Selasa, 19 Ogos 2014

Maklumat: Negara Haripuñjāya


Negara ini suatu ketika dulu wujud di rantau utara Thailand moden. Negara ini dibangunkan oleh orang-orang Senoi dari bangsa Mon. Ibu kota mereka berpusat di Lamphun. Ia bermula sekitar 661 M dan berakhir pada 1292 selepas dihentam teruk oleh bangsa Tai-Lanna. Kemudian, ia diserap menjadi sebahagian daripada negara Lanna.

Pengasasan

Menurut Hikayat Jamadevivaśa dan Jinakalamali, kota itu diasaskan oleh seorang yogi bernama Vasudeva pada 661 M. Hikayat Tai Yonok menyebut bahawa Vasudeva mengupah beberapa kumpulan etnik Mon untuk membina kota. Kota itu terletak antara sungai Mae Ping dan Mae Kwuang. Kemudian, pemerintah negara Lavo menghantar puterinya, Jamadevi, untuk menjadi ratu serta pemerintah pertama di kota Haripuñjāya atas jemputan Vasudeva.

Setengah orang menganggap tarikh itu terlampau awal. Mereka menganggap tarikh sebenar kota ini bermula sekitar 750 M. Ketika itu pun, kebanyakan rantau tengah ketika itu diperintah oleh pemerintah Senoi etnik Mon yang bersekutu dalam kerajaan Dvaravati. Ratu Jamadevi mempunyai dua putera. Yang sulung memerintah di Lamphun, manakala yang bongsu pula di Lampang yang berjiran.

Lagenda Ratu Jamadevi

Cerita hikayat mengenai ratu orang Senoi ini terkenal dalam tradisi lisan dan bertulis kerajaan Lanna. Ratu ini mengembara di seluruh pelosok kerajaan dan mengetuai pasukan kesatria, bhiksu Buddha dan pendita-pendita Brahmin. Baginda turut membawa bersama karyawan seni dalam usaha beraninya memperluas jajahan.

Malang sekali, sebelum baginda sempat melunaskan impian tersebut, peperangan besar pula meletus. Negara kota baginda dan kebebasannya terancam. Ratu Jamadevi bersama barisan tentera baginda pun teguh bertahan menerima hentaman orang Kemboja.

Menerima Agama Buddha

Seterusnya, ratu Jamadevi memperkenal ajaran Buddha di kota Haripuñjāya. Semenjak itu, penduduk di situ setia berpegang dengan ajaran Buddha. Pada kurun ke-8 M, penyebar-penyebar ajaran Buddha dari Sri Lanka pun tiba lalu memperkenal aliran Theravada-Langkavaśa kepada orang Senoi suku bangsa Mon itu.

Orang Mon setia memeluk ajaran Buddha dan turut menyebarkannya ke timur di sempadan empayar Angkor di Kemboja dan di negara orang Melayu di selatan, negara Tambralinga. Tradisi Brahmin dan Buddha berkembang tanpa pertelingkahan.

Tradisi Brahmin Hindu terus memberi latarbelakang budaya penduduk sedangkan nilai-nilai ajaran Buddha dan ajaran akhlak hidup mulia diamalkan. Walaupun ajaran Buddha adalah agama rasmi orang Mon dan orang Khmer, namun amalan asli mereka sebagai suku-sakat bangsa Senoi pun masih lagi diamalkan.

Hikayat Jamadevivaśa

Laurent Hennequin menyebut bahawa:
Sejarah kerajaan Haripuñjāya yang kini terletak di Lamphun dalam rantau utara Thailand, memang diketahui oleh khalayak ahli akademik menerusi hikayat-hikayat lain. Namun, hikayat-hikayat itu sering bercanggah sesama sendiri, terutamanya dari segi kronologi peristiwa. Tiada bukti kontemporari pula untuk mengesahkan kejadian. Kronologi sebelum pembentukan wilayah-wilayah pra-negara Thai untuk negara Haripuñjāya ini merumitkan pengkajian sejarawan disebabkan oleh pelbagai sebab seperti kenyataan bercanggah, kurang dokumen asal, batu bersurat pun sedikit sahaja tidak melebihi 10 dan kurang bermaklumat.
Lagenda Jamadevivaśa ini dikumpul dan ditulis semula oleh seorang bhiksu Buddha senior, Mahathera Bodhiramsi pada awal kurun ke-15 M. Ia ditulis dengan bahasa Pali menceritakan semula mengenai pengasasan negara Haripuñjāya di Chiangmai pada abad ke-7 M.

Sama seperti hikayat-hikayat Pali Theravada lain, lagenda itu turut dijalinkan dengan cerita-cerita politik dan keagamaan seperti permulaan silsilah kerabat Jamadevi dan perlindungan yang diberi kerajaan terhadap agama Buddha.

Salah satu ciri yang jelas berselari dengan cerita-cerita teks lain dalam kitab ini adalah cerita mengenai Siddhartha Gautama Buddha berziarah ke utara Thailand pada zaman baginda, ramalan baginda bahawa peninggalan baginda nanti ditemui oleh si folan dan si folan dan ternyata peninggalan tersebut ditemui oleh raja Adittaraja pada abad ke-11 M. Begitu juga baginda Buddha meramal mengenai permulaan wangsa tertentu oleh seorang ratu dan kerabatnya memerintah negara itu selama 500 tahun.

Kegemilangan dan Kejatuhan

Hikayat-hikayat menyebut bahawa orang Khmer dari timur gagal menghentam kota ini beberapa kali semasa abad ke-11 M. Ketika itu, konflik dan pertempuran meluaskan jajahan sering terjadi.

Empayar Angkor di Kambūjadeśa disatukan semula oleh maharaja Suryavarman II (1113-1150 M). Baginda memulakan projek pembinaan Kuil Angkor yang mengambil masa selama 37 tahun untuk disiapkan. Kuil itu dibina untuk menyembah dewa Vishnu. Suryavarman II berjaya menjajah sebahagian saja daripada Haripuñjāya di barat. Sejak itu, Haripuñjāya bertahan dari serangan bangsa Khmer dan raja memerintah kota itu sebagai daerah merdeka.

Raja Yiba, pemerintah terakhir kalah perang dengan raja Mangrai, pemerintah Lanna pada 1282. Selepas itu, pentadbiran pusat negara Lanna dibawa ke Chiangmai. Haripuñjāya pula menjadi pusat keagamaan Buddha. Di situ terletak biara negara Haripuñjāya, Phra Brahmadhatu. Ia menjadi simbol kegemilangan agama Buddha di utara. Kemudian raja-raja Lanna terus melindungi dan menggunakan juga cetiya di situ untuk aktiviti keagamaan. Budaya Haripuñjāya dari Lamphun turut mempengaruhi orang Tai-Lanna terutamanya di Chiangmai, Chiangrai dan Viangkum Kam.

Zaman Moden

Lamphun diserap ke empayar Siam oleh raja Thaksin. Sejak itu, ia diperintah oleh gabenor sehingga 1922 apabila gabenor terakhir, mejar jeneral Tengku Chakkham Khachonsak mangkat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan