Sabtu, 6 September 2014

Sampai di Bangkok

26hb Julai 2011, pagi


Pukul 06:00 begitu, aku sudah terjaga. Tidur tidak begitu jeğāp (nyenyak). Bangkit itu, aku tidak ketahui di Siam sana apa sudah masuk waktu solat Subuh apa tidak. Aku ada catitan masa solat di sana, tetapi itu masa masuk waktu untuk di Bangkok. Kereta api belum sampai di Bangkok lagi. Nampak di kaki langit sudah terang benderang. Cahaya mentari pagi keemasan bersinar cemerlang. Sudah boleh nampak kerbau, padi bendang orang Siam seperti bendang orang Kelantan. Nampak juga orang sedang berbendang.

Aku agak, kereta api ini pasti masih dalam wilayah Krabi lagi kot. Jadi, aku pergi berwuduk untuk segera solat Subuh sementara pak cik Suman belum mengangkat katil lagi. Syok pula duduk dalam katil berkelambu itu, hahaha. Ketika bersolat itu, aku tidak pakai kepiah pun di atas kepala. Aku cuma tutup dengan kain tuala kecil yang bersih saja seperti orang Sikh yang tidak berturban guna bila masuk ke tempat suci mereka untuk melindungi status agama aku dari pandangan umum. Aku sudah masuk berseorangan dalam negeri pengikut ajaran Buddha. Pernah juga dengar cerita bahawa ada budak Melayu dari Melaka dulu pernah ditahan di Patani kerana disyaki terlibat dengan kelompok militan. Jadi, aku tidak mboh mencari masalah kerana aku cuma nak pergi melancong. Bukan mencari fasal. Sudahlah aku ini orang Kedah, negeri yang bersempadan saja dengan negeri Patani.

Selepas solat itu, sudah hampir 07:00 pagi. Aku memberi kebenaran untuk pak cik Suman angkat katil untuk dilipat dan disimpan. Kemudian, datanglah cik kak penjual teh ke gerabak ini. Dia masuk ke dalam kereta api sejak dari Hadyai lagi. Malas aku hendak membeli teh. Belum reti mengira lagi matawang Bhatt, hehe. Ada orang Perancis seorang dengan cik puan Mauritius, isteri lelaki Perancis itu. Mereka duk perhati-perhati aku. Depa ada problem salah faham dengan cik kak penjual teh. Malas aku hendak masuk campur. Tetapi lelaki Perancis itu kemudian meminta aku menjadi jurubahasa tidak berbayarnya.

Sudaaaah, aku pun berkecek bahasa Siam cuma bahasa jenis kampung saja. Setakat mencarut atau memaki dengan ayat-ayat kurang ajar itu aku reti lah, lol. Kemudian, aku bersembang pula dengan orang Perancis itu. Tahu pula dia bercakap bahasa Inggeris, hahaha. Padan muka hang, Perancis hoiii!!! Dulu aku pernah terjumpa orang Perancis berlagak yang memaksa orang bercakap bahasa Perancis semasa aku bekerja di lapangan terbang. Mana aku nak reti!

Stesen Hualamphong


Pukul 12:15 tengah hari baru kereta api sampai di Bangkok. Stesennya bernama stesen Hualampong. Terletak berdekatan dengan kawasan Yaowarath, China Town.

Ha, itu dia stesen Hualamphong. Sebelum sampai di situ, aku nampak Dusit. Ini nama tempat seperti nama penasihat maharaja Siam, tuan Dusit Nontanakorn. Baru-baru ini mereka bertandang di Alor Setar berjumpa saudara-mara di situ. Orang itu merangkap saudara sebelah ibu kepada Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Persekutuan Malaysia yang pertama. Ibu beliau, Mak Enche' Manjalara adalah kerabat diraja negeri Martaban (dalam Myanmar).

Aku pergi bersolat Zohor dulu sebaik tiba fasal waktu sudah berapit dengan waktu Zohor. Naik ke atas stesen. Itu setingkat ada surau sebuah. Klasik pula surau tersebut seperti dalam bangunan lusuh, hahaha. Ada jam dinding digital di situ tetapi aku tak nampak tempat lelaki bersolat. Sebaik naik tangga, boleh nampak tempat wanita bersolat dulu; aku malulah!!! 

Ada mäkcik itu, seorang Melayu sebelah Siam ini pun mai dari selatan agaknya, lalu bertanya kepadaku: "mayé ngada manä aik?" Manalah aku nak pi tahu mäkcik hoiii. Aku pun sama sepertinya. Baru pertama kali menjejakkan kaki di Bangkok. Masuk di sebelah, bilik solat lelaki, ada ramailah orang sedang tunggu dalam itu. Aku ingat mereka sudah beres bersolat. 

Aku pun bertanya pakcik sorang itu, "sudah bang dah ka??" Dia kelihatan seperti berfikir sebentar. Selepas itu, lama sangat dia termanggu di situ, aku pun ingat dia tidak mengerti bahasa Melayu. Aku ulangi pertanyaan sambil berkecek bahasa Siam pula, "bang laew reu mai no??" Dia pun berkata, "yang mai!" Oh, belum bang (azan) lagilah ini. Kemudian dia pun bersembang dengan orang sebelahnya, berkecek bahasa Melayu. Hareeeem betullah, hang reti pula bercakap bahasa Melayu!!! Jam di dinding berbunyi bagaikan hendak meletup apabila jarum menunjukkan waktu, 12:25 tengah hari. Solat jamak dan qasar lah semua di situ, musafir kita....


Ini gambar di tengah-tengah stesen Hualampong. Terdapat pameran buku hari itu. Banyak juga buku bagus-bagus, tetapi semua berbahasa Siam sajalah. Tidak ada pun buku berbahasa Inggeris, berbahasa Melayu, berbahasa Cina atau berbahasa Tamil seperti di Malaysia dan Singapura. Semua berbahasa Siam. Buku mengenai agama Buddha, buku masak memasak, buku pelajaran, buku tilik nasib, buku komputer, semua pun ada. Ada juga orang Melayu membelek-belek buku di situ. Jika bersembang dengan depa itu sahih tidak faham bahasa Melayu, ahahaha. 

Tekak pun terasa dahaga. Jadi aku pergi ke kedai serbaneka di sebelah itu. Ya Allah, depa menjual babi sosej itu tergolek di tepi-tepi itu!!! Reaksi aku pun seperti totok-totok Muslim pengikut mazhab Syafie yang lain juga. Tercemar jugalah baju aku terkena asap sosej babi panggang yang yummy itu. Jika terkena kepada geng-geng JAIS itu, aku rasa tentu depa sudah mengelupur tersampuk oleh sawan babi, hoho. Tutup mata sajalah. Kita bukan berada di tempat kita... Mau berjalan jauh-jauh, lu ambil risikolah!

Aku belum tahu hendak menuju ke mana lagi. Aku tidak menempah pun sebarang hotel. Aku pergi begitu saja, sehelai sepinggang dengan beberapa barang dalam beg rucksack besar yang mengandungi: 
  • 2,3 helai baju
  • kamera
  • sedikit Thai Bhatt
  • quran kecil, kitab doa dan maksurat
  • sejadah
  • barang-barang bersuci seperti siwak, berus gigi, sebotol minyak zaitun kecil, ubat gigi, dll.
Hangpa nampak saja aku ini sekular di luar. Tetapi bab-bab Sunnah... Sunni... Munni... semua aku jaga nah! Itu sebab aku meluat geng-geng yang konon-konon reborn tapi sebenarnya nak show off datang berceramah berdakwah kepada orang-orang yang sedia maklum. Aku ada membuat catatan rancangan kasar sebelum pergi ke Bangkok. Siap jumpa senior Phd seperti cik kak, Montawadee Garutmedjai lagi di pusat wanita USM. Dia menerangkan kepada aku mengenai Bangkok itu seolah-olah seperti di Georgetown di Penang.

Sekali bila sudah sampai, "nah, ambilll hang!!" Sebaik saja keluar dari stesen kereta api itu; terus senak perutku. Aku melewar-lewar ke hulu ke hiliag. Berjalan kaki kira-kira sekilometer dulu. Pergi ke Yaowarath melintasi jambatan di tali air. Ada bas banyak sekali di depan stesen itu. Tetapi aku takut sesat jika naik bas. Aku baca bahasa Siam pun lembap juga, "duk eja dulu mo, ho, srak a... mahā..." Last skali, umpphhhh malas aku nak baca, I give up!!! Ingatkan nak buat gila lagi. Berjalan kaki saja menuju ke destinasi yang belum ditentukan lagi.


Yaowarath, Pekan Cina

Aku lintas tali air ini, kemudian lalu ke Yaowarath. Ia adalah sebuah pekan Cina seperti di Petaling Street. Nampak seperti lawa dalam gambar itu bukan. Tetapi aku rasa air dalam tali air itu busuk sekali! Di Yaowarath itu, ada kedai-kedai seperti kedai kunci, kedai makan Cina, kedai perkakasan besi, kedai menjual barang-barang runcit, hotel Cina dan banyak lagi.


Ini simpang jalan, aku snap sedikit bimbang terlupa. Kemudian, aku jalan terus di lorong itu sampai ke satu Wat Diraja dalam pekan itu, bernama Biarä Traimitra. Di situlah kita nampak banyak kedai-kedai itu semua. Orang di situ tidak begitu merenung sangat sebab rupa kita sama seperti mereka. Cina-cina di situ pun muka seperti cina di sini. Cuma bezanya, depa cakap bahasa Siam sesama sendiri. Bunyi bahasa Siam dengan bunyi bahasa Cina pun, jika dengar hampir serupa saja, hahaha.


Semasa aku melalui biara ini, mereka sedang menjalankan upacara. Tetapi, ada juga pelancong yang masuk melawat dan meninjau dalam biara. Upacara itu, rasanya upacara harian biasa saja. Pelancong asing yang ingin masuk melawat perlu membayar TB 20 (RM 2). Ambil tiket di kaunter di tepi tempat orang mempersembah sajian mereka.

Mereka tidak meminta wang pun kepada aku. Malas pula hendak masuk ke dalam lagi. Aku pun sedang sibuk mencari tempat untuk meletakkan barang. Rasa kurang sopan pula dengan berpeluh-peluh berminyak dengan beg berberõt-berõt untuk masuk ke dewan puja biara pekan itu. Dari Wat Traimitra pula, kita boleh pergi ke jalan Charoenkrueng, jalan Sipraya dan cabang jalan Sukon 2. Ada lagi beberapa jalan persimpangan di situ. Aku dah tak ingat.

Selepas kelipóg pi, kelipóg mari di situ, aku pun migrain disebabkan aku tidak tahu nak menuju ke mana lagi. Aku berpatah balik ke Hualampong kerana teringat bahawa di situ ada stesen kereta api bawah tanah. Jika tak silap, mereka panggil sebagai MRT juga seperti di Republik Singapura.

Bersiar-siar solo seperti ini lah, cik kakak sayang... cik abang sayang sekelian. Duit pun kena catu-catu berbajet sebab duit sendiri bukan duit biaya pinjaman mahupun biasiswa. Kita pelajar sekolah dulu tidak pandai, tidak bernasib baik seperti penduduk peneroka di felda-felda yang kaya-kaya ada duit rancangan.

Kita orang Jawi, penduduk di bandar, perlu berusaha sendiri walaupun cuma bersiar-siar dekat saja. Jika bernasib baik bersekolah MRSM, pasti semua orang pun sayang, boleh mendapat JPA lalu boleh melancong melepaskan tekanan di negara-negara jiran di tempat pengajian seberang laut seperti di Jerman, Republik Perancis, Switzerland. Semua pun dibiayai dan bekerja sambilan di negara-negara luar pun upahnya lumayan. Bukan seperti di sini.

Negara berjiran dengan tempat aku belajar ini cuma negara Thailand saja. Aku mampu pun setakat ini sajalah dan tidak kisah pun geng-geng MRSM poyo atau geng-geng IPT overseas nak be cocky like pussy... Ok apa, mat saleh pun terhegeh-hegeh hendak pergi berjimba di Thailand dan Myanmar. Kira taraf gua setaraf kokesenlah sudah, hahaha...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan