Jumaat, 1 Mac 2013

Sejarah Thailand dan Siam: Kerajaan Awal


Sebelum turunnya orang Tai secara bergelombang dari Yunnan bermula abad ke-7 M sampai abad ke-10 M, Segenting Kra didiami oleh banyak jenis masyarakat yang tidak berkepercayaan agama tersusun.

Kepercayaan mereka adalah kepercayaan berbentuk kepercayaan bahawa alam sekitar ini dihuni oleh roh-roh dan pemujaan terhadap roh sekeliling mereka bagi menjalani kehidupan lancar. Kepercayaan ini disebut sebagai kepercayaan animisme atau tantrayana. Kepercayaan orang asli seperti ini wujud di merata tempat di dunia seperti di India, di China, di Jepun, di Amerika, di Afrika dan semua tempat pun ada. Orang Hindu dan penganut ajaran Buddha pun ada yang percaya bahawa alam ini digerakkan oleh dewa-dewa yang mewakili unsur alam misalnya matahari diwakili sang Surya, bulan diwakili Sang Chandra, angin diwakili oleh Sang Bayu, api diwakili Agni, Dewi Sakti yang mewakili kuasa pencetus dan lain-lain. Dewa-dewa itu dikatakan sebagai jenis-jenis bangsa dan makhluk jugalah dalam jagat raya ini.

Di rantau Thailand pula, penempatan manusia purba dikesan di sekitar wilayah-wilayah dalam Thailand sejak 500,000 tahun yang lampau. Penemuan terbaru fosil kerangka Homo Erectus di wilayah Lampang di utara merupakan antara contoh penempatan jenis manusia purba di dalam Thailand. Jumpaan carigali tersebut bertarikh karbon sekurang-kurangnya 1000,000-5000,000 tahun yang lampau iaitu semasa zaman Pleistocene. Jumpaan carigali purba jug ditemui di serata Thailand bertarikh dari zaman Gangsa (1500 SM-500 SM) dan zaman Besi (500 SM-500 M). Kawasan paling banyak dikaji dan digali adalah tapak di sebelah Timur Laut Thailand utamanyaa di lembangan Sungai Mun dan Sungai Chi. 

Sungai Mun utamanya adalah tapak-tapak kepada carigali kawasan kota yang dibina disekelilingnya dengan parit-parit yang diisi air serta mempunyai dinding kota untuk menjadi kubu. Kota berparit sekeliling tersebut mengandungi bukti-bukti penaklukan zaman pra-sejarah. Sekitar abad pertama masehi menurut kepada batu bersurat dari empayar Funan dan rekod sejarawan China, terdapat sebilangan penempatan pedagang di selatan Thailand yang nampaknya dilindungi oleh negara kota Melayu yang antara utamanya dipercayai negara kota Langkasuka dan negara kota Tambralinga.

Setengah penempatan pedagang menunjukkan kewujudan pedagang dari empayar Romawi. Ada jumpaan matawang emas empayar Romawi dengan titikan wajah maharaja Romawi Antoninus Pius (161 M) di Selatan Thailand.       

Tamadun Awal Pra-Siam di Thailand

Sebelum ketibaan orang Tai dan kemasukan kebudayaan mereka ke dalam wilayah-wilayah di Thailand moden ini, wilayah-wilayahnya diduduki oleh sebilangan penduduk dari tamadun Melayu dan tamadun Mon-Khmer. Orang Mon-Khmer memang ada kaitan dengan tamadun Hindu atau tamadun Mahabharata dan ada cerita panjang lagi kalau membuka kitab suci orang Hindu seperti Mahabharata. Tapi banyak lagi yang masih belum diterokai di Thailand sebelum abad ke-13 M disebabkan kurangnya sumber kesusasteraan dan sumber-sumber konkrit yang ditemui. Kebanyakan maklumat sejarah lampau diperolehi melalui bukti jumpaan arkeologi atau carigali sejarah.

Kerajaan Pra-Siam

1. Tengah Thailand: Dvaravati

Lembangan Sungai Chao Phraya di Tengah Thailand hari ini pernah menjadi pusat ketamadunan orang Mon serta pusat penyebaran budaya Hindu-Buddha tempatan. Ia mula bersinar sekitar abad ke-7 M sampai ke-10 M (Wyatt, 2003). Kewujudan tamadun-tamadun ini lama dilupakan oleh orang Thai sendiri tetapi ditemui semula oleh orang Barat bernama Samuel Beal. Beliau menemui satu rujukan tentang kerajaan purba dalam penulisan orang China purba yang menyebut mengenai Toulopoti. Pada awal abad ke-20 M, rombongan ahli arkeologi diketuai oleh George Coedes membuat usaha carigali di Nakhorn Pathom dan menemui pusat kebudayaan Dvaravati. Kemudian barulah disahkan bahawa "Toulopoti" itu merujuk kepada nama negara Dvaravati apabila ditemui batu bersurat berbahasa Sanskrit.   

Rentetan daripada itu, banyaklah tapak ditemui di sekitar lembangan Chao Phraya. Dua tapak terpenting ada di Nakorn Prathom (Negara Pertama) dan U Thong yang terletak di wilayah Suphanburi. Batu bersurat Dvaravati menggunakan bahasa Sanskrit dan bahasa Mon Purba bertulisan dari tulisan yang merupakan turunan tulisan Brahmana wangsa Pallava di India Lama.

Penduduk di Dvaravati diduga beragama Buddha menurut aliran Theravada disebabkan hubungan yang rapat dengan Sri Langka, manakala kelompok kasta pemerintah mengambil bahagian dalam upacara Brahmana menurut agama orang Hindu. Kesenian Dvaravati, termasuklah kesenian yang berkaitan dengan candi dan peralatan suci seperti arca-arca Buddha yang menunjukkan sedikit persamaan dengan wangsa Gupta dari India Lama. Kesenian ukiran tanah liat mereka yang lain ditemui di tapak carigali adalah Dharmacakra atau Roda Batu yang melambangkan prinsip-prinsip ajaran Buddha. Bahagian timur lembangan Chao Phraya pula lebih banyak menunjukkan pengaruh Khmer Kemboja dan Hindu selain dijumpai batu bersurat berbahasa Sanskrit dan berbahasa Khmer (Brown, 1996).

Dvaravati bukan sebuah kerajaan mutlak! Sebaliknya ia adalah jaringan negara-kota yang membayar ufti kepada kuasa utama menurut sistem mandala. Kebudayaan mereka menyebar ke Timur Laut Thailand sekarang sampai ke sebelah selatan di Segenting Kra di negara-negara kota orang Melayu. Dvaravati menurut sejarawan, merupakan antara bahagian dalam perdagangan antarabangsa zaman purba kerana ditemui juga artifak Romawi dan dicatatkan dalam rekod bahawa Dvaravati membayar ufti ke empayar dinsti Tang di China purba. Kebudayaan Dvaravati ini kehilangan taringnya sekitar abad ke-10 M akibat serangan demi serangan dari Kemboja.

Mereka berevolusi menjadi bahagian politi Lavo atau Lawapura akibat penjajahan Kemboja dari wangsa Angkor.   

2. Timur Laut Thailand: Sri Kottabun

Sementara di bahagian Tengah Thailand wujudnya bahagian mandala Dvaravati, di Timur Laut Thailand pula terdapat kebudayaan Sri Kottabun yang dibangunkan oleh orang asli Mon-Khmer atau orang darat. Sri Kottabun dianggap sebagai kebudayaan cawangan kepada Dvaravati. Mereka menggunakan sistem tulisan Hindu menurut kepada sistem yang terpakai di Dvaravati bagi menulis bahasa Sanskrit dan bahasa Mon Purba serta membentuk kota-kota dengan kepungan bentuk lonjong. Dharmacakra dari Dvaravati dijadikan sebagai batu penanda biara dn cetiya di Sri Kottabun. Negara kota ini bertahan dengan perluasan kuasa orang Khmer wangsa Chenla dari Kemboja sekitar abad ke-7 M. Kawasan terselatan sekali di wilayah Timur Laut Thailand merupakan pusat kepada negeri orang Chenla yang memperluas kependudukan mereka sampai melebar ke bawah ibu kota Funan pada abad ke-7 M. Ibu kota Sri Kottabun terletak di Nakorn Phanom atau Negara Bukit. Kawasan mereka ini meliputi bahagian utara Timur Laut Thailand sampai ke tengah negara Laos hari ini.

3. Selatan Thailand: Kebudayaan Melayu Purba

Di Segenting Kra yang bermula dari bawah Teluk Siam sampai ke Utara Semenanjung Tanah Melayu merupakan kawasan yang didominasi oleh kebudayaan Melayu walaupun terjadinya pertukaran kebudayaan sesama negara kota pada zaman purba. Kebudayaan di kawasan ini bukanlah seperti yang difahami pada zaman moden ini yang semuanya berlingkar dengan agama Islam yang diwahyukan Tuhan kepada nabi Muhammad s.a.w di Tanah Arab Hijaz. Agama Islam disebarkan di pantai-pantai oleh orang Arab Islam sama ada dari kelompok syeikh keturunan Arab yang mengaji agama dan mengajar agama atau oleh kelompok orang Arab dari gelombang kemasukan Bani Hashim yang berhubungan kekeluargaan dengan nabi Muhammad s.a.w.

Menjelang abad ke-2 M menurut kepada sumber China Purba, penduduk-penduduk Melayu Purba di Segenting Kra diperintah oleh datu-datu tempatan. Buku Malay Peninsula: Crossroads of Maritime Silkroads terbitan Leiden menyatakan bahawa mereka ini bukan sepenuhnya menyembah ke arah empayar Funan (Hergoualch et. al, 2002).

Bermula dari abad ke-6 M sampai seterusnya, ada dua mandala yang memerintah di Segenting Kra iaitu Kanduli dan Langkasuka. Kanduli berpusat di wilayah Surat Thani sekarang manakala Langkasuka dikatakan berpusat di wilayah Patani. Kawasan Selatan Thailand pada zaman purba merupakan pusat kepada falsafah Hindu dan ajaran Buddha aliran Mahayana. Sami Buddha dari dinasti Tang pernah berhenti sebentar di Langkasuka untuk belajar tatabahasa Sanskrit dan falsafah ajaran Buddha menurut aliran Mahayana sebelum meneruskan perjalanan ke India Purba sekitar abad ke-8 M. Pada ketika itu juga, negara-negara kota Melayu Purba tempatan di Selatan Thailand dan Utara Semenanjung Tanah Melayu jatuh ke dalam mandala empayar Melayu Purba Srivijaya dari Pulau Sumatera.      

Dalam abad ke-3 M juga, ada negara-kota Melayu Purba lain yang bertamadun Hindu wujud di sebelah timur Segenting Kra iaitu kerajaan Tamralinga. Negara-kota ini juga pernah dimasukkan ke dalam mandala empayar Srivijaya. Negara-kota ini juga dikenali sebagai Nakhorn Si Thammarat atau Negara Sri Dharmaraja yang pernah memecah masuk ke Sri Langka pada abad ke-12 M sebelum mula mengalami kejatuhan. Nama rujukan lain negara-kota ini adalah Ligor. Kadang-kadang mereka berbaik dengan Langkasuka dan kadang-kadang berperang pula. 

Menjelang penghujung abad ke-14 M, Tamralinga atau Ligor pernah diserap sebentar dari segi pentadbiran dengan kerajaan Melayu Sumatera berpusat di Jambi dengan sokongan Jawa. Pada sekitar 1365, kerajaan Hindu Majapahit di Pulau Jawa mencatatkan Ligor sebagai sebahagian daripada Siam.

Pelajaran bahasa Thai akan menyusul nanti-nanti sebab aku tengah mencatat masukan untuk pelajaran baru. Sambil belajar bahasa, kita boleh berhibur dengan cadangan lagu-lagu, filem-filem, kebudayaan dan lain-lain lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan