Persekutuan Langkasuka

 

Untuk hal ini, aku peribadinya berasa bahawa tidak salah pun untuk orang Melayu berbangga dengan kerajaan-kerajaan purba mereka walaupun ia bukan sebuah kerajaan penganut Islam seperti kerajaan Madinah, khilafah Umayyah, khilafah Abbasiah atau kesultanan-kesultanan Melayu semasa zaman klasik. Tidak perlu nak nafikan pun zaman lampau termasuk agama kepercayaan orang Melayu Purba.

Sejarah nenek moyang sendiri tak menggugat sedikit pun keimananan terhadap rukun Iman dan rukun Islam. Etnik Turki Purba seperti etnik Uighur, etnik jenis Parsi Purba seperti orang Saka (Scythia), orang Kambūja (Cambyss) dan lain-lain pun pernah mempunyai zaman lampau Hindu-Buddha. Kini, anak cucu depa pun ramai menganut ajaran Islam. Buddhisme tidak ada kena mengena dengan cink conk pun! Kerajaan ini tidak kena mengena pun dengan entiti seperti Sukhothai, Sri Ayutthaya, Thailand, Persekutuan Malaysia, Republik Indonesia, kerajaan Kemboja atau sebagainya so don't be silly lah duk hingag mengenai orang Melayu Muslim di Semenanjung pergi balik Sumatera atau sebagainya!

Langkasuka merupakan sebuah kerajaan etnik Melayu Purba yang terletak di Semenanjung Tanah Melayu. Menurut kepada sumber-sumber yang mungkin serta teori cendekiawan sejarah, nama kerajaan ini mungkin merupakan salah sebuah kerajaan purba yang asalnya diasaskan atau diperkembang dari negeri-negeri yang sedia wujud di situ oleh duta-duta atau keturunan-keturunan baginda maharaja Asoka dari kerajaan Magadha di India.


Kerajaan ini bersama dengan kerajaan Kedah Tua, kemungkinannya antara kerajaan-kerajaan orang Melayu yang terawal diasaskan di Semenanjung Tanah Melayu. Kedudukan sebenar ibukota kerajaan ini pun masih belum dikenalpasti, namun penemuan carigali tinggalan arkeologi di Yarang dekat negeri Patani di Thailand, memberikan lokasi yang mungkin untuk tapak ibukotanya. Kerajaan ini dipercayai sudah wujud sekitar kurun ke-2 M.

Rekod-Rekod Sejarah

Rekod sejarah bertulis kerajaan ini sedikit sangat disebabkan orang-orang Melayu Purba tidak menulis di atas lembaran kertas kajang. Mungkin depa menulis dalam daun lontar atau perca kain selain memahat di batu. Bahan-bahan seperti daun-daun lontar mudah saja dimusnahkan oleh alam persekitaran dan oleh bencana seperti peperangan serta persaingan.

Rekod  terawal sekali mengandungi gambaran lengkap mengenai kerajaan ini boleh jadi dirakam oleh dinasti Liang (502-557 M) di empayar China. Rekod tersebut, dikenali sebagai Liang Shu merujuk sebuah kerajaan purba bernama Lang Yaxiu, yang wujud sejak kurun ke-2 M. Ia berjarak 30 hari perjalanan dari jajahan timur ke barat, dan 20 hari dari utara ke selatan. Dari kota Guangzhou di selatan China pula mengambil jarak 24,000 li. Rekod ini menyebut mengenai kayu 'Oud atau Agarbati yang orang Hindu dan orang Arabia guna untuk mewangikan ruangan rumah, masjid, majlis, kuil dan sebagainya boleh ditemui dengan mudah di hutan-hutan di Langkasuka. Di samping itu, terdapat juga kapur barus yang boleh diguna untuk memandikan mayat dan untuk kegunaan lain. 

Ibukotanya itu, digambarkan oleh rekod dinasti Liang sebagai dikelilingi oleh tembok-tembok yang membentuk sebuah kota dengan gerbang-gerbang bertindan, menara-menara, dan gedung-gedung. Penduduknya, hamba rakyat lelaki dan perempuan memakai kain sarung dan tidak berbaju serta rambut terurai. Kelompok-kelompok kesatria seperti raja dan pegawai-pegawai tinggi mereka menutup bahu mereka dengan kain dan memakai subang emas serta tali pinggang emas seperti kebiasaan orang dari tamadun Keindiaan yang berkasta tinggi. Rekod Liang turut menyebut bahawa golongan wanita berkasta tinggi di situ memakai pakaian lengkap dan memakai tali ikat pinggang emas (Ooi, 2004).

Ia turut memberi maklumat mengenai beberapa orang raja dari Langkasuka serta riwayat mengenai peristiwa pertabalan diraja di negara tersebut:
"Bila raja bergerak, baginda mengenderai gajah. Baginda diiringi oleh panji-panji, chamara, bendera-bendera dan gendang serta payung iram-iram berwarna putih. Pengawal-pengawal baginda merupakan pendekar-pendekar terbaik. Penduduk di situ memaklumkan bahawa negara mereka sudah tertubuh semenjak 400 tahun yang lalu. Kemudian, dinasti awal pemerintah di situ menjadi lemah dan jatuh. Tetapi, dalam kerabat diraja yang dijatuhkan itu, muncul seorang lelaki yang bijaksana lalu penduduk menjadi tertarik serta menyokongnya. Demi didengarnya oleh sang raja, diperintah tangkap lelaki tersebut! Sebaik dikunci pasung dan rantainya, ia terbuka kembali. Raja pun terkejut melihat hal tersebut. Pada sangkaan raja, lelaki tersebut mungkin sebangsa dewa juga. Baginda menjadi takut untuk mencederakannya. Lelaki tersebut kemudian dibuang negeri. Beliau kemudian melepaskan diri sehingga ke India. Raja di sebuah kerajaan di benua India kemudian mengahwinkan lelaki kerabat diraja dari Langkasuka itu dengan puteri sulungnya. Selepas raja perampas kuasa di Langkasuka mangkat, menteri-menteri kepala lalu mengutus perutusan ke India meminta lelai tersebut pulang untuk pertabalan". - Rekod Dinasti Liang, bab ke-54 (502-557 M)
Sebutan nama merujuk ke kerajaan Langkasuka dalam rekod China sering berubah disebabkan oleh sebutan yang bahasa Cina yang tidak konsisten. Contohnya:
  • Langya Sechia ketika dinasti Song (960-1279).
  • Longya Sijiao ketika dinasti Yuan (Mongol China)(1279-1368).
  • Lang Sechia ketika dinasti Ming (1368-1644) seperti tertulis di peta Mao Kun milik Cheng Ho.
Hikayat lisan, Merong Mahawangsa, ia dirujuk dengan nama Langkasuka, dan dirujuk oleh kekawin berbahasa Jawa, Negarakretagama (1365) oleh pujangga kerajaan Majapahit, Mpu Prapañca. Rekod Tamil selepas penaklukan raja Sri Rajendra Cholan ke atas empayar Srivijaya menyebutnya dengan rujukan Ilangasogam. Ia dijelaskan sebagai negara yang sukar dijatuhkan walaupun dalam peperangan yang dahsyat.

Rekod-rekod orang Siam tidak mempunyai rujukan mengenai Langkasuka. Mereka cuma mengenalpasti kerajaan Patani sebagai salah satu daripada persekutuan negara-kota, Naksat. Rekod-rekod Siam menyebut mengenai Patani dipengaruhi pula oleh Ligor (Nakorn Sri Thammarat).

Ringkasan Sejarah Penting

Rekod dokumen sejarah bertulis begitu sedikit, jadi sedikit ringkasan saja yang boleh dibentuk oleh pihak pengkaji sejarah peringkat akademik. Kerajaan Langkasuka dipercayai sudah wujud semenjak kurun ke-2 M. 

Ia mengalami kejatuhan pada awal kurun ke-3 M apabila kerajaan Funan dari Kemboja cuba memperluas tanah jajahan. Pada kurun ke-6 M, ia mula terbit semula serta menghantar raja duta ke empayar China sebagai usaha untuk membina hubungan diplomatik. Raja Langkasuka dari kurun ke-6 M, raja Bhagadatta, menyambung semula hubungan diplomatik dengan empayar China pada 515 M. Kemudian, baginda menghantar wakil lagi ke China pada 523, 531, dan 568 M.

Pada kurun ke-8 M, Langkasuka turut menghadapi peperangan dengan Srivijaya serta ditundukkan oleh Srivijaya seperti juga kerajaan-kerajaan lain di pulau Sumatera dan di pulau Jawa. Pada 1025 M, ia turut diserang oleh angkatan laut dari negara Tamil bawah perintah dinasti Chola dalam peperangan memukul empayar Srivijaya.

Sekitar kurun ke-12 M, kerajaan Langkasuka tetap berada dalam persekutuan empayar Srivijaya yang berpusat di kerajaan Bhūmi Melayu, bermaharajakan raja dari dinasti Mauli (Bunga Melur) di pulau Sumatera. Negeri Jaya atau Chaiya di Semenanjung ketika itu ditadbir oleh Bhūpati Srivijaya, Mahāsenapati Kalanai. Menjelang kurun ke-15 M, Langkasuka hilang. Muncul pula kerajaan dan seterusnya kesultanan Patani.

Lokasi Kedudukan

Sumber-sumber China dan Arab menyatakan bahawa kerajaan purba ini terletak di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu. Sebuah teks berbahasa Arab dari abad ke-15 M menyebut bahawa ia terletak di selatan negeri Songkla. Peta dinasti Ming pula menunjukkan bahawa ia menganjur antara negeri Patani dan negeri Songkla.

Hikayat Merong Mahawangsa menyatakan bahawa ia terletak di pantai barat yang menjadi induk bagi kesultanan Kedah dan negeri Kedah moden, walaupun kedaulatannya turut berhubung dengan negeri Patani. Sumber-sumber India, China dan Arab menganggap Kedah sebagai entiti geografi yang berbeza. Kekawin Negarakretagama pula menyebut bahawa ibukota Langkasuka terletak di utara negeri Saiburi, namun, ia turut mencondong kepada pernyataan bahawa ibukota asal terletak di pantai barat sebelum berpindah ke timur.

Pada 1961, dari pelbagai sumber, Prof. Paul Wheatly, dari Jabatan Sejarah dan Geografi menyimpulkan bahawa ibukota Langkasuka sepatutnya terletak di pekan Patani moden. Pakar arkeologi dan sejarawan Perancis, Michel Jacq-Hergoualc'h, turut mencadangkan bahawa ia terletak di kuala Sungai Patani, dekat Yarang.

Eksplorasi arkeologi turut menemukan runtuhan-runtuhan dekat Yarang, sebuah kampung yang terletak 15 km ke selatan negeri Patani. Kemungkinannya, runtuhan-runtuhan tersebut merupakan sebahagian daripada ibukota kerajaan Langkasuka yang dijelaskan oleh dokumen dinasti Liang. Kota itu terletak ke hulu 10 batu dari pantai dan dihubungkan oleh sungai-sungai sehingga ke laut menerusi terusan-terusan yang disaliri oleh air. Proses pemendapan di laluan-laluan air mungkin menyebabkan kota tersebut mula menjadi mundur.

Untuk rekod istana Patani mengenai kota Mahligai yang kemudian menjadi cakal-bakal kesultanan Patani, tuan-tuan dan puan-puan peminat sejarah boleh cuba merujuk kitab petitih berjudul "Tarikh al-Fatani", salinan dan susunan semula atas perintah Sultan Patani; disempurnakan oleh Syeikh Wan Daud bin Syeikh Wan Abdullah pada 1813 M dari teks-teks sebelumnya. Teks ini pun, aku pernah baca sendiri dan simpan salinannya sebelum hilang sebab selalu berpindah-pindah.

Arkeologi

Beberapa ekspedisi arkeologi telah dijalankan sekitar 1960-an untuk mengesan lokasi ibukota Langkasuka berikutan "pendapat" Paul Wheatley mengenai kemungkinan lokasinya. Pada 1963, Stewart Wavell mengetuai ekspedisi untuk mengesan lokasi kerajaan Langkasuka dan kerajaan Tambralinga. Maklumat mengenai ekspedisi tersebut boleh dibaca dalam The Naga King's Daughter.

Penyelidikan arkeologi di kawasan Yarang sudah bermula semenjak 1989 menerusi inisiatif Jabatan Seni Halus kerajaan Thailand. Kebanyakan runtuhan tersebut bertumpu di perkampungan Ban Wat, dan mungkin suatu ketika dulu merupakan nukleus bagi ibukota Langkasuka. Yang lain-lain bertebaran ke Utara di Ban Jalæ dan lebih sedikit di Ban Prawæ.

Ekskavasi turut menemui pelbagai struktur binaan berasaskan ajaran Buddha dan objek-objek termasuklah papan-papan pemujaan dan persembahan serta arca-arca yang menunjukkan kehadiran pengaruh ajaran Buddha yang kuat di kerajaan tersebut. Objek-objek berkaitan dengan pemujaan mengikut agama Hindu turut ditemui. Kehadiran pedagang-pedagang dari Arabia dan empayar China di situ turut dikesan menerusi penemuan wang pitis Arab dan China; diperbuat dari gangsa. Dua keping matawang perak dinasti Sasan pun merupakan antara bahan-bahan yang ditemui.

Pics: No. 1, Kota Purba Yarang; No.2, lukisan raja duta dari Langkasuka salinan rekod dinasti Liang dari dinasti Song (526-539).
Sumber: Sila klik "bahan rujukan" untuk mengakses maklumat.