Banyak orang cuba untuk mengelakkan diri daripada menyebut mengenai kaitan antara ajaran Buddha dengan orang Melayu terutamanya apabila istilah Melayu zaman ini dimasukkan menjadi istilah sosio-politik yang dikaitkan pual dengan agama Islam hasil dari perjalanan sejarah. Keadaan ini sebenarnya bukannya memperkuat identiti diri orang Melayu. Sebaliknya, menjadikan mereka lebih celaru identiti diri.
Lalu, muncullah mereka yang mengakui diri sendiri keturunan nabi Sulaiman a.s dan lain-lain dakwaan yang pelik-pelik. Catitan sejarah tidak diberi tarikh dan bercampur aduk sehingga menjadi cerita merapu kedana yang dipaksa-paksa juga biar berkaitan terus. Tali perkaitan mereka di zaman moden ini dengan kerajaan-kerajaan empayar lama kerantauan di sini seakan-akan terputus. Keadaan ini turut terjadi kepada mereka di sebelah Pakistan dan Bangladesh sana yang tiba-tiba mengakui diri mereka sendiri sebagai bangsa Arab sedangkan bentuk budaya, bahasa, adat dan taste muzik mereka berbau kehinduan.
Maka, Srivijaya itu adalah sebuah kerajaan Hindu yang raja-rajanya menganut ajaran Buddha aliran Mahayana. Dokumen yang diperturun oleh Datuk Salimbado Buah Tarok di Sumatera mengenai keturunan raja-raja Śailendra menyebut bahawa mereka itu sebenarnya adalah keturunan Kauṇḍiñawaṃśa. Kauṇḍiña adalah sebuah gotra bangsa Hindu yang berjati Brahmin yang turut digunakan di Kemboja purba apabila seorang Brahmin masuk ke hilir Kemboja benikah dengan puteri bangsa Naga.
Mengenai keluarga diraja itu, nantilah kita paparkan teorinya. Semua teori yang dipaparkan itu pada hemat kita, adalah saling berkaitan. Bukannya terputus-putus. Yang terputusnya itu terjadi disebabkan oleh sentimen kebangsaan negara-negara moden.
Agama Utama
Wujud dua agama utama di empayar Srivijaya sebelum abad ke-13 M. Agamanya itu adalah agama Hindu mengikut tradisi orang Brahmin. Ajaran yang dianuti oleh hampir keseluruhan penduduk termasuk keluarga dirajanya itu adalah ajaran Buddha.
Perkaitannya sangat erat dengan benua kecil India serta rantau di sekitarnya. Disebut secara umum bahawa agama orang Hindu sampai ke Asia Tenggara seawal tujuh kurun sebelum ketibaan orang Eropah tapi dalam babad tempatan, carigali purba serta batu-batu bersurat bertulisan Hindu di merata-rata rantau Asia ini menyatakan orang Hindu sudah masuk sejak abad sebelum masihi lagi.
Catitan rekod China menyatakan bahawa ajaran Buddha dan agama Hindu sudah berada di Srivijaya itu tenang-tenang sahaja. Tiada perang pada penyebaran ajaran agama. Pengaruh agama ini semua tidak ditemui dalam kalangan penduduk di pesisiran pantai tetapi dalam tapak istana diraja di rantau hulu walaupun di pesisiran itu ramai pedagang dan pelawat luar yang berkunjung. Ada bukti menyatakan bahawa penduduk di Asia Selatan dan penduduk Asia Tenggara saling kunjung mengunjung sesama sendiri dan berlaku pengaruh mempengaruhi sesama mereka. Amalan-amalan keagamaan mereka juga saling mempengaruhi.
Konsep devaraja adalah merupakan konsep yang utama dalam pasakan sistem mandala pengaruh kuasa pusat Srivijaya. Ia mempunyai kala-kala tertentu dan pemerintahan maharaja silih berganti mengikut negeri-negeri yang menyembah ke kuasa pusat. Konsep ini adalah konsep yang menekankan mengenai hubungan antara kelompok raja pemerintah dengan dewata dan Sang Hyang (Tuhan). Konsep ini lebih kurang juga dengan konsep maharaja sebagai anak kayangan di empayar China. Maharaja memuja kayangan atau keinderaan dan terdapat pula mandat kayangan yang memastikan bahawa bangsa diraja itu berkuasa untuk memerintah.
Menurut agama kepercayaan Hindu, matlamat hidup segala makhluk yang bernyawa dan berjiwa itu berkaitan dengan tiga perkara iaitu:
- Dharma, tanggungjawab makhluk menurut kelahirannya.
- Artha, kemakmuran dari segi duniawi.
- Karma, tindakan-tindakan yang memberi kesan kepada persekitaran serta memutarkan takdir.
Kerajaan pusat Srivijaya dan keluarga dirajanya itu merupakan antara pemegang peranan utama dalam usaha penyebaran ajaran Buddha di rantau yang ditundukkan oleh mereka.
Sebaik sahaja ditundukkan Pulau Jawa, Tanah Melayu dan Segenting Kra, maka ajaran Buddha disebarkan oleh mereka dengan penuh taatnya. Orang-orang yang ingin berziarah ke India pun digalakkanlah supaya tinggal sementara bersama dengan para bhiksu Buddha di ibu kota mereka di Palembang sebelum pergi ke India sana.
Kerajaan Srivijaya ini merupakan antra kubu kuat pengamal ajaran Buddha aliran Mahayana dari tradisi Mantrayana atau Vajrayana. Ramai penziarah dan sarjana turun untuk berziarah di kota Palembang bagi membuat kajian di situ serta belajar bahasa Sanskrit kerana bhiksu-bhiksu di situ mahir dalam bahasa Sanskrit. Bhiksu Buddha China bergelar Yi Jing dari dinasti Tang pernah beberapa kali melawat Sumatera sebelum ke Universiti Nalanda di India untuk mendalami ajaran Buddha sekitar 671 dan 695. Beliau mencatit dalam catitan beliau:
"... ramai raja dan pemerintah di kepulauan dalam lautan selatan itu memberi sembah takzim dan percaya dengan ajaran baginda Buddha. Dalam hati mereka itu tersemai benih-benih kebajikan. Dalam tembok ibukota Srivijaya ini tinggal berdiam 1000 orang bhiksu Buddha, yang belajar dengan gigihnya dan menjalani dengan tekun ajaran para Arya... Jika bhiksu-bhiksu China berniat untuk belayar ke India mencari ajaran Buddha itu, molek benar jika mereka singgah dulu setahun dua di Srivijaya. Perdalam pengetahuan dulu sebelum menyambung pelajaran di India".
Beliau belajar bahasa Sanskrit di Sumatera selama enam bulan dan juga belajar bahasa Melayu Purba di situ. Sekitar awal abad ke-7 M, beliau menterjemahkan sutra-sutra bahasa Sanskerta berjumlah 400 jenis banyaknya dari empayar Srivijaya. Antaranya adalah seperti:
- Saranavabhava Vinaya.
- Avadana: Ceritera Kebajikan.
- Suvarnaprabhascottamaraja Sutra: Sutra Diraja yang Dimuliakan.
Di India pula, beliau menterjemah ke bahasa Cina antaranya seperti Sutra Cahaya Keemasan yang sebenarnya adalah bahagian yang disesuaikan dari bacaan pujian bhagavan Krishna untuk dewi Durga dari kitab Harivaṃśa. Namun, pujian dalam teks berbahasa Cinanya itu ditujukan pujian kepada dewi Saraswati.
Sekitar abad ke-11 M, seorang lagi cendekiawan bhiksu Buddha bergelar Atiśa Dipaṃkara Srijñāna dari empayar Pala di Bengal masuk ke kerajaan Srivijaya untuk mempelajari ajaran Buddha dengan Guru Dharmakirti Śailendra. Beliau turut mengajar di Universiti Nalanda di Bihar sana.
Di sebelah Sumatera sana pada ketika itu, bhiksu-bhiksu Buddha mengamalkan ajaran Buddha yang berbentuk murni sebagai latihan walaupun mereka dibenarkan juga melakukan pengubahsuaian kebudayaan. Matawang emas digunakan di pesisir pantai tetapi lain pula di perhuluan Srivijaya di Sumatera.