PADA tahun 1960-an dan 1970-an, persembahan wayang kulit dalam bahasa Siam khususnya semasa majlis kenduri kahwin begitu popular di sekitar negeri Kedah.
Persembahan itu dilakukan oleh Tok Dalang Wayang Kulit Seri Asun, Mohd. Noh Mahmud atau Pak Noh yang berasal dari Kampung Asun, Jitra.
Walaupun disampaikan sepenuhnya dalam bahasa Siam, puluhan penonton sanggup duduk di tanah lapang sehingga lapan jam untuk menonton hiburan rakyat itu. Persembahan selalunya dimulakan pada pukul 10 malam dan berakhir pada pukul 6 pagi.
Salah satu persembahan yang terkenal ialah cerita bertajuk Prasai Siwong Mala Suya atau Nasib Anak Muda Yang Miskin.
Ia mengisahkan seorang anak muda bernama Mali yang pergi merantau dan berjumpa dengan pasangan suami isteri, Pak Iman dan Mak Iman. Si suami seorang yang baik, bagaimanapun si isteri seorang yang garang.
Mak Iman menyuruh Mali menjual daging bagi mendapatkan wang sebanyak RM25.
Namun, daging yang dijual Mali tidak laku. Dia kemudian mendapat idea untuk bersyair dan bercerita bagi mendapatkan wang dengan menghiburkan orang ramai.
Bagaimanapun, jumlah wang yang dikumpul belum cukup. Dia pun memberitahu orang ramai jika wang yang dikumpul tidak cukup RM25, dia akan diseksa oleh Mak Iman.
Akhirnya penonton berasa kasihan dan mencukupkan wang yang diperlukan Mali.
“Cerita Mali ini merupakan kegemaran bapa saya, Pak Noh. Saya juga membawa cerita yang sama, namun menerusi versi saya sendiri dengan tajuk Nasib Si Miskin.
“Watak Mali dan Pak Iman masih dikekalkan. Dalam cerita versi saya, Mali ialah seorang anak miskin yang berguru dengan Pak Iman. Dia bekerja mencari kayu api dan bunga untuk dijual di pasar. Akhirnya Mali berjumpa dengan seorang wanita yang sebenarnya adalah puteri raja.
“Mereka kemudian berkahwin dan kehidupan Mali berubah menjadi senang,” ujar Abdul Majid atau Pak Majid, yang mewarisi kesenian itu daripada bapanya Pak Noh.
Bahasa Siam
Pak Majid berjinak-jinak dengan wayang kulit sejak umur 21 tahun lagi.
Mengimbas persembahan wayang kulit 40 tahun lalu, Pak Majid berkata, ia hanya ditonton oleh orang tua mungkin disebabkan penggunaan bahasa Siam sepenuhnya.
Ujar Pak Majid, bapanya menuntut ilmu wayang kulit daripada seorang dalang warga Siam, Aden Choon yang kerap membuat persembahan di daerah Kubang Pasu sekitar tahun 1940-an.
Menurut Pak Majid, bapanya sering dimarahi datuknya, Mahmud Saad yang khuatir dia tersampuk hantu wayang kulit kerana asyik menonton persembahan itu.
Katanya, pada suatu hari bapanya terasa belakang pinggangnya seperti dicekik ketika pergi ke bendang menyebabkan dia jatuh sakit. Setelah enam bulan berubat dengan Aden Choon baru dia sembuh.
“Aden Choon kemudian memberitahu Mahmud bahawa anaknya perlu berguru ilmu wayang kulit, namun dihalang oleh datuk saya tetapi Pak Noh tetap pergi.
“Pak Noh yang ketika itu berusia belasan tahun berguru selama 12 tahun dengan Aden Choon di Paya Naomi, Changlun. Dan sepanjang perguruan itu dia langsung tidak balik. Setelah tamat belajar dia pulang dan bapa menerimanya dengan baik,” katanya.
Pak Noh membuat persembahan wayang kulit di majlis kenduri kahwin sekitar Asun dan Napoh pada tahun 1960-an hingga 1970-an dengan upah antara RM10 hingga RM30. Pada tahun 1980-an upahnya ialah antara RM120 hingga RM200.
Pak Noh pernah membuat persembahan di Australia pada awal 1980-an.
Menurut Pak Majid, kali pertama beliau membuat persembahan ialah di Kampung Tok Jalai, Jitra dengan membawa dua cerita iaitu Puteri Kembar dan Puteri Simpur Emas selama dua jam.
“Saya menyampaikan cerita itu dalam dialek Siam serta Melayu,” katanya sambil memberitahu beliau kemudian menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris pada tahun 1990-an.
Jelajah
Selepas itu, katanya, sambutan begitu menggalakkan termasuk daripada golongan muda kerana beliau turut menyelitkan unsur jenaka, sindiran, nasihat dan pengajaran.
Selepas itu, katanya, sambutan begitu menggalakkan termasuk daripada golongan muda kerana beliau turut menyelitkan unsur jenaka, sindiran, nasihat dan pengajaran.
Persembahan Pak Majid pada ketika itu hanya di sekitar Alor Setar, Kuala Nerang dan Perlis.
Namun, pada tahun 1992 segalanya berubah apabila Pak Majid dijemput membuat persembahan pada program Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3 yang dihoskan oleh Aziz Desa.
“Antara cerita yang diminati penonton TV3 ialah Menaruh Harapan, Anak Derhaka dan Gila Gambar dengan watak utama Pak Tam dan Etong,” katanya.
Bermula dari situ Pak Majid merantau ke seluruh pelosok tanah air termasuk Sabah dan Sarawak bagi membuat persembahan wayang kulit.
“Saya lebih gemar dikenali sebagai Kumpulan Wayang Kulit Seri Asun, namun nama Wayang Gedek Seri Asun juga tidak mengapa kerana ia adalah persembahan yang sama,” katanya.
Wayang Kulit Seri Asun pernah mengharumkan nama negara menerusi siri penjelajahan di kota-kota Eropah seperti Frankfurt, Amsterdam, Birmingham, Paris serta Milan dan Rom. Mereka turut singgah di Beijing dan Bangkok.
Menurut Pak Majid, sambutan ketika mengadakan persembahan di negara itu amat menggalakkan kerana penonton begitu teruja dengan seni dan kebudayaan Malaysia.
Katanya, beliau menyampaikan persembahan dalam bahasa Melayu serta bahasa Inggeris selain bahasa Cina Mandarin bagi memudahkan mereka memahami cerita itu.
“Persembahan diadakan dalam dewan dengan kapasiti penonton 500 hingga 800 orang. Mereka terdiri daripada penuntut universiti, pensyarah dan pencinta seni.
“Selepas persembahan mereka mengerumuni saya dan anggota kumpulan untuk temu bual dan bergambar,” katanya sambil memberitahu bakat wayang kulitnya diturunkan kepada anak bongsunya, Mohd. Farhan, 15 atau dikenali sebagai Pan An di kalangan rakannya.

Sumber: Kosmo, Rencana Utama - 8 April 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan