Selasa, 25 Disember 2012

Sri Dharmmaraja Chandrabhanu

Rupa Pra Sihing di Wat Sambhujaya, Narathiwat

Ini sementara duk tunggu aku cari modul kitab-kitab belajaq bahasa Siam. Sebab ada sokongan ke bahagian ni, jadi aku memenuhi lah keperluan hangpa sebagai tanda penghargaan. Kita sembang lebih sedikit bab sejarah yang berkaitan dengan Thailand. Sebab sebelah Selatan Thai ni bercakap bahasa Siam atau bahasa Thai, tetapi ada juga orang Melayu yang beragama Islam. Jadi semua orang berasa keliru.

Bagi kawan-kawan kita yang beragama Buddha sebelah selatan Thailand, aku rasa tokoh ni memang terkenal lah. Bagi yang Muslim mungkin tak diketahui ramai. Tokoh ni sebenarnya tokoh agama Buddha dari dalam kalangan puak Melayu pada zaman perubahan Srivijaya di Segenting Kra dan mula perhubungan orang Melayu dengan orang Tai dari Sukhothai sekitar abad ke-11. 

Tokoh ni diperkenal ศรีธรรมราชจันทรภาณุ Sri Dharmaraja Chandrabhanu. Nama baginda iaitu Chandrabhanu itu bermaksud Cahaya Bulan. Walaupun baginda ini seorang puak Melayu, tetapi baginda sangat taat kepada ajaran Buddha. Zaman baginda ini, sebenarnya kerajaan Sri Ayutthaya atau pun empayar Siam masih belum wujud lagi

Dalam abad ke-11 itu, sudah wujud hubungan kekerabatan antara kelompok puak Melayu tempatan di Segenting Kra dengan puak di Srivijaya Sumatera sana. Keluarga pemerintah sebelah Selatan Thai pada zaman itu adalah keluarga ปทุมวงศ์ Pathumwong. Keluarga baginda ini memerintah bersama dengan puak Sriwijaya yang berkuasa pusat di Palembang sebelah selatan sana. Di sebelah utara di semenanjung Tanah Melayu, mereka dibahagikan kepada beberapa cawangan pemerintahan.

Nama baginda ini tercatat dalam sejarah kerana baginda merupakan orang Melayu yang masuk ke Sri Langka. Tujuan baginda adalah untuk membantu saudara baginda di sebelah Sri Lanka sana iaitu raja Megha. Selain daripada itu, baginda ingin mendapatkan rupa Buddha Phra Sihing yang dipercayai membawa kemakmuran kepada negeri mereka. Seluruh Sri Lanka pada masa itu sebenarnya berada di bawah kuasa raja Parakramabahu yang baru ditabalkan menjadi raja.

Semasa baginda mendarat di selatan pantai Sri Lanka dan menurut riwayat lain sebelah barat laut pulau itu, mereka mendapat banyak rampasan perang. Tetapi baginda Chandrabhanu Dharmmaraja melarang penganut Buddha di Sri Lanka diapa-apakan. Biara Buddha dilarang sentuh atau dirosakkan. Biara yang rosak pula diperbaiki oleh baginda supaya pemujaan boleh dijalankan semula.

Setengah teori menyatakan bahawa baginda asalnya dilahirkan di sebuah tempat bernama Vathuwayiyan di Semenanjung Tanah Melayu. Aku tak tahu nama ini merujuk tempat mana. Teori ini berasal dari batu bersurat kuno yang dibaca dan diterjemah oleh sarjana sejarah dan carigali, Sede pada tahun 1981. Sede berkesimpulan bahawa Dharmmaraja Chandrabhanu berasal dari Tanah Melayu dan menjadi raja di negara purba, ทัมพรลิง Tamralinga. Beliau juga menambah bahawa raja ini mempunyai hubungan persaudaraan dengan orang Srivijaya di sebelah Sumatera.     

Sejak zaman purba lagi, kawasan Segenting Kra dan Utara Semenanjung Tanah Melayu berhubungan rapat dengan Sri Lanka. Dharmmadhuta atau sami-sami Buddha mengembara merentasi kawasan Indo-China dan Myanmar sana. Ada bukti sejarah juga mereka mengembara di Tanah Melayu, Sumatera dan ke Pulau Jawa. 

Baginda Chandrabhanu sebenarnya tak bernasib baik. Baginda terbunuh di Sri Lanka atau mungkin di India Selatan. Kerajaan baginda kemudian diserap oleh kerajaan sahabat baginda di utara, iaitu kerajaan Sukhothai sekitar abad ke-12 masehi. Ada sebuah rencana juga mengenai baginda dalam akhbar berbahasa Inggeris di Sri Lanka tentang baginda. Tapi mereka menganggap baginda Chandrabhanu sebagai lanun walaupun baginda sangat patuh pada ajaran Buddha. Kalau aku sempat, aku akan menempeknya untuk tatapan bersama.         

Tiada ulasan:

Catat Ulasan