Kerajaan Orang Asli
Dari abad ke-10 M sampai abad ke-14, pelbagai lagenda tempatan di rantau dalam Thailand dapat dikenalpasti dan disahkan secara sejarah menerusi penemuan carigali sejarah. Dari abad ke-9 M, dapat dilihat kesan penjajahan orang Khmer ke atas sebahagian besar kawasan di lembangan Chao Phraya dan wilayah Timur Laut. Perluasan pendudukan orang Tai serta kebudayaan mereka juga merebak ke selatan pada zaman klasik iaitu sekitar abad ke-12 M.
1. Kerajaan Asli Utara: Haripunjaya
Menurut kepada lagenda Jamadewi Wangsa, negara kota Haripunjaya yang terletak di Lamphun pada zaman moden ini dibuka oleh seorang pertapa yogi bernama Sudeva. Dalam abad ke-7 M, seorang puteri dari Lavo atau Lawapura dijemput untuk menjalankan adat pemerintahan di negara-kota tersebut.
Walau bagaimanapun, sejarawan kebanyakannya merasakan tarikh tersebut terlalu awal untuk penubuhan Haripunjaya sebagai sebuah negara-kota kerana puteri Jamadewi tidak membawa sebarang Dharmacakra ke utara. Haripunjaya mungkin berasal dari pecahan kerajaan Lavo yang dibuka pada kira-kira abad ke-10 M atau mungkin juga berhubungan dengan kerajaan Thaton di Myanmar hari ini.
Haripunjaya menjadi pusat penyebaran ajaran Buddha aliran Thervada di sebelah utara. Kerajaan ini berkembang dalam pemerintahan raja Attayawangsa yang membina Phra Dhatu Haripunjaya pada 1108 M. Kerajaan orang Mon Purba ini dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan Mon Purba lain di Thathon.
Semasa abad ke-11 M, kerajaan Haripunjaya pernah terlibat dalam peperangan dengan kerajaan orang Tai iaitu kerajaan Nakorn Ngenyang dari Chiang Saen. Serangan demi serangan melemahkan negara Haripunjaya. Ia jatuh merudum pada 1293 ketika ekspedisi ketenteraan raja Mengrai dari kerajaan Ribuan Sawah (Lanna) yang menggantikan kerajaan Ngenyang.
2. Kerajaan Asli Tengah: Lavo
Sekitar abad ke-10 M, negara kota Dvaravati berpecah menjadi dua mandala. Mandala pertama di Lopburi dengan diwakili kerajaan Lavo manakala mandala kedua dikenali sebagai kerajaan Suvarnabhumi terletak di Suphanburi.
Menurut lagenda Chiangmai, pada sekitar 903 M, seorang raja dari kerajaan Tamralinga di selatan menyerang dan menakluki negara Lavo. Putera dari keturunan Melayu dilantik memegang takhta kerajaan Lavo. Putera raja negara Tamralinga itu dikahwinkan dengan puteri raja Kemboja yang melarikan diri dari pertumpahan darah di istana kerajaan Angkor di Kemboja.
Putera Narvanapala, anakanda kepada pemerintah Lavo dari keturunan Melayu dengan puteri Kemboja tersebut kemudian muncul untuk menuntut takhta kerajaan Angkor di Kemboja sana. Baginda berperang sembilan tahun lamanya dengan Jayawiravarman. Baginda dipercayai beragama Buddha walaupun memakai gelaran Hindu kasta Brahma-Kesatria iaitu Varmanna. Selepas mendapatkan takhta Angkor, putera tersebut memakai gelaran Suryavarman I. Kemudian baginda menyatukan kerajaan Lavo ke dalam empayar Angkor di samping melanjutkan lagi perluasan kuasa sehingga ke dataran Korat sampai ke Laos. Baginda Suryavarman I membina kuil-kuil Hindu, antaranya adalah Prasat Prah Vihara yang tapaknya di Gunung Dangrek menjadi rebutan antara kerajaan nasionalis Kemboja dengan kerajaan Thailand. Selain itu, baginda ada terlibat dalam membangunkan Vimana Angkasa dan kawasan takungan air di Angkor. Suryavarman I tidak mempunyai pewaris lelaki. Disebabkan hal itu, kerajaan Lavo pun terlepas bebas.
Pada 1058 M, Raja Anirudha dari kerajaan Bagan di Myanmar hari ini menjarah negara Lavo. Raja negara Bagan itu dipercayai mengahwini puteri raja Lavo lalu dibawa pulang ke Bagan. Kuasa kerajaan Lavo mencapai peringkat kegemilangan semasa pemerintahan raja Narayana (1072-1076). Pada 1080 M, raja Chansittha dari Bagan cuba menyerang kerajaan Lavo dalam usaha menggabungkan kerajaan-kerajaan orang Mon Purba ke dalam lingkungan kuasa orang Burma. Usaha raja Chansittha tidak berjaya kerana Lavo berjaya menepis serangan. Walau bagaimanapun, kerajaan Lavo dijarah pula oleh kerajaan Angkor yang diperintah ketika itu oleh raja Suryavarman II. Negara Angkor mengambil kesempatan tersebut selepas kemangkatan raja Narayana. Putera kepada Suryavarman II dilantik menjadi pemerintah negara Lavo.
Serangan berulang dari kerajaan Angkor ini menyebabkan kerajaan Lavo menerima unsur-unsur budaya dan keagamaan dari orang Khmer. Negara Lavo yang asalnya adalah negara kota bahagian kepada mandala Dvaravati yang penduduknya beragama Buddha Theravada berubah menjadi negara kota yang menurut istiadat Hindu dan budaya Kemboja-Khmer. Negara Lavo menjadi pusat penyebaran kebudayaan Khmer serta kuasanya ke seluruh lembangan Chao Phraya. Ukiran timbul pada kuil Angkor menunjukkan askar Lavi sebagai senakula (hamba tentera) kepada empayar Angkor. Walau bagaimanapun, terdapat juga bahagian askar dari etnik Tai dalam askar negara Lavo yang berkhidmat untuk negara Angkor, satu abad sebelum penubuhan kerajaan Sukhothai di Phitsanulok.
Ketibaan Orang Tai-Kadai
Teori terbaru yang lebih tepat tentang asal-usul orang Tai bersesuaian dengan pengkajian sejarawan di bidang akademik bahawa wilayah Guangxi di Barat Daya China sebenarnya tempat timbulnya etnik Tai-Kadai. Teori ini lebih tepat dibandingkan dengan teori Yunnan. Kebanyakan etnik Tai dari suku kaum Zhuang msih lagi tinggal di Guangxi hari ini.
Sekitar abad ke-7 M, orang Tai yang masih belum dipengaruhi oleh kebudayaan Han (Cina) turun ke Dien Bien Phu di Vietnam hari ini. Hal ini diceritakan dalam lagenda Khun Borom. Dari situ, orang Tai mula berselerakan ke tanah tinggi di utara dan membuka kota-kota seperti Luang Prabang dan Chiang Saen.
Lagenda Singhanavati menceritakan bahawa seorang ketua puak Tai bernama Singhanavati menghalau keluar orang asli dari suku kaum Wa dari jenis Mon-Khmer yang belum berkebudayaan Hindu atau Buddha. Suku kaum Wa ini ada juga di China, Myanmar dan India. Macam yang aku pernah sebutkan, boleh buka sumber Hindu Purba seperti Mahabharata untuk memeriksa kisah "rumpunan" orang darat atau jenis Mon-Khmer ini yang melampaui zaman turunnya mereka di Asia Tenggara. Singhanavati membuka kota Chiang Saen sekitar abad ke-8 M. Untuk pertama kalinya, orang Tai berhubungan dengan kebudayaan dan tamadun kehinduan di Asia Tenggara. Walaupun mereka berperang dengan orang Mon Purba dari negara Haripunjaya, tapi mereka pun menyerap agama Buddha Theravada dan memakai gelaran diraja bahasa Sanskrit hasil dari pemerkasaan tamadun orang asli dengan istiadat keagamaan Hindu Purba.
Phra Dhatu Doi Tung dibangunkan sekitar 850 M yang menunjukkan kesetiaan orang Tai-Kadai terhadap agama Buddha aliran Theravada. Sekitar abad ke-9 M, berlaku perang antara negara kota Chiang Saen dengan Haripunjaya. Tentera Mon Purba dari Haripunjaya masuk menyerang Chiang Saen. Raja Chiang Saen menjadi pelarian. Pada 937 M, Putera Prom atau Ta Prom merampas kota Chiang Saen semula dan memukul teruk negara Haripunjaya sebagai balasan.
Sekitar abad ke-10 M, kota Chiang Saen dihancurkan gempa bumi dan semua penduduknya terbunuh. Satu majlis ditubuhkan bagi mentadbir kerajaan tersebut untuk sementara waktu. Seorang asli dari suku kaum Wa dikenali sebagai Lavacakra Raja dipilih sebagai raja baru kota tersebut. Kota itu diubah nama menjadi Nakorn Ngenyang. Wangsa Lavachakra Raja memerintah kawasan tersebut selama 500 tahun.
Negara yang mulai sesak menyebabkan orang Tai mula turun ke selatan mencari kekayaan. Menjelang 1100 M, orang Tai membuka tanah-tanah baru di hutan-hutan dengan melantik Po Khun di Nan, Phrae, Songkwae, Sawnakhalok, Chakangrao dan lain-lain kawasan di hulu lembah Chao Phraya. Ketua-ketua puak Tai yang berpenempatan di selatan ini mula bertembung dengan pengaruh Khmer dari kerajaan Lavo. Setengah mereka pula menjadi kuli batak dan rakyat dalam kawasan mandala Lavo yang diperintah oleh pentadbir berkebangsaan Khmer dan beragama Hindu.
1. Kerajaan Thai Utara: Sukhothai dan Lanna
Negara kota orang Thai mula terlepas sedikit demi sedikit dari genggaman empayar Khmer. Dikatakan bahawa Sukhothai mula menjadi negara berdaulat dan berkuasa di bawah pentadbiran Po Khun Sri Indraditya. Sebutan perkataan pinjaman bahasa Sanskrit yang panjang-panjang dan berbelit-belit dalam bahasa Thai mula diperpendek semasa pemerintahan Po Khun Sri Indraditya. Aku gunakan terus sebutan bahasa Sanskritnya sebab aku boleh sebut betul-betul dalam bahasa Sanskrit dan menunjukkan bahawa nama-nama tersebut adalah pinjaman dari bahasa orang Hindu Purba.
Sistem politik orang Tai di negara Sukhothai ini menurut kepada sistem bapa menjaga anak-anaknya. Bukan sistem feudal yang menurut kepada sistem dewaraja Hindu. Semua orang boleh mengadu masalah mereka secara terus kepada raja dengan hanya menghentam loceng di hadapan istana yang memang disediakan untuk tujuan tersebut. Kota Sukhothai kemudian ditadbir pula oleh Po Khun Ramkhamhaeng yang memperbaharu bentuk tulisan Pallava Kemboja menjadi ringkas seperti tulisan Thai yang kita nampak hari ini. Po Khun Ramkhamhaeng juga berkawan rapat dengan raja Chandrabhanu dari negara Tamralinga di selatan sebelum raja Chandrabhanu terbunuh di India Selatan serta patuh dengan ajaran Buddha aliran Theravada. Po Khun Ramkhamhaeng mangkat pada 1365, negara Sukhothai jatuh dan mula diserang oleh negara orang Tai lain yang berada di hilir lembangan Chao Phraya iaitu negara Sri Ayuttaya (Siam).
Negara Tai lain yang wujud dalam waktu hampir sama dengan negara Sukhothai adalah negara Lanna yang berpusat di Chiang Mai. Kota ini dibuka oleh Raja Phaya Mengrai dan mempunyai banyak sawah padi. Negara Lanna bersekutu rapat dengan negara Sukhothai. Selepas negara Ayutthaya muncul dan meluaskna pengaruh ke hulu lembangan, negara Sukhothai pun turut dilandanya dan menjadi negeri sahaja dalam empayar Siam. Sri Ayutthaya turut menyerang negara Lanna lalu Chiang Mai berjaya dirampas menjadi negeri yang membayar ufti dan menyembah ke Sri Ayutthaya.
Kebebasan negara Lanna berakhir terus pada 1558 M apabila ia jatuh ke dalam pemerintahan orang Burma dari Myanmar. Ia diperintah Burma sampai lewat abad ke-18 M. Ketua-ketua tempatan di negara Lanna bangun menentang pentadbiran orang Burma dengan bantuan kerajaan baru yang muncul di tengah Thailand iaitu kerajaan Thonburi yang diperintah raja Thaksin. Selepas itu, negara-negara Thai di utara menyembah ke kerajaan Thai di tengah dari zaman Thonburi sampai ke zaman Bangkok. Dalam abad ke-20 M, Lanna dijajah dan menjadi sebahagian wilayah dalam Siam moden dan kini Thailand. Sama bangsa atau keturunan bukan bermaksud yang negara-negara ini adalah negara yang sama, bertumbuh sama-sama atau sama kepala.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan