Ahad, 9 Ogos 2015

RIP Singha

Sawaddikhrap!



Selamat sejahtera diucapkan kepada rakan-rakan sekelian. Aku agak kebosanan dan ingin mengemaskini blog ini namun apakan daya kita? Masa tidak mengizinkan. 

Kesibukan di pejabat memang bukan calang-calangnya. Menjelang bulan September ini, urusetia tempat aku bekerja itu akan menjadi tuan rumah bagi mesyuarat tahunan untuk kelompok institusi berkanun kebangsaan sempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN. Jadi, bos aku pun memberi tugasan supaya aku berurusan dengan pihak pengurusan bagi mendapatkan tempat untuk mesyuarat puak-puak Pesuruhjaya dengan rakan-rakan sejawat mereka dari enam negara ASEAN lain serta agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan.  

Sekadar mengabadikan kenangan mengenai seorang seniman di Thailand yang meninggal dunia akibat kemurungan dan terjatuh dari pangsapuri beliau di kotaraya Bangkok sana. Berita ini aku dapat dua minggu lepas dari seorang kawan di Patani sana. Kami bertukar-tukar berita di laman sosial dan aku agak terkejut mendengar cerita ini. Sebab ahli muzik ini sudah 10 tahun berkecimpung dalam industri muzik dan aku memang dengar muzik dari negara sebelah sempadan berbanding dengan di negara sini. Aku memang tidak kenal sangat penyanyi atau pelakon di sini. Jangan cerca aku pula sebab aku tak dengar hiburan sini, kami sebenarnya tak rasa rapat dengan orang sebelah sini sebab masalah bahasa dan budaya juga, huhu.

Prachathip Musikapon, 31 tahun, atau pun terkenal dengan nama komersilnya, Singha, pemain gitar bagi band Sqweez Animal dilaporkan oleh media telah terjatuh dari tingkat sembilan di pangsapuri Thong Lor.

Artis-artis seperti Arak 'Pae' Amarsupasiri, Pongsit Kamphee dan Jarinya 'Kaew' Sirimongkolsakul semuanya mengeluarkan kenyataan yang mengungkapkan takziah atas kematian Singha, yang gaya petikan gitar berpengaruhnya itu dikagumi ramai. Pemuzik dan pelakon, Arak 'Pae' Supasiri menyebut bahawa Singha sangat disayangi ramai.

"Sesiapa sahaja yang mengenalinya akan menyukainya. Sukar untuk mempercayai yang dia sudah pun pergi meninggalkan kita." Katanya lagi, "Sebagai seorang sahabat, mendiang sering berusaha untuk merapatkan perhubungan sesama sahabat. Beliau sangat pemurah dan suka membantu orang. Beliau memang seorang lelaki yang sejati. Saya berharap bahawa beliau berada di tempat yang lebih baik sekarang ini." Pae yang kemudian beremosi kemudian menyebut berhubung tindakan Singha sebelum menemui ajalnya, "Perkara terakhir yang awak lakukan itu... Saya percaya merupakan pilihan yang awak rasa terbaik mengenai diri awak." 

Tul Waitoonkiat, penyelia di Pangsapuri Khunpa memberitahu pemberita bahawa beliau sudah bekerja dengan Singha sejak 10 tahun lalu. Beliau menyebut bahawa kematian Singha ini adalah kehilangan besar bagi industri muzik tanah air kita.

"Beliau adalah seorang seniman dan artis yang hebat. Beliau memang bekerja keras untuk kerjaya muzik beliau, menghasilkan muzik pop dan gaya muziknya pun menjadi terkenal di seluruh negara. Hal ini sesungguhnya adalah kehilangan yang besar bagi industri muzik negara kita." 

Mike Corde atau lebih dikenali sebagai DJ Lows, rakan sekumpulan dan sahabat karib Singha ketika bekerjasama dalam projek, "The Indikator" di Bangkok berkata bahawa, Singha pasti akan dirindui oleh semua orang yang rapat dan mengenalinya.

"Dia sangat baik dan mengambil berat kebajikan rakan-rakannya. Dialah keluarga, sahabat dan saudara. Membuat rakaman dengan dia tidak pernah terasa seperti bekerja pun. Saya sentiasa berasa seronok dan senyum. Ketika dia masuk ke bilik rakaman pun, tekanan di situ tidak lagi dirasai. Kami akan merindui mendiang."

Beribu-ribu peminat beliau membanjiri perkarangan Wat That Thong untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang. Penganut-penganut yang melawat Wat pun turut menyertai upacara penghormatan bersama-sama dengan ahli keluarga mendiang Singha, rakan-rakan mendiang, ahli-ahli politik dan para peminatnya. Bapa mendiang, Veerakar, seorang ketua kelompok baju merah membuat ucapan penuh emosi menyebut mengenai usaha mendiang anaknya untuk berjaya dalam kerjayanya sebagai pemuzik sejak hari pertama upacara kematian. Kekasih dan teman wanita mendiang, Parpavee 'Faye' Neerasingh menulis dalam buku peringatan di Wat tersebut bahawa beliau akan menjaga diri baik-baik. Beliau turut menulis, "Saya sayang akan awak." Upacara pembakaran mayat mendiang dijalankan pada 3 Ogos 2015. 

Laporan menyebut bahawa Singha menulis nota membunuh diri yang menunjukkan beliau menghadapi kemurungan berhubung masalah cinta. Band Indies Animal Sqweez mencapai kejayaan sederhana menerusi dua album mereka iaitu Art Yang Mai Sai dan Mai Mee Thee Ma

Sehubungan itu, kita ucapkan takziah kepada keluarga mendiang, rakan-rakan dan peminat-peminat beliau. Semoga orang ramai mengambil serius mengenai masalah kemurungan dan jangan buat main-main dengan isu psikologi kerana ia memberi pengaruh yang buruk kepada mangsa. Tak perlulah kutuk orang itu atau ini bodoh sebab membunuh diri kerana tidak ada agama bagai. Kita tidak berada di kasut orang itu. Jika kita menghadapi keadaan sebegitu, kita pastikah kita boleh menghadapinya? Kita bukan malaikat pun, manusia sahaja. 

Judul Lagu: ไม่เคยจะห่างกัน
Maksud Judul: Tidak Pernah Ingin Berjauhan
Band: Sqweez Animal 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan