apakah takrifan empayar? Semua orang pun pandai menggunakan perkataan ini tetapi ada tak cubaan untuk menyelidiki perkataan ini dari segi kegunaannya sebagai istilah yang merangkumi konsep kepada sesuatu perkara?

Kata empayar berasal dari bahasa Latin iaitu imperium yang bermaksud "kuasa" atau "kekuasaan". Dari segi politik, empayar ini merujuk kepada sekumpulan negara dan kelompok manusia dari pelbagai suku kaum yang disatukan dan diperintah sama ada secara sistem monarki melalui seorang maharaja atau diperintah oleh kelompok elit kecil secara nepotisme dan kronisme. 

Istilah ini semua pun ada dalam pengajian ekonomi selain daripada pengajian politik dan perundangan contohnya perniagaan secara perbadanan rentas sempadan. Dalam politik pula, empyar boleh merujuk kepada organisasi politik sama ada bersifat kebangsaan, rantau, atau kota yang dikuasai oleh seorang ketua politik atau pun sekumpulan orang yang berkuasa yang kita panggil sebagai bos-bos politik (Oxford, 2008).

Struktur politik imperial pula diasaskan dan dikekalkan melalui dua cara....

1. Empayar Kewilayahan

Empayar terbentuk melalui penaklukan terus dan penguasaan dijalankan menerusi ketenteraan yang biasanya melibatkan tindakan memaksa bagi memenuhi matlamat sang maharaja. Pemerintahan dijalankan terus dari pusat tetapi mengehadkan pula perluasan kuasa kerana ia menyerap kuasa ketenteraan di sempadan ketenteraan yang ditetapkan. Contoh empayar semacam ini adalah empayar Mongol atau empayar Media yang kawasan taklukannya adalah berdampingan sesama sendiri di atas darat.

2. Empayar Hegemoni Paksaan

Empayar dibentuk menerusi penaklukan tidak terus dan mengawal negeri-negeri taklukan dengan kuasa. Maharaja dipandang boleh melaksanakan secara fizikal segala matlamatnya.

Empayar juga digunakan bagi merujuk kepada empayar-empayar kelautan misalnya empayar Athena atau empayar British dengan struktur yang lebih longgar dan wilayahnya yang berterabur di seluruh dunia.   

Untuk maklumat lanjut tentang perkara pemerintahan pula, boleh lah merujuk kepada Bentuk Asas kepada Kerajaan. Ada banyak buku rujukan sama ada secara atas talian bentuk naskah halus atau pun yang berbentuk naskah keras. Hendak sebut sesuatu perkataan memang senang tetapi hendak memahami konsepnya bukan semudah perkataan itu jatuh seperti tahi lembu. 

Sebab terjadi polemik mak nenek mengenai Siam atau sebagainya, awalannya sekali adalah disebabkan ketidakfahaman konsep "politik" dan perundangan. Aku sebenarnya bekas pelajar aliran Syariah dari gabungan pendidikan pondok dan bahagian agama rakyat ikut cara pendidikan budak-budak peranakan Arab-Malaya yang tradisional. Bahasa ibunda kami bahasa Melayu sebab mak-mak kami adalah orang Melayu Kedah atau orang Acheh tapi bapa kami keturunan Arab ikut jati negeri-negeri Melayu Utara yang ada juga hubungan dengan India sebab kegiatan dakwah ala-ala Tabligh macam itu, haha. Selain daripada mengaji agama serta wahyu, kami kena melihat kepada logik akal. Hangpa jangan terkejut pulak budak aliran Syariah pernah keluar masuk tokong Buddha atau Wat Siam. Syariah itu perundangan Islamlah tetapi untuk belajar Syariah atau perundangaan Sivil sekalipun, pengetahuan sejarah, politik, bahasa dari yang asas sampai sastera, kemasyarakatan, falsafah, sains keagamaan, logik, isu semasa dalam pelbagai bidang dan sebagainya sangat penting bagi menjatuhkan hukuman atau dalam pembuatan keputusan dan dasar-dasar bila melibatkan dunia sekular. 

Orang-orang yang asal dari non-pengajian agama tapi baru duk berjinak-jinak kebanyakannya suka bercakap guna bau agama macamlah depa tunggang terbalik beribu-ribu kali sehari walapun semayang subuh berjemaah selalu terlepas. Dak pun buat subuh gajah atau jadi lebai maghrib saja. Itu pun kira baik tak tersanggah dah. Tapi bercakap bab agama, dia yang champion, Tuhan pun kalah dengan dia bila dia mengadili orang duk Buddha kapir ke sana dia Islam ke sini lemah lembut sopan gemalai kalah puak Arab unta yang dulu buta jahiliah sembah kurma lepas tu makan. Rupanya, bercakap bab-bab ni semua sebab hal duniawi belaka (politik, gila kuasa, nasionalisme assabiyah, takbur membesar diri riyak, ujub), hati bukan mengadap kepada-Nya... lol.

Kerajaan Tengah: Sri Ayutthaya

Yang disebut sebagai Siam itu sebenarnya merujuk kepada kerajaan yang ini. Empayar Siam yang kita nampak hari ini berasal dari sini. Kota Ayutthaya ini terletak di atas pulau kecil atau delta dikelilingi oleh tiga sungai. Kedudukan dia yang pelik ini menjadikannya berpengaruh dari segi ekonomi dan politik dalam sekejap mata sahaja. Sebutan kepada kerajaan ini ada banyak jenis dari sebutan Ayothaya yang berasal dari bandar suci orang Hindu Purba di Gujerat sana melalui epik Ramayana. Kadang-kadang digelar sebagai Krung Thep atau Kurung Dewa yang bermaksud Gunungan para Malaikat, Phra Nakorn (Phra Negara) dan Dvaravati yang merujuk kepada gabungan negara kota orang Mon Purba di tengah Thailand hari ini. Kerajaan ini adalah kerajaan orang Tai tetapi bukan sepenuhnya kerana ia diperintah kemudiannya oleh pelbagai wangsa atau dinasti yang berbilang kaum.

Pemerintah pertama kerajaan ini adalah raja Ramadhipatti I atau sebutan bahasa Thai nya, Ramathibodi I memerintah dari 1351 sampai 1369. Baginda mendakwa diri baginda berasal dari Khun Borom dan berasal dari Chiang Saen yang sekarang berada dalam wilayah Chiang Rai di Utara Thailand. Baginda berkahwin dengan puteri raja dari kerajaan Suvarnabhumi iaitu bahagian negeri orang Mon Purba. Melalui hubungan kerabat diraja, mereka mengawal kerajaan Lopburi (Lavo) dan kerajaan Suphanburi (Suvarnabhumi) yang asalnya adalah kerajaan orang asli atau orang darat.

Ramathibodi I membuat sumbangan besar dalam sejarah apabila baginda menjadikan kerajaannya sebagai payung dharma Buddha (agama kerajaan) dan aliran Theravada menjadi ikutan penduduk semua bagi membezakan kerajaan mereka dengan kerajaan Angkor yang berjiran. Yang lainnya, baginda mengumpulkan semula kod perundangan adat-istiadat berdasarkan agama Hindu, Dharmasastra dan menggabungkannya dengan adat orang Thai. Dharmasastra yang seketul itu masih menjadi sumber perundangan Siam sampai lewat abad ke-19 M.

Contoh hukuman dari Dharmasastra itu seperti sula di tengah kota. Kalau siapa-siapa yang "Melayu" sangat itu pernah baca kisah sejarah Melayu, bab Betara Majapahit menyerang Singapura itu. Penyebab pintu kota dibuka oleh Sang Rajuna Tapa kepada puak Jawa Hindu adalah disebabkan oleh perbuatan honar sultan Iskandar Syah yang menyula anak perempuan Rajuna Tapa tanpa usul periksa. Perempuan itu sebenarnya difitnah oleh gundik sultan yang lain kerana biasa lah ada kaki dengki dalam masyarakat "nusantara" ini. Rajuna Tapa dan keluarganya dimalukan dengan hukuman tersebut lalu membuka pintu kota pada malam hari. Pengakhir cerita itu sebut, Rajuna Tapa dan isteri disumpah jadi batu sebab melawan raja yang tidak adil. Hukuman sula pun masih dijalankan sebagai adat-istiadat orang Melayu walaupun sudah menganut Islam menjadi mualaf hasil pengaruh agama lama mereka dari kitab Dharmasastra bagi panduan pentadbir Hindu atau kelompok kesatria.

Selama 417 tahun kemunculannya, kerajaan Sri Ayutthaya ini sering dicemari dengan peperangan dalaman namun hal ini tidak menghalangnya untuk naik menjadi kuasa utama di daratan Asia Tenggara. Kebudayaan Sri Ayutthaya serta tradisinya yang menjadi model bagi abad seterusnya dalam sejarah Thailand iaitu semasa zaman Rattanakosin dan wangsa Chakri. 

Bermula dengan ketibaan duta Portugal, Doarte Fernandes pada 1511, kota Sri Ayutthyaa mula dikenali sebagai Kerajaan Siam oleh oranag Eropah. Kerajaan ini mula berhubungan dengan dunia Barat pada abad ke-16 M. Ia menjadi salah satu kota termakmur di Asia Timur. Menurut kepada George Modelski, Sri Ayutthaya dianggap sebagai antara kotaraya terbesar di dunia pada 1700 M dengan kependudukan seramai 1 juta orang. 

Perdagangan juga dijalankan dengan orang Belanda dan Perancis selain dengan orang Cina dan orang Jepun. Zaman pemerintahan Ayutthaya dikenali sebagai zaman keemasan bagi ubat-ubatan tradisional di Siam. Mereka mahir dalam rempah ratus yang aku rasa mungkin diambil dari pengetahuan kitab-kitab perubatan Hindu Purba dalam daun lontar yang ditulis oleh orang-orang asli berkebudayaan Hindu.

Pada tahun 1563 M, 15 tahun lepas kemangkatan ratu Suriyothai... Putera Burennaung menaiki takhta sebagai raja Hamsavati menggantikan raja Tabenshweti dalam kerajaan Burma di Myanmar moden. Baginda mengepalai angkatan tenteranya melintasi Moulmein dan sempadannya merampas kota-kota orang Tai di utara dalam pada tujuan asalnya hendak menjarah Sri Ayutthaya. Sebaik sahaja berjaya mengawal Kamphaenphet, kerajaan Sukhothai dan Sawankhalok, raja Burennaung membawa askar-askarnya ke utara di Phitsanulok. Phitsanulok dikalahkan oleh raja Burennaung dan putera Ong Dam diculik sebagai tawanan. Putera Ong Dam yang dikenali sebagai Nareswara (Naresuan) merupakan adinda kepada putera Ekathat. Baginda putera Ong Dam dilatih dalam adat istiadat perang di Burma.

Orang Mon di Burma memberikan sokongan kepada putera Ong Dam disebabkan oleh hubungan persaudaraan mereka dengan yang di Siam. Raja Burennaung meninggal dunia akibat penyakit dalam pada usaha baginda menentang kerajaan Yakkai. Lepas itu, anak kepada raja Burennaung dilantik menjadi raja Burma. Negara-negara utara yang dijajahi kerajaan Hamsavati seperti Phitsanulok, Ayuttaya dan kelompok masyarakat Mon di Siam dan Myanmar Selatan memberontak untuk mendapatkan kemerdekaan.   

Kerajaan Sri Ayutthaya meluaskan pengaruhnya sampai ke negeri-negeri lama di selatan yang sudah menganut ajaran Islam seperti kesultanan Patani dan kesultanan Kedah, pelabuhan-pelabuhan mengadap laut Andaman di Myanmar moden, kerajaan Angkor di Kemboja sehingga ke negara-negara Tai di utara dan di Laos sekaligus membentuk empayar Siam. Pada abad ke-18 M, kuasa kerajaan Sri Ayutthaya menurun disebabkan oleh percakaran sesama putera raja dan menteri-menteri dalam hal politik. Kawasan jauh yang dipengaruhi empayar Siam mula membebaskan diri dan tidak mendengar arahan perintah ibu kota di tengah. 

Pada abad ke-18 M, empayar Siam melalui fasa akhirnya. Orang Burma menawan kerajaan Lanna dan menggabungkannya dalam empayar Burma yang diperintah oleh wangsa Konbaung. Mereka menyerang beberapa kali Sri Ayutthaya antara 1750an sampai 1760an. Akhirnya, dalam 1767, selepas beberapa bulan dijarah, tembok kota Ayutthaya berjaya dipecahkan, kota ditakluk dan dibakar. Kerabat diraja melarikan diri dari kota dan raja terakhir, raja Ekathat mangkat disebabkan kebuluran selama 10 hari dalam persembunyian. Keturunan diraja wangsa Sri Ayutthaya hapus terus. 

Keseluruhannya dalam sejarah empayar Siam, ada 33 orang raja termasuk raja tak rasmi dan lima wangsa atau dinasti yang saling berhubungan kekeluargaan pernah berkuasa mengawal Sri Ayutthaya.   

Wangsa U-Thong dengan tiga orang raja.
Wangsa Suvarnabhumi dengan 13 orang raja.
Wangsa Sukhothai dengan tujuh raja.
Wangsa Prasat Thong (Istana Emas) dengan empat orang raja.
Wangsa Ban Plu (Sirih) dengan enam orang raja.

Patani tak sempat jadi kerajaan pusat sebab kalah perang... Sebelah Selatan termasuk dengan negeri-negeri Melayu Utara terlibat juga dalam perjalanan sejarah tapi sebab pecahan dalam pembentukan negara moden dengan penyertaan yang dianjurkan Liga Bangsa (PBB zaman dulu) serta empayar British hendak memudahkan kerjanya serta kepentingannya maka orang-orang negeri Melayu Utara pun dipecah dua atau mungkin tiga sebab yang lain berada dalam Myanmar atau Burma.

Sejarah Thailand: Kerajaan Zaman Klasik

Kerajaan Orang Asli

Dari abad ke-10 M sampai abad ke-14, pelbagai lagenda tempatan di rantau dalam Thailand dapat dikenalpasti dan disahkan secara sejarah menerusi penemuan carigali sejarah. Dari abad ke-9 M, dapat dilihat kesan penjajahan orang Khmer ke atas sebahagian besar kawasan di lembangan Chao Phraya dan wilayah Timur Laut. Perluasan pendudukan orang Tai serta kebudayaan mereka juga merebak ke selatan pada zaman klasik iaitu sekitar abad ke-12 M.

1. Kerajaan Asli Utara: Haripunjaya  

Menurut kepada lagenda Jamadewi Wangsa, negara kota Haripunjaya yang terletak di Lamphun pada zaman moden ini dibuka oleh seorang pertapa yogi bernama Sudeva. Dalam abad ke-7 M, seorang puteri dari Lavo atau Lawapura dijemput untuk menjalankan adat pemerintahan di negara-kota tersebut.

Walau bagaimanapun, sejarawan kebanyakannya merasakan tarikh tersebut terlalu awal untuk penubuhan Haripunjaya sebagai sebuah negara-kota kerana puteri Jamadewi tidak membawa sebarang Dharmacakra ke utara. Haripunjaya mungkin berasal dari pecahan kerajaan Lavo yang dibuka pada kira-kira abad ke-10 M atau mungkin juga berhubungan dengan kerajaan Thaton di Myanmar hari ini.  

Haripunjaya menjadi pusat penyebaran ajaran Buddha aliran Thervada di sebelah utara. Kerajaan ini berkembang dalam pemerintahan raja Attayawangsa yang membina Phra Dhatu Haripunjaya pada 1108 M. Kerajaan orang Mon Purba ini dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan Mon Purba lain di Thathon.

Semasa abad ke-11 M, kerajaan Haripunjaya pernah terlibat dalam peperangan dengan kerajaan orang Tai iaitu kerajaan Nakorn Ngenyang dari Chiang Saen. Serangan demi serangan melemahkan negara Haripunjaya. Ia jatuh merudum pada 1293 ketika ekspedisi ketenteraan raja Mengrai dari kerajaan Ribuan Sawah (Lanna) yang menggantikan kerajaan Ngenyang.

2. Kerajaan Asli Tengah: Lavo

Sekitar abad ke-10 M, negara kota Dvaravati berpecah menjadi dua mandala. Mandala pertama di Lopburi dengan diwakili kerajaan Lavo manakala mandala kedua dikenali sebagai kerajaan Suvarnabhumi terletak di Suphanburi.

Menurut lagenda Chiangmai, pada sekitar 903 M, seorang raja dari kerajaan Tamralinga di selatan menyerang dan menakluki negara Lavo. Putera dari keturunan Melayu dilantik memegang takhta kerajaan Lavo. Putera raja negara Tamralinga itu dikahwinkan dengan puteri raja Kemboja yang melarikan diri dari pertumpahan darah di istana kerajaan Angkor di Kemboja.

Putera Narvanapala, anakanda kepada pemerintah Lavo dari keturunan Melayu dengan puteri Kemboja tersebut kemudian muncul untuk menuntut takhta kerajaan Angkor di Kemboja sana. Baginda berperang sembilan tahun lamanya dengan Jayawiravarman. Baginda dipercayai beragama Buddha walaupun memakai gelaran Hindu kasta Brahma-Kesatria iaitu Varmanna. Selepas mendapatkan takhta Angkor, putera tersebut memakai gelaran Suryavarman I. Kemudian baginda menyatukan kerajaan Lavo ke dalam empayar Angkor di samping melanjutkan lagi perluasan kuasa sehingga ke dataran Korat sampai ke Laos. Baginda Suryavarman I membina kuil-kuil Hindu, antaranya adalah Prasat Prah Vihara yang tapaknya di Gunung Dangrek menjadi rebutan antara kerajaan nasionalis Kemboja dengan kerajaan Thailand. Selain itu, baginda ada terlibat dalam membangunkan Vimana Angkasa dan kawasan takungan air di Angkor. Suryavarman I tidak mempunyai pewaris lelaki. Disebabkan hal itu, kerajaan Lavo pun terlepas bebas. 

Pada 1058 M, Raja Anirudha dari kerajaan Bagan di Myanmar hari ini menjarah negara Lavo. Raja negara Bagan itu dipercayai mengahwini puteri raja Lavo lalu dibawa pulang ke Bagan. Kuasa kerajaan Lavo mencapai peringkat kegemilangan semasa pemerintahan raja Narayana (1072-1076). Pada 1080 M, raja Chansittha dari Bagan cuba menyerang kerajaan Lavo dalam usaha menggabungkan kerajaan-kerajaan orang Mon Purba ke dalam lingkungan kuasa orang Burma. Usaha raja Chansittha tidak berjaya kerana Lavo berjaya menepis serangan. Walau bagaimanapun, kerajaan Lavo dijarah pula oleh kerajaan Angkor yang diperintah ketika itu oleh raja Suryavarman II. Negara Angkor mengambil kesempatan tersebut selepas kemangkatan raja Narayana. Putera kepada Suryavarman II dilantik menjadi pemerintah negara Lavo. 

Serangan berulang dari kerajaan Angkor ini menyebabkan kerajaan Lavo menerima unsur-unsur budaya dan keagamaan dari orang Khmer. Negara Lavo yang asalnya adalah negara kota bahagian kepada mandala Dvaravati yang penduduknya beragama Buddha Theravada berubah menjadi negara kota yang menurut istiadat Hindu dan budaya Kemboja-Khmer. Negara Lavo menjadi pusat penyebaran kebudayaan Khmer serta kuasanya ke seluruh lembangan Chao Phraya. Ukiran timbul pada kuil Angkor menunjukkan askar Lavi sebagai senakula (hamba tentera) kepada empayar Angkor. Walau bagaimanapun, terdapat juga bahagian askar dari etnik Tai dalam askar negara Lavo yang berkhidmat untuk negara Angkor, satu abad sebelum penubuhan kerajaan Sukhothai di Phitsanulok.          

Ketibaan Orang Tai-Kadai

Teori terbaru yang lebih tepat tentang asal-usul orang Tai bersesuaian dengan pengkajian sejarawan di bidang akademik bahawa wilayah Guangxi di Barat Daya China sebenarnya tempat timbulnya etnik Tai-Kadai. Teori ini lebih tepat dibandingkan dengan teori Yunnan. Kebanyakan etnik Tai dari suku kaum Zhuang msih lagi tinggal di Guangxi hari ini.  

Sekitar abad ke-7 M, orang Tai yang masih belum dipengaruhi oleh kebudayaan Han (Cina) turun ke Dien Bien Phu di Vietnam hari ini. Hal ini diceritakan dalam lagenda Khun Borom. Dari situ, orang Tai mula berselerakan ke tanah tinggi di utara dan membuka kota-kota seperti Luang Prabang dan Chiang Saen.

Lagenda Singhanavati menceritakan bahawa seorang ketua puak Tai bernama Singhanavati menghalau keluar orang asli dari suku kaum Wa dari jenis Mon-Khmer yang belum berkebudayaan Hindu atau Buddha. Suku kaum Wa ini ada juga di China, Myanmar dan India. Macam yang aku pernah sebutkan, boleh buka sumber Hindu Purba seperti Mahabharata untuk memeriksa kisah "rumpunan" orang darat atau jenis Mon-Khmer ini yang melampaui zaman turunnya mereka di Asia Tenggara. Singhanavati membuka kota Chiang Saen sekitar abad ke-8 M. Untuk pertama kalinya, orang Tai berhubungan dengan kebudayaan dan tamadun kehinduan di Asia Tenggara. Walaupun mereka berperang dengan orang Mon Purba dari negara Haripunjaya, tapi mereka pun menyerap agama Buddha Theravada dan memakai gelaran diraja bahasa Sanskrit hasil dari pemerkasaan tamadun orang asli dengan istiadat keagamaan Hindu Purba. 

Phra Dhatu Doi Tung dibangunkan sekitar 850 M yang menunjukkan kesetiaan orang Tai-Kadai terhadap agama Buddha aliran Theravada. Sekitar abad ke-9 M, berlaku perang antara negara kota Chiang Saen dengan Haripunjaya. Tentera Mon Purba dari Haripunjaya masuk menyerang Chiang Saen. Raja Chiang Saen menjadi pelarian. Pada 937 M, Putera Prom atau Ta Prom merampas kota Chiang Saen semula dan memukul teruk negara Haripunjaya sebagai balasan.   

Sekitar abad ke-10 M, kota Chiang Saen dihancurkan gempa bumi dan semua penduduknya terbunuh. Satu majlis ditubuhkan bagi mentadbir kerajaan tersebut untuk sementara waktu. Seorang asli dari suku kaum Wa dikenali sebagai Lavacakra Raja dipilih sebagai raja baru kota tersebut. Kota itu diubah nama menjadi Nakorn Ngenyang. Wangsa Lavachakra Raja memerintah kawasan tersebut selama 500 tahun.

Negara yang mulai sesak menyebabkan orang Tai mula turun ke selatan mencari kekayaan. Menjelang 1100 M, orang Tai membuka tanah-tanah baru di hutan-hutan dengan melantik Po Khun di Nan, Phrae, Songkwae, Sawnakhalok, Chakangrao dan lain-lain kawasan di hulu lembah Chao Phraya. Ketua-ketua puak Tai yang berpenempatan di selatan ini mula bertembung dengan pengaruh Khmer dari kerajaan Lavo. Setengah mereka pula menjadi kuli batak dan rakyat dalam kawasan mandala Lavo yang diperintah oleh pentadbir berkebangsaan Khmer dan beragama Hindu.

1. Kerajaan Thai Utara: Sukhothai dan Lanna

Negara kota orang Thai mula terlepas sedikit demi sedikit dari genggaman empayar Khmer. Dikatakan bahawa Sukhothai mula menjadi negara berdaulat dan berkuasa di bawah pentadbiran Po Khun Sri Indraditya. Sebutan perkataan pinjaman bahasa Sanskrit yang panjang-panjang dan berbelit-belit dalam bahasa Thai mula diperpendek semasa pemerintahan Po Khun Sri Indraditya. Aku gunakan terus sebutan bahasa Sanskritnya sebab aku boleh sebut betul-betul dalam bahasa Sanskrit dan menunjukkan bahawa nama-nama tersebut adalah pinjaman dari bahasa orang Hindu Purba.

Sistem politik orang Tai di negara Sukhothai ini menurut kepada sistem bapa menjaga anak-anaknya. Bukan sistem feudal yang menurut kepada sistem dewaraja Hindu. Semua orang boleh mengadu masalah mereka secara terus kepada raja dengan hanya menghentam loceng di hadapan istana yang memang disediakan untuk tujuan tersebut. Kota Sukhothai kemudian ditadbir pula oleh Po Khun Ramkhamhaeng yang memperbaharu bentuk tulisan Pallava Kemboja menjadi ringkas seperti tulisan Thai yang kita nampak hari ini. Po Khun Ramkhamhaeng juga berkawan rapat dengan raja Chandrabhanu dari negara Tamralinga di selatan sebelum raja Chandrabhanu terbunuh di India Selatan serta patuh dengan ajaran Buddha aliran Theravada. Po Khun Ramkhamhaeng mangkat pada 1365, negara Sukhothai jatuh dan mula diserang oleh negara orang Tai lain yang berada di hilir lembangan Chao Phraya iaitu negara Sri Ayuttaya (Siam).

Negara Tai lain yang wujud dalam waktu hampir sama dengan negara Sukhothai adalah negara Lanna yang berpusat di Chiang Mai. Kota ini dibuka oleh Raja Phaya Mengrai dan mempunyai banyak sawah padi. Negara Lanna bersekutu rapat dengan negara Sukhothai. Selepas negara Ayutthaya muncul dan meluaskna pengaruh ke hulu lembangan, negara Sukhothai pun turut dilandanya dan menjadi negeri sahaja dalam empayar Siam. Sri Ayutthaya turut menyerang negara Lanna lalu Chiang Mai berjaya dirampas menjadi negeri yang membayar ufti dan menyembah ke Sri Ayutthaya.

Kebebasan negara Lanna berakhir terus pada 1558 M apabila ia jatuh ke dalam pemerintahan orang Burma dari Myanmar. Ia diperintah Burma sampai lewat abad ke-18 M. Ketua-ketua tempatan di negara Lanna bangun menentang pentadbiran orang Burma dengan bantuan kerajaan baru yang muncul di tengah Thailand iaitu kerajaan Thonburi yang diperintah raja Thaksin. Selepas itu, negara-negara Thai di utara menyembah ke kerajaan Thai di tengah dari zaman Thonburi sampai ke zaman Bangkok. Dalam abad ke-20 M, Lanna dijajah dan menjadi sebahagian wilayah dalam Siam moden dan kini Thailand. Sama bangsa atau keturunan bukan bermaksud yang negara-negara ini adalah negara yang sama, bertumbuh sama-sama atau sama kepala.   

Sejarah Thailand dan Siam: Kerajaan Awal


Sebelum turunnya orang Tai secara bergelombang dari Yunnan bermula abad ke-7 M sampai abad ke-10 M, Segenting Kra didiami oleh banyak jenis masyarakat yang tidak berkepercayaan agama tersusun.

Kepercayaan mereka adalah kepercayaan berbentuk kepercayaan bahawa alam sekitar ini dihuni oleh roh-roh dan pemujaan terhadap roh sekeliling mereka bagi menjalani kehidupan lancar. Kepercayaan ini disebut sebagai kepercayaan animisme atau tantrayana. Kepercayaan orang asli seperti ini wujud di merata tempat di dunia seperti di India, di China, di Jepun, di Amerika, di Afrika dan semua tempat pun ada. Orang Hindu dan penganut ajaran Buddha pun ada yang percaya bahawa alam ini digerakkan oleh dewa-dewa yang mewakili unsur alam misalnya matahari diwakili sang Surya, bulan diwakili Sang Chandra, angin diwakili oleh Sang Bayu, api diwakili Agni, Dewi Sakti yang mewakili kuasa pencetus dan lain-lain. Dewa-dewa itu dikatakan sebagai jenis-jenis bangsa dan makhluk jugalah dalam jagat raya ini.

Di rantau Thailand pula, penempatan manusia purba dikesan di sekitar wilayah-wilayah dalam Thailand sejak 500,000 tahun yang lampau. Penemuan terbaru fosil kerangka Homo Erectus di wilayah Lampang di utara merupakan antara contoh penempatan jenis manusia purba di dalam Thailand. Jumpaan carigali tersebut bertarikh karbon sekurang-kurangnya 1000,000-5000,000 tahun yang lampau iaitu semasa zaman Pleistocene. Jumpaan carigali purba jug ditemui di serata Thailand bertarikh dari zaman Gangsa (1500 SM-500 SM) dan zaman Besi (500 SM-500 M). Kawasan paling banyak dikaji dan digali adalah tapak di sebelah Timur Laut Thailand utamanyaa di lembangan Sungai Mun dan Sungai Chi. 

Sungai Mun utamanya adalah tapak-tapak kepada carigali kawasan kota yang dibina disekelilingnya dengan parit-parit yang diisi air serta mempunyai dinding kota untuk menjadi kubu. Kota berparit sekeliling tersebut mengandungi bukti-bukti penaklukan zaman pra-sejarah. Sekitar abad pertama masehi menurut kepada batu bersurat dari empayar Funan dan rekod sejarawan China, terdapat sebilangan penempatan pedagang di selatan Thailand yang nampaknya dilindungi oleh negara kota Melayu yang antara utamanya dipercayai negara kota Langkasuka dan negara kota Tambralinga.

Setengah penempatan pedagang menunjukkan kewujudan pedagang dari empayar Romawi. Ada jumpaan matawang emas empayar Romawi dengan titikan wajah maharaja Romawi Antoninus Pius (161 M) di Selatan Thailand.       

Tamadun Awal Pra-Siam di Thailand

Sebelum ketibaan orang Tai dan kemasukan kebudayaan mereka ke dalam wilayah-wilayah di Thailand moden ini, wilayah-wilayahnya diduduki oleh sebilangan penduduk dari tamadun Melayu dan tamadun Mon-Khmer. Orang Mon-Khmer memang ada kaitan dengan tamadun Hindu atau tamadun Mahabharata dan ada cerita panjang lagi kalau membuka kitab suci orang Hindu seperti Mahabharata. Tapi banyak lagi yang masih belum diterokai di Thailand sebelum abad ke-13 M disebabkan kurangnya sumber kesusasteraan dan sumber-sumber konkrit yang ditemui. Kebanyakan maklumat sejarah lampau diperolehi melalui bukti jumpaan arkeologi atau carigali sejarah.

Kerajaan Pra-Siam

1. Tengah Thailand: Dvaravati

Lembangan Sungai Chao Phraya di Tengah Thailand hari ini pernah menjadi pusat ketamadunan orang Mon serta pusat penyebaran budaya Hindu-Buddha tempatan. Ia mula bersinar sekitar abad ke-7 M sampai ke-10 M (Wyatt, 2003). Kewujudan tamadun-tamadun ini lama dilupakan oleh orang Thai sendiri tetapi ditemui semula oleh orang Barat bernama Samuel Beal. Beliau menemui satu rujukan tentang kerajaan purba dalam penulisan orang China purba yang menyebut mengenai Toulopoti. Pada awal abad ke-20 M, rombongan ahli arkeologi diketuai oleh George Coedes membuat usaha carigali di Nakhorn Pathom dan menemui pusat kebudayaan Dvaravati. Kemudian barulah disahkan bahawa "Toulopoti" itu merujuk kepada nama negara Dvaravati apabila ditemui batu bersurat berbahasa Sanskrit.   

Rentetan daripada itu, banyaklah tapak ditemui di sekitar lembangan Chao Phraya. Dua tapak terpenting ada di Nakorn Prathom (Negara Pertama) dan U Thong yang terletak di wilayah Suphanburi. Batu bersurat Dvaravati menggunakan bahasa Sanskrit dan bahasa Mon Purba bertulisan dari tulisan yang merupakan turunan tulisan Brahmana wangsa Pallava di India Lama.

Penduduk di Dvaravati diduga beragama Buddha menurut aliran Theravada disebabkan hubungan yang rapat dengan Sri Langka, manakala kelompok kasta pemerintah mengambil bahagian dalam upacara Brahmana menurut agama orang Hindu. Kesenian Dvaravati, termasuklah kesenian yang berkaitan dengan candi dan peralatan suci seperti arca-arca Buddha yang menunjukkan sedikit persamaan dengan wangsa Gupta dari India Lama. Kesenian ukiran tanah liat mereka yang lain ditemui di tapak carigali adalah Dharmacakra atau Roda Batu yang melambangkan prinsip-prinsip ajaran Buddha. Bahagian timur lembangan Chao Phraya pula lebih banyak menunjukkan pengaruh Khmer Kemboja dan Hindu selain dijumpai batu bersurat berbahasa Sanskrit dan berbahasa Khmer (Brown, 1996).

Dvaravati bukan sebuah kerajaan mutlak! Sebaliknya ia adalah jaringan negara-kota yang membayar ufti kepada kuasa utama menurut sistem mandala. Kebudayaan mereka menyebar ke Timur Laut Thailand sekarang sampai ke sebelah selatan di Segenting Kra di negara-negara kota orang Melayu. Dvaravati menurut sejarawan, merupakan antara bahagian dalam perdagangan antarabangsa zaman purba kerana ditemui juga artifak Romawi dan dicatatkan dalam rekod bahawa Dvaravati membayar ufti ke empayar dinsti Tang di China purba. Kebudayaan Dvaravati ini kehilangan taringnya sekitar abad ke-10 M akibat serangan demi serangan dari Kemboja.

Mereka berevolusi menjadi bahagian politi Lavo atau Lawapura akibat penjajahan Kemboja dari wangsa Angkor.   

2. Timur Laut Thailand: Sri Kottabun

Sementara di bahagian Tengah Thailand wujudnya bahagian mandala Dvaravati, di Timur Laut Thailand pula terdapat kebudayaan Sri Kottabun yang dibangunkan oleh orang asli Mon-Khmer atau orang darat. Sri Kottabun dianggap sebagai kebudayaan cawangan kepada Dvaravati. Mereka menggunakan sistem tulisan Hindu menurut kepada sistem yang terpakai di Dvaravati bagi menulis bahasa Sanskrit dan bahasa Mon Purba serta membentuk kota-kota dengan kepungan bentuk lonjong. Dharmacakra dari Dvaravati dijadikan sebagai batu penanda biara dn cetiya di Sri Kottabun. Negara kota ini bertahan dengan perluasan kuasa orang Khmer wangsa Chenla dari Kemboja sekitar abad ke-7 M. Kawasan terselatan sekali di wilayah Timur Laut Thailand merupakan pusat kepada negeri orang Chenla yang memperluas kependudukan mereka sampai melebar ke bawah ibu kota Funan pada abad ke-7 M. Ibu kota Sri Kottabun terletak di Nakorn Phanom atau Negara Bukit. Kawasan mereka ini meliputi bahagian utara Timur Laut Thailand sampai ke tengah negara Laos hari ini.

3. Selatan Thailand: Kebudayaan Melayu Purba

Di Segenting Kra yang bermula dari bawah Teluk Siam sampai ke Utara Semenanjung Tanah Melayu merupakan kawasan yang didominasi oleh kebudayaan Melayu walaupun terjadinya pertukaran kebudayaan sesama negara kota pada zaman purba. Kebudayaan di kawasan ini bukanlah seperti yang difahami pada zaman moden ini yang semuanya berlingkar dengan agama Islam yang diwahyukan Tuhan kepada nabi Muhammad s.a.w di Tanah Arab Hijaz. Agama Islam disebarkan di pantai-pantai oleh orang Arab Islam sama ada dari kelompok syeikh keturunan Arab yang mengaji agama dan mengajar agama atau oleh kelompok orang Arab dari gelombang kemasukan Bani Hashim yang berhubungan kekeluargaan dengan nabi Muhammad s.a.w.

Menjelang abad ke-2 M menurut kepada sumber China Purba, penduduk-penduduk Melayu Purba di Segenting Kra diperintah oleh datu-datu tempatan. Buku Malay Peninsula: Crossroads of Maritime Silkroads terbitan Leiden menyatakan bahawa mereka ini bukan sepenuhnya menyembah ke arah empayar Funan (Hergoualch et. al, 2002).

Bermula dari abad ke-6 M sampai seterusnya, ada dua mandala yang memerintah di Segenting Kra iaitu Kanduli dan Langkasuka. Kanduli berpusat di wilayah Surat Thani sekarang manakala Langkasuka dikatakan berpusat di wilayah Patani. Kawasan Selatan Thailand pada zaman purba merupakan pusat kepada falsafah Hindu dan ajaran Buddha aliran Mahayana. Sami Buddha dari dinasti Tang pernah berhenti sebentar di Langkasuka untuk belajar tatabahasa Sanskrit dan falsafah ajaran Buddha menurut aliran Mahayana sebelum meneruskan perjalanan ke India Purba sekitar abad ke-8 M. Pada ketika itu juga, negara-negara kota Melayu Purba tempatan di Selatan Thailand dan Utara Semenanjung Tanah Melayu jatuh ke dalam mandala empayar Melayu Purba Srivijaya dari Pulau Sumatera.      

Dalam abad ke-3 M juga, ada negara-kota Melayu Purba lain yang bertamadun Hindu wujud di sebelah timur Segenting Kra iaitu kerajaan Tamralinga. Negara-kota ini juga pernah dimasukkan ke dalam mandala empayar Srivijaya. Negara-kota ini juga dikenali sebagai Nakhorn Si Thammarat atau Negara Sri Dharmaraja yang pernah memecah masuk ke Sri Langka pada abad ke-12 M sebelum mula mengalami kejatuhan. Nama rujukan lain negara-kota ini adalah Ligor. Kadang-kadang mereka berbaik dengan Langkasuka dan kadang-kadang berperang pula. 

Menjelang penghujung abad ke-14 M, Tamralinga atau Ligor pernah diserap sebentar dari segi pentadbiran dengan kerajaan Melayu Sumatera berpusat di Jambi dengan sokongan Jawa. Pada sekitar 1365, kerajaan Hindu Majapahit di Pulau Jawa mencatatkan Ligor sebagai sebahagian daripada Siam.

Pelajaran bahasa Thai akan menyusul nanti-nanti sebab aku tengah mencatat masukan untuk pelajaran baru. Sambil belajar bahasa, kita boleh berhibur dengan cadangan lagu-lagu, filem-filem, kebudayaan dan lain-lain lagi.

Sejarah Thailand dan Siam: Satu Pengenalan


Thailand merupakan sebuah negara-bangsa moden yang wujud sejak perisytiharan kedaulatan Westphalia pada 1648 dan selepas Perang Dunia Kedua. Thailand sebenarnya sebuah negara pelbagai bangsa walaupun penduduknya berbahasa kebangsaan dengan bahasa Thai semata-mata. Banyak spekulasi mengenai asal-usul perkataan "Thai" dan salah satunya menyentuh mengenai sejenis etnik iaitu etnik Tai. 

Seperti banyak rujukan, orang Tai atau etnik Tai dikatakan berasal dari Barat Daya China. Mereka dikatakan berhijrah gelombang demi gelombang dari Barat Daya China ke Dataran Tanah Besar Asia Tenggara sejak beberapa abad yang lampau. Sebutan terawal mengenai kewujudan mereka di rantau Asia Tenggara ini adalah menerusi nama lain iaitu nama Siam. Ia digunakan pertama kali oleh orang Khmer untuk merujuk orang-orang ini di kompleks kuil Hindu Angkor Wat di Kemboja. Perkataan Siam dikatakan diambil dari bahasa Sanskrit, iaitu bahasa kelompok kasta atasan dalam masyarakat Hindu di Kemboja iaitu Śyāma bagi merujuk orang berkulit sawo matang tapi dalam nada menghina. Pelbagai kaum dari zaman pra-Siam pernah dikerah menjadi kuli batak di empayar Angkor sebelum berlaku pemberontakan puak-puak dan kerajaan persekutuan di Teluk Siam. 

Semasa pemerintahan Raja Rama III (1824-1851) dari wangsa Chakri, seorang pedagang Skotland pernah membawa matawang ujian ke England atas perintah raja itu. Walaupun tidak digunakan meluas, tapi nama negara mereka dititikkan pada matawang pertama mereka sebagai Muang Thai dan bukan Siam. Perkataan lain bagi merujuk etnik ini adalah Shan dan Ahom. Charles (1921) dalam bukunya The Project Gutenberg E-Book of Hinduism and Buddhism, An Historical Sketch, Bil. 3 menyatakan bahawa nama Sanskrit merujuk kepada orang Thai mungkin bukan nama asal sebaliknya cuma satu penyelewengan berbentuk perkauman yang dibuat-buat oleh orang yang memperhamba mereka.

Rujukan empayar Siam pula pertama kalinya mungkin dibuat oleh orang Portugis yang merupakan orang Eropah awal yang memberikan maklumat awal tentang kewujudan negara orang Siam. Catatan Portugis juga menyebut mengenai raja Ramesvara Bramha Trailoganat dari wangsa Sukhothai dan Suvarnabhumi yang menghantar tentera ke kerajaan Melaka di Semenanjung Tanah Melayu pada 1455. Raja ini memerintah dua negara iaitu negara Sri Ayuttaya dan negara Sukhothai di Phitsanulok yang disatukan sebaik sahaja pertabalan baginda sebagai raja. Berikutan kejatuhan negara kota Melaka ke tangan pentadbir Portugis pada 1511, pihak Portugis menghantar duta bagi hubungan diplomasi dengan negara Sri Ayuttaya.   

Seabad kemudian, pada 15 Ogos 1612, The Globe, iaitu pedagang mewakili Syarikat Hindia Timur membawa surat dari Raja James I di England tiba di "Jalan Śyām". Bermula penghujung abad ke-19, Siam mula menjadi rujukan kepada negara puak-puak ini yang pusatnya terletak di negara-kota Sri Ayuttaya. Negara Thailand yang dikenali oleh orang ramai hari ini pula adalah hasil perjalanan sejarah dan susunan takdir ilahi sama juga seperti semua kejadian lampau di dunia ini. 

Negara Thailand mempunyai wilayah-wilayah yang antaranya diserap, kalah perang zaman lampau lalu diserap menjadi bahagian empayar dan sebagainya. Antara kerajaan bentuk kehinduan yang pernah berada dalam wilayah-wilayah Thailand hari ini adalah kerajaan orang Mon di Tengah dan Barat, kerajan orang Melayu di Selatan dan kerajaan orang Khmer di Timur. Orang Tai atau Thai sendiri mempunyai kerajaan negeri mereka sendiri di wilayah Utara Thailand bermula dengan kerajaan Sukhothai pada abad ke-12 M, Chiang Saen pada abad ke-13 M, kerajaan Sri Ayuttaya pada abad ke-13 M, Chiang Mai dan kerajaan Lanna pada abad ke-13 M.

Negara kota itu semua berperang sesama sendiri dan juga pernah menerima ancaman dari orang Kemboja, orang Burma dan orang Vietnam. Di Burma, India Timur dan Vietnam pun ada etnik jenis Tai tapi berbahasa dengan bahasa yang sedikit berbeza dengan bahasa orang Thailand disebabkan perbezaan geografi dan muka bumi.

Bermula abad ke-19 dan awal abad ke-20 M pun, muncul kuasa penjajah dari Eropah pula yang berebut-rebut hendakkan tanah seberang laut bagi kemajuan revolusi perindustrian dan perdagangan mereka. Thailand atau empayar Siam terselamat disebabkan oleh keputusan Perancis dan England untuk memberikan status kawasan neutral bagi mengelakkan pertelingkahan yang lebih besar antara koloni. Thailand memansuhkan sistem monarki mutlak pada 1932 dan selama 60 tahun berada di bawah pemerintahan junta tentera. Selepas itu baru wujud sistem kerajaan berdasarkan pilihanraya seperti sekarang.

Di sini aku nak beri ulasan sedikit mengenai peminat-peminat sejarah. Apabila kita mengkaji sejarah, kita cuba sebolehnya mengelakkan sentimen berpihak dengan mana-mana bahagian. Tidak menggunakannya untuk kepentingan kita sendiri dengan menggariskan bahagian yang kita suka selanjutnya memperbesar atau menokok tambah selain kita tidak boleh menganggap sistem atau keadaan zaman purba sama seperti negara kita tinggal sekarang ini. Kerajaan zaman purba bukan milik kerajaan zaman moden kecuali jika ia bertahan kukuh sampai ke zaman moden; bertahan melalui arus zaman.

Kadang-kadang ia berevolusi juga. Sama juga dengan jenis manusia. Sistem pemerintahan kerajaan menurut sistem pentdbiran Hindu purba adalah menurut kepada mandala (jajahan), wangsa (dinasti) dan keluarga diraja. Begitu juga halnya, sistem pemerintahan negara republik yang moden tak sama dengan sistem pemerintahan negara seperti Malaysia yang berkerajaan negeri dengan sistem monarki. Sebab itu bukan semua pentadbiran di negara dunia dirujuk sebagai "kerajaan".

Manusia itu boleh menjadi nasionalis tapi bukan menjadi nasionalis yang pelampau, membuta tuli, menyodok rata macam sungkur atau dalam erti kata lain yang mungkin kasar sedikit, tongong dan poyo. Manusia bukan pemilik mutlak dunia yang maya mahu pun dunia mana-mana pun dan istilah khalifah atau cakravartin bukan untuk menjadikan manusia perasan. Yang Maha Memiliki "seluruh" alam adalah Yang Maha Esa.

P.S: Sungkur atau disebut sebagai sungkog adalah perkataan sopan merujuk kepada babi atau pig dalam bahasa Melayu Kedah. Diguna oleh penduduk pekan dan penduduk berkasta tinggi.

Terjemahan setara dalam bahasa Inggeris untuk kata nama sungkog ini adalah swine. Jadi kita boleh pilih untuk tidak menggunakan perkataan pinjaman dari bahasa Arab iaitu khinzir semata-mata hendak bersopan sebab bahasa Melayu Kedah ada perkataan sendiri ; )

Isnin, 31 Disember 2012

Gajah Puteh

Pic: Lazy Hiker

Hangpa mesti besa dengaq kan mengenai simpulan bahasa yang berbunyi gajah puteh ini. Dalam bahasa Thai pun ada, kita sebut sebagai ช้างเผือก chang phuogg. Kalau dalam bahasa Melayu, ia bermaksud sesuatu yang bernilai tetapi menjadi bebanan kepada pemiliknya. Nak buang tak boleh nak simpan pulak sakit sebab membebankan. Jadi hiasan sahaja macam tu.

Hal ini berasal dari kisah raja Siam yang biasa menjadikan gajah puteh sebagai hadiah kepada istana-istana raja wilayah yang ingin dipincangkan. Istana yang menerimanya terpaksa berbelanja untuk menjaga haiwan tersebut sebab gajah puteh ini adalah salah satu haiwan suci menurut agama. Zaman sekarang ini ia boleh merujuk kepada benda-benda yang dah tak boleh digunakan tapi nak melupuskannya pun tak boleh. Macam projek kampung sukan Bukit Jalil tu, hahaha.

Istilah ini sebenarnya berasal dari gajah-gajah puteh yang dipelihara oleh kerabat-kerabat diraja bertradisi Hindu-Buddha di tanah besar Asia Tenggara seperti di Burma, Siam, Laos dan Kemboja. Di Kedah pada zaman pra-Islam dahulu pun depa ada simpan gajah puteh. Dalam Hikayat Mahawangsa ada sebut, pemilihan raja baru selepas raja tak berwaris mangkat biasanya dijalankan oleh gajah puteh yang akan meletakkan kayu depan calon raja baru.

Di sebelah empayar Siam dan Burma, memiliki gajah puteh dianggap lah sebagai tanda bahawa kerajaan yang memerintah itu memerintah dengan adil dan berkuasa. Selain itu, ia melambangkan kerajaan itu diberkati dengan keamanan dan kemakmuran. Selalu juga raja-raja akan meletakkan gelaran mereka sebagai pemilik gajah puteh. Contoh yang membuat amalan ini adalah raja Seng Pyu Sing dari dinasti Konbaung pernah menggunakan gelaran Tuan Gajah Puteh bagi dirinya.

Gajah puteh ini macam kita kata, berkaitan dengan tradisi orang Hindu dan Brahman. Ia merupakan wahana dewa Indra, raja kepada segala dewa kitab Veda. Nama gajah puteh itu adalah Airavata atau ไอราวณ Eravan dalam sebutan Thai nya. Sebab tradisi Buddha pun mari dari kawasan Hindu atau India purba, maka dah tentu lah berkaitan juga hal ehwal gajah puteh ini. Gajah puteh merupakan juga wahana kepada dewa Sakra yang sebenarnya merujuk kepada dewa Indra dalam nama lain. Bagi penganut Buddha, dewa Indra menjadi pemerintah di dunia Tavatimsa. Yang tradisi gajah putih ini, ada juga perkaitan dengan baginda Buddha Gautama. Ibu baginda, Dewi Maya pernah bermimpi seekor gajah puteh memberinya hadiah bunga teratai yang merupakan lambang kepada kebijaksanaan dan kemurnian sebelum kelahiran baginda Buddha Gautama.

Bagi hangpa yang Muslim nak khabar lah. Dewa-dewa ni bukannya Tuhan yang orang duk sembah. Dia nak macam jenis malaikat. Makna asal dewa itu sebenarnya sinaran cahaya secerah siang. Dalam pemahaman penganut Buddha, ada dewa-dewa jenis rendah sampai jenis tinggi. Yang jenis tinggi tu aku tak tahu gena nak khabar. Dia macam bangsa malaikat lah.  

Sebab gajah putih ini dianggap suci dan dilindungi dari sebarang kerja berat, menerima hadiah gajah puteh bagi seseorang kerabat diraja sebenarnya boleh dikatakan sebagai satu keberkatan dan juga laknat. Berkat sebab haiwan itu haiwan suci dan lambang bahawa kerabat diraja itu disayangi. Laknat pula sebab haiwan itu kena dijaga dan tak boleh pula digunakan untuk sebarang kerja. Sebab nak memelihara seekor gajah pun boleh jadi satu beban sebab ia akan meningkatkan belanjawan istana. Jadi istana raja sesuatu wilayah itu boleh jatuh muflis. 

Di Nepal yang merupakan negara Hindu-Buddha di pergunungan Himalaya pun ada tradisi gajah putih. Tapi itu sebelum depa jadi negara Komunis lah. Wela ini Nepal adalah negara Komunis lepas raja Tribuana dari keluarga Syah Dewa dan kerabat istana depa tu mati semua kena bunuh dengan putera mahkota Dipendra gila meroyan.

Tapi dalam bahasa Thai, istilah ช้างเผือก chang phuogg ni merujuk kepada orang ulu atau orang dari luar kotaraya yang mencapai kedudukan akademik atau pun berjaya dalam kehidupan, kemudian melakar nama di kota besar. Kalau tambah ทาง taang + ช้างเผือก chang phuogg maka makna dia adalah galaksi bima sakti. ทาง taang makna dia adalah jalan atau laluan.

Aku tak dan nak pos lain-lain perkara lagi. Aku pos benda-benda info dolu naa... hahaha...

Rabu, 26 Disember 2012

Srivijaya di Segenting Kra


Yang ini aku cuba terjemahkan ke bahasa Melayu dari bahagian akhbar atas talian Sereechai.Com berkenaan dengan negeri Ligor atau Tambralinga sempena tokoh Tammarat Chandrabhanu yang berasal dari situ. Versi bahasa Siam dia aku malas nak tempek ke sini. Membuang masa saja tempek banyak-banyak. Baik tempek versi bahasa Melayu bagi rakyat Malaysia faham. 

Yang ini, dari kajian batu bersurat di Wat Mahathat di Nakorn Sri Tammarat. Hangpa boleh nampak pengaruh orang Melayu Buddha sampai ke Segenting Kra atau mungkin juga sampai ke Teluk Siam. Tang mana Siam atau Thai nya walaupun orang-orang ini beragama Buddha sama dengan agama orang Thai moden?

Petikan

Dari batu bersurat bahagian kedua, tidak tersebut pun sama ada mengenai Phra Chao Khrung Sriwijaya atau Phra Chao Chandrabhanu Thammarat, kepala yang menjadi ong (putera mahkota) yang sama bagi Khrung Srivijaya itu. 

Batu bersurat itu dikatakan memuji Phra Chao Khrung Srivijaya atau Phra Raja Adhi Phra Ong atau Putera Mahkota Srivijaya dan tersebutlah dalam batu bersurat itu: "baginda maharaja mempunyai kesegakan menawan. Bangsawan bak sinar mentari laksana bulan".

Pada batu bersurat tiang yang ke-23, dinyatakan bahawa pengganti maharaja itu datang dari rajawangsa atau dinasti Sailendra. Bahagian batu bersurat tiang yang ke-24, tersebut bahawa baginda itu datang dari phra rajawangsa padmawangsa. 

Banyak sekali persoalan yang muncul apabila pembaca terbaca hal ini. Sebab ada berlakunya pertindihan berkenaan dengan siapa dia maharaja Srivijaya ketika itu dalam dua batu bersurat yang dibacakan itu. Dan dipercayai juga, maharaja Srivijaya dan juga raja pemerintah Tamralinga adalah orang yang sama. Berasal dari keluarga sama, tapi nama dinasti pula berlainan. Satu dinasti Sailendra manakala satu lagi dinasti Padma.

Sehingga peringkat ini, dapatlah disahihkan bahawa istana pelindung kerajaan Srivijaya memerintah bersama dengan pemerintah asal wilayah Nakon Sri Tammarat. Pemerintahan di situ tertakluk kepada kuasa budi bicara pemerintah asal wilayah Nakon Sri Tammarat walaupun berada dalam kesatuan kerajaan Srivijaya. 

Dari laporan sejarawan dan pakar carigali sejarah purba, mereka berkesimpulan bahawa dinasti pelindung Srivijaya dalam abad ke-4 tahun Saka pernah mengasaskan satu kerajaan kecil yang dikenali sebagai kerajaan Sailendra serta membangunkan dinasti Sailendra. Ia muncul dalam tamnan atau lagenda yang dikenali sebagai มุขปาฐะ Mukh Batoh yang juga tercatat dalam batu bersurat.

Sambungan daripada ringkasan kisah adalah seperti berikut. Negara Tamralinga yang kemudiannya dikenali sebagai Nakorn Si Tammarat tergolong dalam 12 negara anggota kesatuan Naksat. Kesemua 12 negara tersebut berkuasa autonomi yang sama tetapi ia masih berada dalam pemantauan Nakon Sri Tammarat semasa era Sukhothai menyerap masuk mereka ke dalam mandala kekuasaan mereka.

Zaman moden ini, Tamralinga cuma menjadi wilayah Nakorn Sri Tammarat sahaja. Tiada pemerintah lagi. Ia tunduk kepada maharaja Thailand moden di Bangkok.   

Sejarahnya terbahagi kepada dua lapisan:

1. Generasi awal akan menceritakan dari mulut ke mulut kerana waktu itu masih belum wujud sistem rekod bertulisan. Tulisan hanya dikenali oleh orang-orang istana. Kisah yang diceritakan secara mulut ke mulut itu akan tersebar meluas dalam masyarakat.  

2. Dalam sekitar tahun 1600 tahun Saka atau 1056 masehi, mula muncul rekod-rekod bertulis tentang sejarah tempatan.

Lagenda Nakorn Si Tammarat berada dalam pembahagian kedua bab yang berjudul "Pecah Istana" yang menyatakan bahawa kerajaan ketika itu terpecah dua kerana matlamat dan pemikiran yang berbeza. Nakon Sri Tammarat merupakan antara negara kota terawal di Segenting Kra yang berhubung dengan negara-negara kota sekitarnya dan agama rasmi kerajaan mereka adalah agama Hindu dan tradisi kaum Brahmana.

Agama dan tradisi kaum Brahmana masih tebal mempengaruhi anutan penduduk dalam tahun Saka kelima sampai keenam yang mana generasi pertama kerajaan ini adalah orang India Purba atau Hindu Purba. Kemudian mereka menikah dengan puteri-puteri ketua tempatan.

Hasil hubungan dengan negara kota pada zaman generasi pertama, mereka mula membangunkan pelabuhan kapal, terusan luas yang boleh dilalui oleh kapal-kapal sehingga wujud kota pelabuhan besar terkenal dan menjadi tumpuan para peniaga. Negara mereka tiada tembok atau kubu kota kerana pada zaman itu, raja-raja berhubungan baik dengan negara kota jiran lain. Mereka menjadi pusat kelautan kedua di rantau Asia Tenggara zaman itu.

Kemudian, apabila kerajaan di lautan bawah atau Srivijaya di Sumatera berkembang, mereka membesarkan sampan mereka (perang dan takluk). Taklukan mereka sampai ke utara Semenanjung Tanah Melayu dan Segenting Kra. Tahun Saka ke-13 sampai ke-15 pula, negara-negara kota pelabuhan yang tiada perlindungan diri sebab tak membuat kubu kota terpaksa pindah masuk ke utara sebelah hulu apabila diterajang oleh Srivijaya.

Kota Tamralinga sahaja masih berdegil dan bertahan di tempatnya. Kemudian mereka belajar dari pengalaman dan membina kubu tembok batu supaya sukar ditakluki oleh Srivijaya. Askar-askar sudah sedia untuk berperang dengan puak Srivijaya. Mereka bebas sampai ke abad ke-17 dan ke-18 tahun Saka. Pengaruh aliran ajaran Buddha Langkawangsa semakin melebar masuk ke negara kota Tamralinga. Raja membuat kota baru selepas memperluas kuasa sedikit lalu mengubah nama negara menjadi Nakorn Sri Tammarat atau Negara Sri Dhammaraja. 

Apabila berjaya melebarkan kuasa mereka, raja membangunkan candi Phra Bhorom Dhatu dan Wat Mahathat. Wat Mahathat tersebut menjadi biara rasmi kerajaan Tamralinga. Kuasa Tamralinga pernah melebar sampai ke kawasan-kawasan dalam Malaysia hari ini. Mereka juga aman makmur semasa itu.

Makmur jaya Nakorn Si Tammarat, berkuasa sampai abad ke-18 tahun Saka atau sekitar kurun ke-12 masehi. Sambil meluaskan jajahan mereka sebenarnya cuba melawan orang Melayu empayar Srivijaya. Nakorn Sri Tammarat mewujudkan kota-kota baru dan saling bertalian persaudaraan sesama kerabat diraja di negara-negara kota lain. Mereka saling berkongsi segala cukai negara dan hasil alam.

Cahaya Nakon Si Tammarat bersinar dari Wat Phra Borom dan ada juga lambang teraju binatang-binatang yang mewakili negara-negara kota. Mereka ini saling bekerjasama menurut tahun seperti yang terpapar pada binatang-binatang 12 pada teraju.

Negara Saiburi lambang dengan Chut atau Tikus.

Negara Patani dengan lambang Chelu atau Lembu.

Negara Kelantan dengan lambang Khan atau Harimau.

Negara Traiburi berlambang Merong iaitu Ular Besar.

Negara Pattalung teranya Maleng atau Ular Kecil.

Negara Pahang dengan lambang Thauh atau Arnab.

Negara Trang dengan lambang Mamia iaitu Kuda.

Negara Chumpon berlambang Mameh atau Kambing.

Negara Chaiyya (Jaya) lambang dia Wok iaitu Beruk.

Negara Thaa Thong berlambang Raka atau Ayam.

Negara Takuapa-Thalang berlambang tahun Cho atau Anjing.

Negara Kraiburi berlambang tahun Kun atau Kura-Kura.  

Perkataan untuk binatang-binatang dalam tahun 12 pusingan untuk negara kota itu ambil peranan mereka adalah dari bahasa lama. Bukan bahasa Siam (bahasa Thai) dan bukan bahasa Melayu.

Aku pernah buat cross-check dengan orang Kemboja. Mereka kata setengah perkataan itu berbunyi klasik yang nak sama macam rumpun bahasa orang Mon-Khmer (Senoi) purba di negara mereka. Orang Mon-Khmer ini pun pernah wujud di India Purba sana. Mereka bukan semestinya penduduk di Suvarnabhumi saja.

Di Semenanjung Malaysia, orang Melayu atau etnik jenis Melayu (Austronesia) bukan tergolong dalam kelompok Senoi (Mon-Khmer). Jenis Melayu yang ahli etniknya terdapat mereka yang tidak beragama Islam, antaranya seperti orang Jakun, orang Seletar, orang Laut, orang Selat, orang Kanaq dan orang Temuan. Sebelah Malaysia Borneo, kelompok Iban boleh dikira sebagai rumpun Austronesia.

Selasa, 25 Disember 2012

Sri Dharmmaraja Chandrabhanu

Rupa Pra Sihing di Wat Sambhujaya, Narathiwat

Ini sementara duk tunggu aku cari modul kitab-kitab belajaq bahasa Siam. Sebab ada sokongan ke bahagian ni, jadi aku memenuhi lah keperluan hangpa sebagai tanda penghargaan. Kita sembang lebih sedikit bab sejarah yang berkaitan dengan Thailand. Sebab sebelah Selatan Thai ni bercakap bahasa Siam atau bahasa Thai, tetapi ada juga orang Melayu yang beragama Islam. Jadi semua orang berasa keliru.

Bagi kawan-kawan kita yang beragama Buddha sebelah selatan Thailand, aku rasa tokoh ni memang terkenal lah. Bagi yang Muslim mungkin tak diketahui ramai. Tokoh ni sebenarnya tokoh agama Buddha dari dalam kalangan puak Melayu pada zaman perubahan Srivijaya di Segenting Kra dan mula perhubungan orang Melayu dengan orang Tai dari Sukhothai sekitar abad ke-11. 

Tokoh ni diperkenal ศรีธรรมราชจันทรภาณุ Sri Dharmaraja Chandrabhanu. Nama baginda iaitu Chandrabhanu itu bermaksud Cahaya Bulan. Walaupun baginda ini seorang puak Melayu, tetapi baginda sangat taat kepada ajaran Buddha. Zaman baginda ini, sebenarnya kerajaan Sri Ayutthaya atau pun empayar Siam masih belum wujud lagi. 

Dalam abad ke-11 itu, sudah wujud hubungan kekerabatan antara kelompok puak Melayu tempatan di Segenting Kra dengan puak di Srivijaya Sumatera sana. Keluarga pemerintah sebelah Selatan Thai pada zaman itu adalah keluarga ปทุมวงศ์ Pathumwong. Keluarga baginda ini memerintah bersama dengan puak Sriwijaya yang berkuasa pusat di Palembang sebelah selatan sana. Di sebelah utara di semenanjung Tanah Melayu, mereka dibahagikan kepada beberapa cawangan pemerintahan.

Nama baginda ini tercatat dalam sejarah kerana baginda merupakan orang Melayu yang masuk ke Sri Langka. Tujuan baginda adalah untuk membantu saudara baginda di sebelah Sri Lanka sana iaitu raja Megha. Selain daripada itu, baginda ingin mendapatkan rupa Buddha Phra Sihing yang dipercayai membawa kemakmuran kepada negeri mereka. Seluruh Sri Lanka pada masa itu sebenarnya berada di bawah kuasa raja Parakramabahu yang baru ditabalkan menjadi raja.

Semasa baginda mendarat di selatan pantai Sri Lanka dan menurut riwayat lain sebelah barat laut pulau itu, mereka mendapat banyak rampasan perang. Tetapi baginda Chandrabhanu Dharmmaraja melarang penganut Buddha di Sri Lanka diapa-apakan. Biara Buddha dilarang sentuh atau dirosakkan. Biara yang rosak pula diperbaiki oleh baginda supaya pemujaan boleh dijalankan semula.

Setengah teori menyatakan bahawa baginda asalnya dilahirkan di sebuah tempat bernama Vathuwayiyan di Semenanjung Tanah Melayu. Aku tak tahu nama ini merujuk tempat mana. Teori ini berasal dari batu bersurat kuno yang dibaca dan diterjemah oleh sarjana sejarah dan carigali, Sede pada tahun 1981. Sede berkesimpulan bahawa Dharmmaraja Chandrabhanu berasal dari Tanah Melayu dan menjadi raja di negara purba, ทัมพรลิง Tamralinga. Beliau juga menambah bahawa raja ini mempunyai hubungan persaudaraan dengan orang Srivijaya di sebelah Sumatera.     

Sejak zaman purba lagi, kawasan Segenting Kra dan Utara Semenanjung Tanah Melayu berhubungan rapat dengan Sri Lanka. Dharmmadhuta atau sami-sami Buddha mengembara merentasi kawasan Indo-China dan Myanmar sana. Ada bukti sejarah juga mereka mengembara di Tanah Melayu, Sumatera dan ke Pulau Jawa. 

Baginda Chandrabhanu sebenarnya tak bernasib baik. Baginda terbunuh di Sri Lanka atau mungkin di India Selatan. Kerajaan baginda kemudian diserap oleh kerajaan sahabat baginda di utara, iaitu kerajaan Sukhothai sekitar abad ke-12 masehi. Ada sebuah rencana juga mengenai baginda dalam akhbar berbahasa Inggeris di Sri Lanka tentang baginda. Tapi mereka menganggap baginda Chandrabhanu sebagai lanun walaupun baginda sangat patuh pada ajaran Buddha. Kalau aku sempat, aku akan menempeknya untuk tatapan bersama.