Revolusi Siam berlaku pada 1932 dipacu kelompok pegawai tentera muda dan pejawat-pejawat awam. Kumpulan ini menjadikan para menteri dalam kalangan kerabat diraja sebagai tawanan sementara raja Rama VII berada di istana musim panas baginda di Hua Hin.
Rampasan kuasa ini dipanggil sebagai Revolusi 1932 menyebabkan berlakunya perubahan dalam Kerajaan Thailand dari kerajaan beraja mutlak kepada kerajaan raja berpelembagaan. Kabinet dipengerusikan oleh perdana menteri. Kelompok tentera memang selalu memainkan peranan penting dalam politik Siam sejak sebelum revolusi itu lagi. Pada 1912, pemerintahan Rama VI, tentera-tentera muda memang pernah merancang merampas kuasa dan mendesak supaya perlembagaan dirombak dengan kedudukan raja dikaji semula namun mereka ditahan.
Raja Rama VII, raja Prajadhipok menerima usul untuk perubahan lantas memberi kurnia kepada Perlembagaan tapi kemudian dipaksa turun takhta sebab pertelingkahan dengan kerajaan. Kerajaan revolusi merancng untuk melantik anak saudara raja Prajadhipok yang baru berusia 10 tahun sebagai raja baru iaitu raja Ananda Mahidol. Semasa sukarela turun dari takhta, raja Prajadhipok bertitah bahawa tugas seorang pemerintah untuk bertakhta itu adalah demi kebaikan semua orang, bukannya demi kelompok orang-orang terpilih sahaja! Dalam sedekad kacau-bilau politik di Thailand, kerajaan revolusi mula terpecah kepada beberapa bahagian iaitu bahagian tentera dan bahagian orang awam.
Keadaan tersebut mula menimbulkan kebimbangan kerana sudah ada unsur-unsur komunisme, unsur pemikiran revolusi melampau dan ultranasionalisme yang menyebabkan berlakunya peperangan dalam kalangan kelompok elit pemerintah yang baru. Pecahan ketenteraan muncul dan pemerintahan rejim tentera dijalankan dengan perdana menterinya, Plaek Phibulsongkhram. Phibulsongkhram adalah seorang ahli dalam sayap ketenteraan revolusi. Rejim tentera beliau itu terkenal dengan propaganda Pan-Thai dengan polisi nasionalis melampau bertujuan untuk menyatukan semua penduduk berbahasa Thai atau Tai tanpa mengira bangsa ke dalam satu kerajaan sahaja! Lanjut lagi, pada 1941, rejim tentera Phibul bersekutu dengan Jepun yang terlibat dalam perang dunia kedua.
Raja Ananda Mahidol atau Rama VIII mangkat pada 1946 tanpa diketahui penyebabnya. Laporan rasmi menyebut bahawa baginda tertembak dirinya sendiri semasa membersihkan senjata api. Baginda digantikan oleh adinda baginda, Bhumibol Adulyadej yang merupakan raja paling lama bertakhta di Thailand dan paling popular dalam kalangan orang awam. Walaupun Thailand merupakan kerajaan raja berperlembagaan, ia diperintah oleh pentadbiran ketenteraan dikepalai oleh Plaek Phibulsongkhram dan Sarit Dhanarajata selain diselang-seli dengan tempoh sekejap-sekejap demokrasi berjalan.
Pada Januari 1941, Thailand menyerang Indochina jajahan Perancis. Perang Perancis-Thai pun berlaku dan tentera Thai lebih ramai serta lebih lengkap persenjataan mereka. Tentera Perancis kalah dan terpaksa menyerahkan Laos kembali kepada Thailand. Walau bagaimanapun, tentera Perancis melebihi armada lautan Thailand lalu mereka menang pula dalam peperangan di Koh Chang. Jepun menjadi orang tengah dalam pertelingkahan dan gencatan senjata umum diisytihar pada 28 Januari. Pada 9 Mei, perjanjian keamanan ditandatangani di Tokyo. Peranacis dipaksa oleh Jepun untuk melepaskan pegangan mereka ke atas wilayah-wilayah yang dipertikaikan.
Pada 8 Disember 1941, beberapa jam sebelum serangan di Pearl Harbor, Jepun menuntut hak bagi menghantar askar mereka merentasi Thailand ke sempadan British Malaya. Jepun menakluki Thailand dan bertembung dengan tentera Thai sebelum Phibulsongkhram mengarahkan gencatan senjata. Sebaik sahaja Jepun diberikan laluan bebas pada 21 Disember 1941, Thailand dan Jepun menandatangai perikatan ketenteraan dengan protokol rahsianya Tokyo bersetuju membantu Thailand untuk menuntut wilayah-wilayah jajahan yang terlepas kepada British serta Perancis misalnya wilayah di negeri-negeri Shan di British Burma, wilayah di British Malaya, Singapura, bahagian daripada Yunnan, Laos dan Kemboja.
Berikutnya, Thailand "membantu" Jepun dalam perangnya menentang pihak Berikat yang antara lainnya terdiri daripada British. Untuk meyakinkan pihak Jepun mengenai "bantuan" yang ditawarkan, Thailand membekalkan tentera Jepun dengan senjata terkawal seperti senapang Mauser buatan Siam berkaliber tinggi. Pergerakan Seri Thai yang ingin membebaskan Thailand daripada sebarang pengaruh Jepun pula bergerak secara bawah tanah menentang Jepun. Gerakan tersebut diasaskan oleh Seni Pramoj, duta Thailand di Washington. Mereka mendapat bantuan daripada Pejabat Khidmat Strategik Amerika Syarikat (OSS). Di Thailand pula, pejabat pergerakan ini dioperasikan oleh Pridi Banomyong dengan sokongan keluarga diraja misalnya putera Chula Chakrabongse serta sokongan ahli kerajaan.
Selepas kekalahan Jepun pada 1945, disebabkan bantuan Gerakan Seri Thai yang disokong oleh Amerika maka syarat kalah perang atas Thailand dapat dikurangkan walaupun pihak British menuntut ganti rugi dalam bentuk beras yang mesti dihantar ke British Malaya dan pihak Perancis pula mendesak dikembalikan wilayah yang dirampas semasa perang Perancis-Thai. Sebagai tukaran kepada sokongan Kesatuan Soviet Russia dalam kenaikannya ke dalam Bangsa-Bangsa Bersatu, Thailand dituntut supaya memansuhkan perundangan anti-komunisnya.
Selain itu, bekas tawanan perang British yang terselamat ada mendirikan tugu peringatan menghargai bantuan penduduk di Ubon Ratchathani. Dalam zaman selepas perang, Thailand berhubungan rapat dengan Amerika Syarikat. Amerika Syarikat dilihat sebagai pelindung daripada ancaman revolusi komunis yang turut melanda negara-negara jirannya. Gerila Komunis wujud di Thailand sekitar awal 60-an sampai ke 1987. Kira-kira 12,000 ahli komunis sedia berperang sepenuh masa tetapi mereka tidak pernah menjadi ancaman serius kepada Thailand. Baru-baru ini juga, Thailand menjadi ahli giat dalam pertubuhan serantau seperti ASEAN, terutamanya selepas pemerintahan demokrasi dipulihkan semula pada 1992.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan