Jumaat, 1 Mac 2013

Sejarah Thailand: Era Rattanakosin dan Bangkok


Selama 400 tahun berkuasa, pada 1767, kerajaan Sri Ayutthaya dijatuhkan oleh tentera empayar Burma. Ibu kota dibakar dan wilayah-wilayah dipecahkan. Jeneral Thaksin kemudian berjaya menyatukan semula kerajaan Siam dan membuka ibu kota baru di Thonburi. Baginda mengisytiharkan diri baginda sebagai raja baru.  Walau bagaimanapun, terdapat khabar angin bahawa disebabkan oleh tekanan yang tak tertahan menghadapi kekacauan maka raja Thaksin terkena penyakit kurang siuman.

Jeneral Chakri pula membantu memerintah empayar Siam. Dikatakan bahawa raja Thaksin diperintah menjadi sami Buddha dan mesti bertapa dalam hutan jangan kelihatan di muka umum lagi. Ada juga berita mengatakan bahawa Jeneral Thaksin sebenarnya disingkirkan oleh Jeneral Chakri. Jeneral Chakri kemudian naik menggantikannya pada 1782 dengan memakai gelaran raja Rama I. Baginda melantik adik lelaki baginda menjadi Maha Uparaja dan anak saudara baginda sebagai Phraraja Wang Klang. Keluarga Chakri adalah keluarga keturunan Mon yang berasal dari Siam. Mereka merupakan kelompok orang istana yang pernah berkhidmat dengan wangsa Sri Ayutthaya. Dalam tahun 1782 juga, ibukota kerajaan Rattanakosin dipindahkan ke Bangkok dari Thonburi.   

Pada 1790an, empayar Burma dikalahkan dan dihalau keluar oleh empayar Siam. Lanna kemudian bebas dari penjajahan Burma, tapi raja dari wangsa baru yang dilantik pada 1790an menjadi pemerintah yang menyembah kepada kerabat diraja Chakri. Waris raja Rama I berasa bimbang dengan ancaman penjajahan barat selepas mendengar berita bahawa British berjaya menjajah empayar Burma yang berjiran saja dengannya pada 1826. Pemerintahan kerajaan Rattanakosin mewakili empayar Siam diiktiraf di rantau ini melalui Perjanjian Persahabatan dan Perdagangan antara Siam dengan United Kingdom pada 1826. Pada 1833, Amerika Syarikat memulakan hubungan diplomatik secara rasmi dengan Siam dengan menggunapakai nama negara Thailand sehingga 1939. Kemudian duta dihantar lagi ke Amerika Syarikat dan Siam pada 1945 dan 1949.   

Semasa raja Mongkut bertakhta antara 1804-1868 dan pemerintahan putera baginda, raja Chulalongkorn (1853-1910), Thailand menjalankan penyesuaian diri mereka dengan kuasa-kuasa Barat sebab mereka mula sedar bahawa dunia bukan hanya berlegar di sekeliling mereka sahaja. Pandangan umumnya menyatakan bahawa Thailand menggunakan kemahiran diplomatiknya dan menggabungkannya dengan pembaharuan serta permodenan pentadbiran yang menyebabkan Siam menjadi satu-satunya negara di Asia Tenggara yang dapat mengelakkan penjajahan Eropah. Hal ini tercermin dalam nama moden negara tersebut, iaitu Prathet Thai atau Negara Thai yang terpakai sejak 1939 walaupun nama Siam dikembalikan pada antara 1945-1949. Prathet berasal dari bahasa Sanskrit, Pradesh yang bermaksud negara.  

Perjanjian Anglo-Siam pada 1909 mentakrifkan semula sempadan moden antara Siam dengan British Malaya dengan menetapkan kekuasaan empayar Siam ke atas wilayah-wilayah orang Melayu seperti Patani, Yala, Narathiwat dan Satun yang sebelum itu merupakan kesultanan yang separa bebas seperti kesultanan Kedah atau bahagian kesultanan Patani.

Di bahagian sempadan timur Siam pula, beberapa siri perjanjian diperbuat dengan Perancis melibatkan wilayah-wilayah Laos dan Kemboja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan