Selasa, 19 Ogos 2014

Selatan: Sekilas Pandang


Pengantar

Disebabkan rantau ini bersempadan dengan negara Persekutuan Malaysia, jadi ia turut menjadi perbualan hangat penduduk-penduduk peminat misteri. Memang banyak sekali misteri di dunia ini namun tidak perlu lah kita terlampau "insecure" sangat untuk mencari kehebatan bangsa atau diri sendiri. 

Cuba bawa-bawa membaca teori-teori lain seperti teori sosial, teori politik, pengantar sejarah, antropologi, geografi serta falsafah lain juga. Orang kata, membaca banyak itu, meluaskan pemandangan. Sebutlah bangsa mana pun, nanti kembali juga ke asal jadi kita, manusia. Manusia itu dicipta daripada tanah. Apa benar, apa tidak?

Aku hendak kongsilah beberapa potong bait sajak dari penyair Punjab beragama Islam ini bila berbicara mengenai benda-benda kemuliaan kedudukan semua...

Wali-wali keramat, qutub-qutub, dan orang-orang zahid
Semua pun duduk bawah debu tanah sudah
Darius dan Iskandar Zulkarnain
Dua-dua pun duduk bawah debu sudah
Muka cantik-cantik, segak-segak bersinar
Semua pun duduk bawah debu tanah sudah
Penghabisnya, semua pun turun jadi debu belaka
Bagi cinta hati itu cuma kepada Tuhan saja
Cuma Dia saja lah yang mampu penuhi janji Cinta
Dunia ini cuma sementara saja
Sibuk duk kejar cinta benda-benda duniawi itu hilang habis lah Cinta Sebenar

Benda-benda mistik kebesaran bangsa itu jika terlampau diberi perhatian sangat pun, cuma membuang masa saja. Counter-productive, mat saleh kata. Kalau malas hendak baca benda-benda lain bimbang sel otak tidak berhubung, eloklah dirisaukan mengenai kedudukan kita di akhirat kelak. Orang Siam kata akhirat itu, anakhot (masa depan). Yang bagi Tuhan pandang ke makhluk itu, iman, ihsan dan takwa. Bukan bangsa dia baik Yahudi, Arab, Bengali, Siam atau Melayu pun. Tuhan bukan lihat kedudukan duniawi atau elaun kerabat. 

Cheewah, panjang no pengantar. Rantau ini dekat dengan Malaysia jadi ia turut berkongsi beberapa peristiwa sejarah yang sama juga dengan beberapa negeri di utara Semenanjung Malaysia dan pantai timurnya. Bukan apa, cuma kita tidak mahu isu Nazi terjadi di rantau Asia Tenggara ini. Jadi, kita peringat siap-siap. Hidung pun kemek bukan? Bukannya hidung Indo-Eropah Jerman pun kan? Kulit pun hitam-hitam saja. Kita kutuk-kutuk orang Barat tapi kita sendiri lupa kita duk tiru sikap buruk mereka sebelum Perang Dunia I. Begitu juga sikap buruk orang Arab jahiliyah.

Sejarah

Berbalik ke isu rantau selatan, ia dihubungkan dengan rantau tengah oleh Segenting Kra. Semenanjung Tanah Melayu sudah pun dihuni manusia semenjak zaman pra-sejarah. Tinggalan arkeologi ditemui di beberapa gua batu kapur, yang pernah didiami oleh manusia purba. Begitu juga dengan tapak pengebumian. Tinggalan tertua sekali ditemui di gua Lang Rongrien bertarikh 38,000-27,000 tahun lampau selain terdapat juga di gua Moh Kiew.

Dalam milenia pertama, catitan-catitan China menyebut beberapa kota pesisiran atau negara-kota, namun mereka tidak memberi lokasi geografinya pula. Oleh itu, muncul lah kesukaran untuk orang zaman moden mengesan kedudukan kota-kota tersebut.

Negara Kota Penting

Beberapa negara-kota utama orang Melayu itu seperti:
  • Langkasuka, selalunya dianggap sebagai pelopor kesultanan Patani.
  • Tambralinga, kemungkinan besar pelopor kepada kerajaan Ligor.
  • Panpan, didakwa berada dalam daerah Phunphin di negeri Surat Thani kemungkinan di Teluk Bandon, Sungai Tapi.
Kota-kota ini sangat dipengaruhi oleh kebudayaan orang Hindu. Bila sebut Hindu ini, tentunya melibatkan tradisi-tradisi, falsafah serta kepercayaan-kepercayaan di sekitar rantau moden di Pakistan, India, Sri Lanka, Bangladesh serta rantau-rantau serpihnya di Afghanistan, Nepal dan lain-lain di Asia Tengah. Penduduk-penduduk di sebelah rantau yang berhubung dengan orang-orang Hindu itu pun turut mengikut dan menyesuaikan kehidupan mereka dengan adat-adat dan kepercayaan Brahmin serta ajaran Buddha.

Bila cawangan kerajaan Srivijaya di Semenanjung Tanah Melayu berpusat di Jāya (Chaiya) memperluas jajahannya, kota-kota orang Melayu di pesisir-pesisir pantai itu pun membayar ufti dan memberi sembah kepada maharaja Srivijaya. Kota Jāya di negeri Surat Thani turut mengandungi beberapa runtuhan dari zaman Srivijaya. Kota itu kemungkinannya, merupakan ibu kota di rantau seberang bagi kerajaan Srivijaya. Sesetengah sejarawan Thailand sendiri mendakwa bahawa kota itu pernah berfungsi sebagai ibu kota sepenuh masa Srivijaya untuk seluruh empayarnya bagi beberapa tempoh. Namun, dakwaan ini tidak begitu diterima umum.

Selepas kejatuhan Srivijaya sekitar kurun ke-12 M, Nakhon Sri Thammarat (Ligor) pula menjadi kuasa besar di sebelah selatan. Menurut orang Thailand, ketika pemerintahan Ramkhamhaeng dari negara Sukhothai, pengaruh kebudayaan Tai-Kradai pertama kali tiba di Ligor. Menurut dakwaan inskripsi Ramkhamhaeng, Ligor menghantar ufti ke Sukhothai dan menyembah raja negara Sukhothai. Dalam tempoh kurun ke-13 pula, Ligor menyembah ke kerajaan Sri Ayutthaya (Siam).

Jauh lagi ke selatan, wujud pula kesultanan-kesultanan Melayu tradisional iaitu kesultanan Melayu Patani dan kesultanan Melayu Kedah. Di sebelah hujung utara Semenanjung Tanah Melayu ditadbir dan dikawal terus oleh Bangkok.

Semasa pembaharuan Thesaphiban di penghujung kurun ke-19 M, kedua-dua Ligor dan Patani diserap terus ke dalam pentadbiran negeri pusat di Bangkok. Kawasan itu dibahagi kepada lima mandala (jajahan) yang dipasang untuk mengawal mueang (negara-kota) tersebut. Mueang yang kecil-kecil diserap terus ke mueang besar-besar untuk memudahkan kerja dan memotong kos pentadbiran. Jadi terbentuklah 14 negeri-negeri rantau selatan.

Menerusi Perjanjian Inggeris-Siam 1909, sempadan British Malaya pun ditetapkan. Kesultanan Kedah masuk ke perlindungan empayar Great Britain sementara kesultanan Patani tertinggal dalam empayar Siam. Untuk maklumat lanjut sejarah itu, nanti difikirkan cara untuk menyumbatnya.

Pentadbiran

Sejak 1 Nov 2008, rantau selatan mengandungi sebanyak 14 negeri semuanya:
  • Chumpon.
  • Krabi.
  • Nakon Sri Thammarat (Ligor).
  • Narathivat.
  • Patani.
  • Phang Nga.
  • Phattalung (Bedelong).
  • Phuket (Thalang).
  • Ranong (Rundong).
  • Satun (Setul).
  • Songkhla (Singgora).
  • Surat Thani.
  • Trang. (Mueang Thap Tiang)
  • Yala.
Siri-Siri Darurat
  • Keganasan serta peristiwa tembak-menembak di negeri Patani, Yala dan Narathivat sejak 2004.
  • Peristiwa bom merebak ke pekan Hadyai dan pekan koboi Danok di negeri jiran, Songkhla yang tidak berkaitan pada 2006, 2013 dan 2014.
  • Masalah dengan kutu penagih dan pengedar dadah di negeri-negeri sebelah Patani, Yala dan Narathivat bertindan dengan urusan dengan kelompok-kelompok kumpulan pemisah dari tiga negeri itu.
  • Pelancong dan orang luar dinasihat berhati-hati di negeri-negeri Patani, Yala dan Narathivat. 
  • Selain itu berhati-hati di pekan-pekan di negeri Songkhla juga seperti pekan Danok, pekan Betong dan bandar Hadyai untuk mengelak kena aniaya yang sia-sia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan