Rabu, 20 Ogos 2014

Kerajaan Hirañya Ngěnyāng


Kerajaan ini merupakan negara awal orang Thai Utara bermula dari abad ke-7 M sehingga ke-13 M. Ia mula berpusat di Hirañya yang sebelum itu digelar Vieng Prěuksa. Kini tempat itu terletak di daerah Mae Sai di negeri Chiangrai. 

Ibu kota negara ini kemudian berpindah ke Ngěnyāng (Chiang Saen). Negara ini pernah didahului negara Hindu yang lain, negara Sihanavati. Raja ke-17, raja Mangrāi menjadi pengasas kepada negara Lanna. Berbeza dengan negara-negara Tai lain ketika itu, kerajaan Hirañya Ngěnyāng disebut juga oleh hikayat-hikayat tempatan. Oleh itu, mudah sekali untuk mengesan sejarahnya.

Pada 545 M, gempa bumi memusnahkan negara-kota Naga dan negara Sihanavati. Mereka yang terselamat berkumpul dan berbincang untuk melantik raja di Vieng Prěuksa. Prěuksa bermaksud, berbincang. Selepas 93 tahun mereka menjalani sistem beraja berganti-ganti, raja Kalavarnadit dari negara Lavo memaksa Vieng Prěuksa untuk menerima Lavachakka menjadi raja mereka pada 638 M. kemudian dinamakan semula, negara Hirañ.

Lavachakka ini dihipotesiskan sebagai ketua puak di kawasan itu yang menerima sokongan negara Lavo. Wangsa Lao dari Lavachakkaraja kemudian memerintah selama 700 tahun di situ. Laokiang, raja ke-10, membina kota di Ngěnyāng (Chiang Saen) sekitar 850 M. Ibu kota pun berpindah ke situ dan baginda menjadi raja pertama di Ngěnyāng. Rantau jajahan negara ini didakwa melebar dari barat di Chiang Saen sehingga ke Luang Prabang di utara Laos sehingga ke Thaeng di Điện Biên Phủ di Vietnam.

Kerajaan ini pernah dijajah oleh orang Tai suku Lu dari negara Chianghung (Jingrong) di China pada 1250 M. Kawasan utara yang dijajah itu kekal begitu sehingga penaklukan Mongol dinasti Yuan. Agama penduduk di Ngěnyāng tebal sekali dipengaruhi oleh ajaran Buddha Theravada seperti yang dianuti oleh kerajaan Haripuñjāya di selatan.

Sekitar tahun 1250, Laomeng, raja ke-16, mengasaskan negara-kota Chiangrai. Putera baginda, Mangrai memindahkan ibu kota ke Chiangrai sebaik saja bertakhta pada 1262. Pada 1281, Mangrai menjajah Haripuñjāya dan merampas kota Lamphun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan