Maklumat Sukhothai


Kerajaan atau negara Sukhothai, adalah kerajaan awal yang bertempat di sekitar kota Sukhothai di tengah rantau utara Thailand moden. Kerajaan ini berdiri sebagai sebuah negara sejak 1238 - 1438. Kota lama, kira-kira 12 km ke luar kota baru di daerah Mueang Kao, berbentuk runtuhan puing-puing purba kini diiktiraf sebagai taman sejarah Warisan Dunia UNESCO.

Sejarah

Kemerdekaan dari Kerajaan Lavo

Perkataan Sukhothai terbit dari serapan bahasa Sanskrit, bermaksud, Fajar Kesukaan. Sebelum abad ke-13 M, kerajaan-kerajaan puak Tai sudah pun wujud di bukit-bukit di utara Thailand moden, termasuk kerajaan Ngeonyang yang dihuni oleh puak Tai suku Yuan. Pusat kerajaan mereka itu bertempat di Chiang Saen dan ia turut menjadi cikal bakal kerajaan Lanna. Selain itu, wujud juga kerajaan Heokam yang dihuni oleh puak Tai suku Lue. Ibu kota mereka berpusat di bandar Jinghong di Republik Rakyat China. Kerajaan Sukhothai pernah menjadi pusat perdagangan serta dijajah oleh kerajaan Lavo. Lavo ketika itu menyembah ke maharaja yang bersemayam di kerajaan Angkor di Kemboja.

Penghijrahan orang Tai ke hulu lembah Chao Phraya berlaku sedikit demi sedikit. Sejarawan moden menyatakan bahawa, Sukhothai berhenti menyembah ke Angkor seawal 1180, ketika pemerintahan Po Khun Śrī Nav Namthom yang mentadbir dari kota mundur, Śrī Satchanalai. Tempat itu kini cuma sebuah mukim dalam negeri Sukhothai dalam Thailand. Sukhothai menikmati autonomi seketika sehingga ia dijajah kembali oleh orang Mon dari kerajaan Lavo pada 1180. Lavo ketika itu diperintah oleh Khomsabad Khlonlampong.

Dua panglima bersaudara, Pho Khun Bangklanghao dan Pho Khun Pha Mueang merampas Sukhothai kembali dari pemerintahan orang Mon pada 1239. Selepas itu, istilah khun menjadi gelaran bangsawan Thai. Istilah itu bermaksud pemerintah kota berkubu, serta kampung-kampung di sekelilingnya, digelar mueang. Pho Khun Bangklanghao memerintah Sukhothai dengan nama Śrī Indraditya, sekaligus memulakan wangsa Phra Ruang. Jajahan Sukhothai pun melebar sehingga ke kota-kota yang bersempadan. Di penghujung pemerintahan baginda, sempadan negara Sukhothai sudah pun meliputi hulu-hulu sungai sebelah atas lembah Chao Phraya.

Sejarawan Thai tradisional beranggapan bahawa kerajaan Sukhothai ini menandakan permulaan bagi kebangsaan Thai kerana tidak banyak yang diketahui mengenai kerajaan-kerajaan sebelum negara Sukhothai. Pengajian sejarah Thai moden menunjukkan bahawa sejarah bangsa Thai sudah pun bermula sejak sebelum kemunculan Sukhothai lagi. Namun, hal ini tidak menghalang bangsa Thai untuk meraikan Sukhothai sebagai dasar jati diri mereka.

Pelebaran Pengaruh

Pho Khun Ban Muang dan saudaranya, Ramkhamhaeng melebarkan lagi pengaruh negara mereka. Mereka menakluki kerajaan Supannaphum (Suvarnabhumi) dan kerajaan Śrī Tharmankorn (Tambralinga) di selatan. Menerusi kerajaan Tambralinga, mereka menganut aliran ajaran Buddha Theravada serta menjadikannya sebagai agama rasmi negara.

Sejarah tradisi mereka yang menyebut bahawa pelebaran jajahan Sukhothai yang begitu meluas itu kelihatan seperti mustahil dan kesahihannya diragui dan dipersoal juga. Di sebelah utara disebut bahawa Po Khun Ramkhamhaeng memukul negara Phrae dan negara Muang Sua (Luang Prabang) sehingga terpaksa menghantar ufti kepada mereka.

Ke barat pula, Po Khun Ramkhamhaeng membantu negara Ramaadeśa yang diperintah oleh seorang panglima keturunan Tai, bernama Wareru. Puteri Po Khun Ramkhamhaeng didakwa berkahwin lari dengan Wareru. Negara Ramaadeśa cuba untuk membebaskan dirinya dari penguasaan kerajaan Pagan. Ibu kota Ramaadeśa terletak di Martaban sebelum berpindah ke Pegu. Sejarawan-sejarawan Thai menganggap bahawa kota Martaban sebagai jajahan Sukhothai. Namun, dari segi amalinya, penguasaan Sukhothai sebenarnya boleh jadi tidak tembus pun di situ.

