Isnin, 5 Mac 2012

Sejarah Ajaran Agama: Buddha di Siam Purba

Buddha Jataka Carita - Kisah Penjelmaan Buddha di Nakon Pathom
 
Pengenalan Perkembangan Ajaran Buddha Siam Purba

Dah tentu hangpa banyak dok baca pasai sejarah Hindu-Buddha Jawa no. Dak pon sejarah Hindu-Buddha Bali Indonesia. Yang sebelah Siam punya tak banyak dalam bahasa Melayu pasai depa guna bahasa Siam manakala yang berbahasa Melayu banyaknya pun penganut Islam. Jadi, apa kejadahnya depa nak menulih pasai ajaran Hindu-Buddha dalam bahasa Melayu? Jadi kat sini kita bagi maklumat dalam bahasa Melayu. Dalam ni aku pakai bahasa Melayu piawai saja la senang sapa-sapa rajin nak baca novel paham.

Sebenarnya perkembangan ajaran Buddha di Siam purba terbahagi kepada empat zaman semuanya. Dalam bab kedua buku Buddha di Siam, ada diterangkan mengenai sekumpulan bhikku yang dihantar oleh maharaja Asoka ke kawasan ulu di Semenanjung Indo-China untuk menyebar ajaran Buddha ke situ. Yang dimaksudkan dengan Semenanjung Indo-China tu adalah Segenting Kera.

Kumpulan bhikku ni diketuai oleh dua orang bhikku, Yang Penyantun Sona dan Uttara. Dalam perjalanan darat dari benua India itu, mereka melalui Burma sebelum menyambung perjalanan lagi ke negara-negara purba di sebelah barat laut benua Asia Tenggara. 

Di sebelah Thailand ini, kota purba ada di Nakhon Prathom kira-kira 50 kilo ke barat kota Bangkok. Kota ini nampaknya mempunyai bukti carigali yang ajaran Buddha mula-mula sekali bertapak di sini. Ada juga batu besurat, rupa Buddha, dan juga tapak kaki Buddha dengan pagoda besar yang kalau dipotong rentas atasnya akan kelihatan sama rekabentuknya dengan stupa maharaja Asoka di pekan Sanchi di India sana.

Awalnya memang meragukan juga tentang bagaimana para penyebar ajaran Buddha tersebut boleh dipahami oleh penduduk tempatan di tempat yang mereka sampai. Tapi dalam hal dua orang suci yang sampai ke dalam negara-negara purba di Thailand ini kemungkinannya memang sudah ada peniaga-peniaga Hindu dan pelarian Hindu yang tinggal di sekitar kawasan Semenanjung Tanah Melayu dan Segenting Kera. Setengah dari puak Hindu ini memang pernah melarikan diri ke Semenanjung Tanah Melayu dan Segenting Kera kerana mengelakkan penaklukan maharaja Asoka serta perang. Sewaktu itu maharaja Asoka belum menganut ajaran Buddha lagi, dan baginda memang jahat.  

Oleh itu, tak bersebab yang menyatakan bahawa sebaran ajaran Buddha hanya terhad kepada orang Hindu sahaja kemudian melalui jurubahasa Hindu baru orang-orang negara purba yang masa itu keturunan mereka dari keturunan Mon-Kemir dan Lawa menganuti ajaran Buddha.

Sudah diketahui umum bahawa ajaran Buddha berkembang pesat di Segenting Kera, sehingga ia pun termasuk dikenali sebagai sebahagian dari Suwarnabumi atau Tanah Keemasan. Penduduk rantau ini, yang merupakan rumpun jenis Mon-Kemir dan Lawa mempunyai raja-raja dan ketua mereka merupakan orang Hindu atau berketurunan Hindu melalui keturunan atau perkahwinan.  

Hakikat ini memastikan bahawa kebudayaan Hindu dan ketamadunan Hindu sudah bertapak lama di tanah ini. Makanya, ajaran Buddha Theravada telah merebak ke seluruh Segenting Kera dan menarik perhatian etnik Burma dan etnik Tai yang juga disepak keluar dari Tibet dan Yunnan. Ajaran Buddha Theravada tidak berkesan di timur laut yang sekarang ini sebahagian dari Vietnam Utara.