Berkenaan dengan kebudayaan Po Khun Ramkhamhaeng menjemput bhiksu-bhiksu dari Śrī Tharmnakorn untuk menyebarkan ajaran Buddha mengikut tradisi Theravada di Sukhothai. Pada 1283, tulisan Noya Thai dicipta oleh Po Khun Ramkhamhaeng, yang diadun menjadi batu bersurat Sukhothai penuh kontroversi, ditemui oleh raja Mongkut, 600 tahun kemudian.

Ketika ini juga, Sukhothai mula menghantar duta-duta ke empayar dinasti Yuan di China. Sukhothai terkenal dengan bahan-bahan tembikar Sangkalok (gaya dinasti Song). Saat ini saja Sukhothai menghasilkan tembikar mengikut gaya China. Tembikar ini sudah tidak laku lagi dalam abad ke-14 M.

Kemunduran Sukhothai dan Penguasaan Ayutthaya

Penguasaan Sukhothai cuma sekejap saja. Selepas kematian Po Khun Ramkhamhaeng, negeri-negeri yang menyembah ke Sukhothai pun membebaskan diri. Po Khun Ramkhamhaeng digantikan oleh putera mahkota, Loethai.

Negeri-negeri Tai-Lao yang menyembah ke Sukothai di utara seperti Uttaradit, Luang Prabang dan Vieangchan (Vientiene), semuanya memberontak membebaskan diri. Pada 1319, negeri orang Mon di sebelah barat pula memberontak dan berjaya. Pada 1321, kerajaan Lanna merampas kota yang tertua di Sukhothai menjadi kota jajahannya.

Turun ke selatan, negara Suphanburi berpecah menjadi merdeka ketika penggal awal putera Loeithai memerintah. Sukhothai pun jatuh taraf ke kedudukan sebelum ia naik serinya sebelum ini. Sementara itu, negara Ayutthaya menyusun kekuatannya. Pada 1378, Śrī Dharmaraja negara Sukhothai pula terpaksa menyembah negara baru tersebut. Ketika itu, tentera-tentera Ayutthaya menakluki negara Sukhothai sehingga ia terpaksa menghantar ufti ke Śrī Ayutthaya. Disebabkan ibu kota lama Sukhothai mula mundur, putera Loeithai terpaksa berpindah ke Phitsanulok.

Berikutan kemangkatan raja Sai Loeithai, Phraya Ram dan Phraya Banmeung pun berkelahi sesama sendiri merebut takhta ayahanda mereka. Śrī Indraraja dari Śrī Ayutthaya pun masuk campur. Sukhothai dibahagi kepada dua. Adinda mereka diperisterikan oleh Brahmaraja II dari Śrī Ayutthaya. Mereka dikurniai putera seorang, putera Rāmeśvara. Phra Brahmapāla (Phraya Banmeung) mangkat pada 1446, tanpa meninggalkan waris. Takhta Sukhothai di situ diserahkan kepada putera Rāmeśvara atau Trailokanāth. Putera Rāmeśvara dimahkotakan sebagai maharaja Siam pada 1448. Hubungan kekeluargaan antara Sukhothai dan Śrī Ayutthaya pun terus berlangsung.

Batu-batu bersurat Sukhothai yang membentuk sejarah Siam awal beratus-ratus jumlahnya. Yang terpenting seperti:
  • Batu Bersurat Pho Khun Ramkhamhaeng.
  • Batu Bersurat Biara Srichum yang mengandungi sejarah Sukhothai dan Sri Lanka.
  • Batu Bersurat Biara Pamamuang, mengandungi rekod-rekod hubungan agama dan politik raja Loeithai.
Kejatuhan Sukhothai

Selepas peperangan di Sungai Sittaung pada 1583, putera mahkota Śrī Ayutthaya dan Sukhothai yang berdiam di Phitsanulok memaksa penduduk-penduduk di kota-kota seperti Phitsanulok, Sukhothai, Phichai, Savankhalok (Sorgaloka), Kamphaeng Phet, Phichit, dan Prabang untuk berpindah ke lembangan Tengah-Selatan. Puncanya adalah untuk menghadapi gempa bumi dan peperangan dengan empayar Burma.

Selepas putera mahkota, Mingyi Swa dari wangsa Toungū mangkat terbunuh di peperangan Don Chedi (1592), kota-kota tersebut semua dipulihkan semula dan diserap menjadi negeri-negeri dalam kerajaan Śrī Ayutthaya.