Zaman Funan

Kemunculan aliran Buddha Mahayana di benua India dalam kurun keenam tahun Saka, menyebabkan penyebar ajaran dihantar lagi ke seberang laut dan melalui jalan darat. Perjalanan jalan darat mereka melalui Bengal (Bangladesh) dan Burma (Myanmar Utara), manakala perjalanan laut mereka pertama sekali mendarat di Semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Sumatera. Selepas singgah di situ baharu lah mereka pergi ke Kemboja. 

Semasa ini juga berlaku kemunculan kerajaan Funan, meliputi tanah Kemboja dan juga kawasan timur laut dan tengah Thailand hari ini. Penduduk negara Funan menganuti dua aliran ajaran Buddha. Ada yang menganut aliran Theravada dan ada yang Mahayana. Dalam kurun ke-10 tahun saka setengah bhikku negara Funan dilaporkan pergi ke China untuk belajar dan menterjemah teks Buddha di sana. Antara bhikku Kemboja dari negara Funan yang berani ke tanah China adalah bhikku Sanghapala dan Mandarasena.

Negara Funan, dalam abad ke-11 tahun Saka mula merosot. Ia dikalahkan oleh tanah jajahannya iaitu negeri Chenla. Kemudian negeri Chenla merempas ibu kota dan menyerap negara Funan menjadi negara Chenla pula. Halnya macam sekarang ini kata lah negeri Perak lawan dengan kerajaan Pusat. Kerajaan Pusat di ibu kota kalah maka seluruh negara kemudian diserap menjadi negara Perak. Macam tu lah kot. Selepas kejadian itu, perkembangan ajaran Buddha di tanah Kemboja menjadi lembap.

Zaman Dwarawati

Semasa abad ke-11 tahun Saka, apabila ajaran Buddha sedikit sebanyak terjejas selepas negara Funan dikalahkan dan menjadi jajahan; orang Mon yang tinggal di wilayah dekat sungai Chao Phraya dalam Thailand hari ini mengambil peluang untuk mengisytiharkan diri mereka merdeka dari jajahan Kemboja Funan. Mereka bangkit membina kerajaan Dwarawata. 

Sebab ia menjadi pusat tamadun dan budaya, negara baru itu mengalami kepesatan mendadak dari segi kesenian dan keagamaan. Agak menarik juga apabila negara ini menjaga dan memelihara ajaran Buddha menurut aliran Theravada yang diwariskan oleh para penyebar ajaran yang dihantar oleh maharaja Asoka. Disebabkan Dwarawata mempunyai hubungan rapat dengan orang Hindu di lembangan Ganges, maka kebudayaan menurut acuan ajaran Buddha kelihatan menyerupai kesenian yang ada dalam dinasti Gupta.

Ibu kota dan pusat negara Dwarawata kemungkinan besar terletak di Nakhon Prathom (Negara Pertama). Tapi dalam abad ke-12 tahun Saka, negara Dwarawata mula melebar sampai ke utara. Mulanya ke kota di Lopburi. Kemudian ke negeri-negeri dalam wilayah Utara Thailand hari ini. Ada rekod menunjukkan bahawa Ratu Jamadewi yang merupakan seorang Mon dari zaman Dwarawata pernah menjadi pemerintah di kota Haripunjaya atau di kota zaman ini sekitar 700 kilo dari utara Bangkok. Baginda pernah menjemput 500 orang bhikku yang terpelajar dengan kitab suci untuk mengajar dharmma kepada orang ramai di Haripunjaya. Ini antara sebab mengapa aliran Theravada dari Dwarawata mendapat tempat di wilayah-wilayah Utara Thailand pada ketika itu. Orang Tai sendiri yang dihalau keluar dari Yunnan juga tertarik menganut ajaran Buddha aliran Theravada hasil pengaruh kerajaan orang Mon.  

Penguasaan orang Mon ke atas rantau Utara Thailand bertahan selama beberapa abad. Batu besurat dalam tulisan Mon purba ada ditemui di kota di Nakhon Prathom sampai ke Lopburi dan Lamphun. Dalam abad ke-14 tahun Saka, kerajaan Chenla yang tadi menyerap penjajahnya iaitu Funan mula digantikan pula oleh kerajaan Kemir purba. Kerajaan ini baru lah dikenali sebagai Kemboja Angkor. Ia mula meluaskan jajahannya sampai ke sebahagian kerajaan Dwarawata. Mereka cuma tak berjaya menakluki wilayah-wilayah Dwarawata di utara dan rantau timur laut sahaja.     

Zaman Seriwijaya

Semasa kerajaan Dwarawata sedang berkembang pesat di tengah Siam purba, di sebelah selatan Siam purba sudah ada beberapa negara kecil yang dua antaranya disebut dalam rekod China purba sebagai Chih Tu (Tanah Merah) dan Pan Pan.

Tanah Merah letaknya mungkin dekat-dekat dengan Saiburi (Kedah Utara). Ada setengah ahli carigali mengesahkan bahawa negeri ini letaknya berdekatan dengan kota Madrid dalam Burma. Aku rasa jajahan Kedah zaman dulu luas la kot sampai ke sempadan Burma bawah. Penduduknya menganuti ajaran Buddha. Yang Pan Pan itu katanya ahli carigali dekat kawasan kota Surat Thani sekarang ini kira-kira 650 kilo dari selatan Bangkok. Penduduknya pun menganuti ajaran Buddha aliran Theravada. Negara-negara ini selalu berhubungan dengan negara Dwarawata di tengah Siam purba.    

Dalam kurun ke-12 tahun Saka, muncul kerajaan Seriwijaya di pulau Sumatera. Seriwijaya muncul menjadi empayar di sebelah selatan dan meluaskan pengaruhnya sampai ke Semenanjung Tanah Melayu yang bersempadan dengan negara Dwarawata. Walau bagaimana pun, dalam negara-negara ini aliran Buddha Savakayana juga berkembang pesat. Ia dicatat oleh penyebar ajaran Buddha dari empayar China purba iaitu E Ching. Hal ini disebabkan oleh pemerintah negara-negara purba di selatan ini pemerintahnya serta rakyatnya sangat tekun mengamalkan aliran Savakayana.

Apabila wangsa Pala di Magadha-Bengal (Bangladesh) mula berkuasa, aliran Mahayana terutamanya cabang Mantrayana mula diberi perhatian dan oleh kerana negara Pala sering berhubung dengan negara setarafnya, iaitu negara Seriwijaya yang mengawal negara-negara di Semenanjung Tanah Melayu, maka aliran Mahayana cabang Mantrayana mula diterima oleh Seriwijaya selama 500 tahun. 

Bukti hal ini ada ditemui di wilayah Nakon Sri Tammarat yang dahulunya dikenali sebagai negara Tamralinga. Ada batu bersurat bertulisan bahasa Sanskrit bertarikh tahun Saka 1318 (715 M) menyebut tentang omkar kedaulatan maharaja Seriwijaya. Dalam abad ke-15 tahun Saka, ada disebut tentang seorang guru Buddha dari Bengal ke Tibet dikenali sebagai Dipangkar Atisa yang tinggal selama 12 tahun di Dharmmakirrtti di Sumatera. 

Kemudian pengaruh zaman Seriwijaya boleh juga dilihat di biara Borobudur di tengah pulau Jawa bukan sahaja di Selatan Siam. Di Siam, tempat-tempat pemujaan seperti candi atau pagoda yang menyimpan sharira dan tinggalan Buddha di kota Chaiya dan juga candi paling dalam yang menurut gaya candi Seri Lanka yang ada di kota wilayah Nakon Seri Tammarat merupakan bukti dari pengaruh Seriwijaya yang menurut aliran Mahayana pada ketika itu.      

Bukti-bukti ini bersama yang lain-lain memaklumkan kita mengenai pengaruh aliran ajaran Buddha dalam dua zaman apabila pengaruh Seriwijaya melebar ke luar negaranya dari Sumatera sampai ke tanah Kemboja dan juga jajahan Kemboja di kawasan lembangan sungai Chao Phraya.

Zaman yang pertama dalam kurun ke-13 tahun Saka, dan zaman kedua di pertengahan kurun ke-16 tahun Saka. Maharaja Suryawarman I (1546-1592 TS) dari Kemboja juga mempunyai keturunan kerabat diraja Seriwijaya dan ini merupakan penyebab aliran Mahayana melebar di negara-negara dalam Thailand dan Kemboja sejak abad ke-13 T.S.

Zaman Lopburi

Sekitar abad ke-15 sampai ke-18 T.S apabila pengaruh Kemboja mula melebar ke negara-negara dalam Siam, zaman ini dikenali sebagai zaman Lopburi. Setengah maharaja Kemboja, merupakan penganut ajaran Buddha manakala yang lain merupakan penganut ajaran Brahmin. Walaupun ajaran Buddha di benua Siam ada dua jenis aliran iaitu Theravada dan Mahayana namun Mahayana juga yang mendapat sokongan maharaja-maharaja Kemboja sebab mereka mendapat ilham dari aliran Mahayana yang sudah berpengaruh lama sejak zaman Funan lagi. 

Walaupun ajaran Buddha aliran Mahayana-Mantrayana menghadapi kejatuhan semasa zaman Dwarawata, namun kejatuhan negara Dwarawata menyebabkan aliran Mahayana-Mantrayana mula berkembang semula terutamanya di selatan Siam apabila ia dianuti oleh kerajaan empayar Seriwijaya dan juga dianuti dalam kerajaan empayar Angkor Kemboja yang menguasai kawasan tengah dan timur laut Siam.

Kuil batu terkenal di kota Phimai dekat wilayah timur laut Siam menunjukkan bukti bahawa aliran Mahayana memang berpengaruh di situ. Kuil ni kemungkinan dibina dalam abad ke-16 T.S dengan phreang tiga lapis mewakili aliran Buddha Mahayana. Phreang ni pagoda la tapi gaya Kemboja. Di samping itu, ada banyak jenis tangkal Buddha ditemui dekat kota-kota dalam Siam seperti di selatan Siam di Nakon Si Tammarat kira-kira 800 kilo dari Bangkok, Lopburi, Suphanburi, dan Sawankhalok yang kira-kira 500 kilo dari utara Bangkok. Tangkal ini semua dibuat menurut ajaran Mantrayana dalam aliran Buddha Mahayana. Selepas itu, ia mula dikaitkan dengan ilmu hitam mak nenek yang diletakkan bau-bau ajaran Buddha di negara-negara berjiran.

Penutup

Komen aku pasai aliran Buddha Mantrayana ni, aku rasa nama lain dia adalah aliran Tantrayana atau aliran Wajrayana. Di Tibet aliran ni memang aliran turun-temurun depa dan di Jepun pun ada. Di pulau Jawa dalam Indonesia dengarnya depa pon beraliran Mantrayana sampai ke abad ke-15 masehi yang ada cerita serat Dharmoghandul cerita pasai raja dengan pulau Jawa depa kena sumpah dengan pendita Hindu depa nama Sabdapalaon sebab masuk Islam. Depa guna bahasa Sansekrit bukan bahasa Bali untuk upacara agama. Aku simpan buku tokong Cina Buddha pun ada surat puja depa pakai bahasa Sansekrit.

Ni zaman-zaman ni semua bukan zaman kerajaan orang Tai lagi. Ada beza Tai dengan Thai pasai Thai ni istilah zaman moden. Manakala Tai merujuk kepada jenis etnik Tai yang masuk ke empayar Siam sejak abad ke-7 masehi jadi anak jajahan dalam empayar Kemboja wangsa Angkor. Zaman depa ni bertembung dengan zaman Siam sebab Siam akan muncul dalam abad ke-13 masehi. Lepas tu pelabuhan Melaka muncul dalam abad ke-14. Bukan takdak puak Melayu dalam empayar Siam. Ada puak Melayu tapi depa tak suka kat puak Melayu yang ceroboh masuk tempat depa dari Palembang. Ni semua cerita abad ke-12 masehi zaman tak masuk Islam lagi pun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan