Rumah: Kisah Kedua

Kisah kedua bermula dengan seorang wanita bernama, Jan, yang kematian suami. Suaminya, Jarat, mengalami sakit sehingga koma sebelum meninggal dunia. Suaminya meninggalkan nota di merata-rata rumah yang sering menyebabkan Jan teringat kenangan-kenangan lalu dengan suaminya. 

Di satu majlis pengebumian seorang penduduk yang baru meninggal, bernama Npal Niravarno, Jan yang turut hadir di situ membantu majlis, bersembang dengan dua orang mak nenek. Seorang mak nenek berkata, "Jan, suamimu itu sudah lama meninggalkan dunia ini, kenapa engkau masih bersedih?" Jan menjawab, "Kadangkala, aku terasa seperti dia masih lagi berlegar-legar di rumah. Oleh itu, aku terasa enggan untuk meninggalkan rumah lama-lama". Mak nenek itu berkata lanjut, "Nun tengok si Kiaew di sana, anaknya meninggal dunia dalam kemalangan, suaminya pula baru meninggal. Namun, dia boleh menerima hakikat ini". Mak nenek kedua menyampuk, "Kesian noh melihat si Kiaew, dia kini keseorangan". Babak ini ditutup oleh bacaan gatha mengenai menghadapi kematian.

Babak ketiga pula, makcik Jan berlalu meninggalkan majlis bacaan gatha. Dia ternampak makcik Kiaew di belakang candi sedang bermuram dan cuba mengelaknya. Makcik Kiaew memanggilnya dan mengadu, "Anak saya sudah meninggal tiga hari. Namun, saya masih belum menemuinya dalam mimpi". Makcik Jan membalas, "Barangkali rohnya tersesat. Kakak ingat awak sudah boleh menerima hakikat?". Jawab makcik Kiaew, "Menerimanya??? Saya masih belum percaya anak lelaki saya sudah pergi. Saya cuma boleh menangis bila saya boleh menerima hakikat saja".

Membaca nota-nota suaminya menyebabkan Jan termimpi-mimpikan suami tercinta. Dia bermimpi gemolah suaminya datang dengan rupa seorang budak lelaki. Dia pun tertanya-tanya jika roh suaminya itu sudah terjelma atau belum mengikut kepercayaan penganut Buddha. Di babak keempat, makcik Jan berbincang dengan anak saudara perempuannya, si Jambu dan suaminya, si Wau, mengenai isu hubungan kelamin untuk memastikan suaminya terjelma atau belum. Kemudian ada babak seksa kerabat katil sedikit selepas makcik Jan memberi cuti kepada suami anak saudaranya, hahaha.... 

Babak kelima, makcik bermimpi suaminya memberitahu bahawa dia tak boleh kembali lagi ke alam duniawi. Keesokan harinya, makcik Jan terjaga dan melihat si Jambu menggoncang pokok di depan rumah mereka. Si Jambu pun duduk di balai membaca nota-nota pakcik Jarat. Macam-macam disuruhnya makcik Jan buat. Si Jambu kata, "Bengkeng sungguh pakcik ini!" Makcik Jan bertanya, "Bengkeng? Bengkeng macam mana itu?" Si Jambu menjelaskan maksudnya, "Bengkenglah sebab dalam sakit-sakit tidak boleh bercakap pun boleh disuruhnya orang berbuat macam-macam." Makcik Jan tersenyum sumbing, "Begitulah adatnya, bila sudah kahwin itu, kita pun menjadi abdi si suami". Kemudian, makcik Jan menyuruh si Jambu menyimpan semua nota yang bersepah-sepah dalam kotak. Jambu marah bila melihat pakcik Jarat mengutuknya dalam nota, "Jangan layan sangat si Jambu itu, dia itu bengong!" Si Jambu mencebik sendiri, "Dah mati itu, matilah juga. Sibuk lagi dengan hal orang hidup! Sekali lagi Jambu jumpa nota begini memang Jambu bakar-bakarrr!"

Babak keenam, beberapa insiden terjadi seperti insiden makcik meminta hutang pakcik Jaras sebanyak Bhat 1500 dibayar, insiden seorang pekerja kontrak makcik Jan yang menghamilkan perempuan lain meminta wang untuk menggugurkan janin dan insiden si Jambu disaman oleh majlis perbandaran kerana membakar surat-surat dan nota pakcik Jarat di laman terbuka. Makcik Jan terjumpa nota berisi permintaan terakhir pakcik Jarat ketika menguis-nguis surat-surat suaminya yan bersisa. Mendiang ingin minum beer. 

Babak ketujuh, makcik Jan ke biara meminta bhiksu menghantar "beer" untuk roh suaminya. Dia turut bertanya bhiksu, bila roh suaminya boleh menjelma semula dari alam barzakh? Bhiksu menjawab, "Jiwa ini tidak mampu beritahu puan. Hal ini melibatkan baik, buruk amalan suami puan serta pahala orang hidup terdekat yang mengalir kepada si mati tersebut. Begitu juga dengan ciri-ciri rohani suami puan serta pujawali puan sendiri untuk suami puan yang membantunya melalui kehidupan-kehidupan di alam yang seterusnya". Makcik Jan belum puas hati lagi, "Jadi, tuan tahu di mana roh suami saya?" Bhiksu menjawab dengan tenang, "Roh suami puan berada di tempat yang puan harap untuknya berada". Makcik Jan pun terdiam lalu terkebil-kebil memandang ke vikraha para Buddha Jina di ruang puja biara itu. 

Babak kelapan, makcik Jan membelek-belek diari pakcik Jarat dalam kereta selepas ke biara. Si Jambu kehairanan, "Apa yang dikalutkan sangat dengan buku nota pakcik itu?" Makcik Jan menjawab, "Buku nota ini penting untuk menyelesaikan masalah yang pakcik kau tinggalkan. Dia sudah meninggal jadi kita yang masih hidup perlu menyelesaikannya". Makcik Jan bertanya Jambu, "Jika suami kau meninggal dunia, contohnya seperti dihentam kereta. Apa kemungkinan perancanganmu?" Jambu yang masih mentah itu menjawab, "Jambu pun tak tahu. Mungkin, Jambu akan berkahwin lagi selepas tempoh berkabung tamat". Makcik Jan tertawa kecil, "Kau masih muda lagi. Bolehlah cakap begitu. Tapi, bila dah tua ini kita tak boleh berbuat sesuka hati lagi. Kau nak buat bagaimana? Bila kita berkahwin, kita boleh berjanji sehidup semati. Tetapi tak mungkinlah begitu. Kita kahwin, hidup bersama, dan selepas itu kematian mengambil salah seorang daripada kita dulu. Begitulah selalunya". Jambu cuma terdiam mencerna kata-kata makciknya itu. Sebaik saja si Wau masuk ke kereta, si Jambu pun memeluknya erat-erat. 

Makcik Jan membaca nota yang terselit di pelindung cahaya keretanya. Pakcik Jarat mengucapkan selamat hari jadi kepadanya. Dia terus menangis teresak-esak teringat tentang bagaimana dia menyeru roh suaminya yang koma itu supaya masuk ke alam seterusnya selepas anak perempuannya berkata bahawa bapanya enggan pergi sebab ibu berada di sisinya. Anak lelakinya pula bertanya nak bawa pulang ayah ke rumah atau bagaimana? Yang anak perempuan membantah, "Menyusahkan saja nak menjaganya." Maksudnya mereka tidak mahu bertanggungjawab. 

Di penghujung cerita ini, makcik Jan dengan sebak berkata sendirian, "Abang, boleh dengar saya? Sudah tiba masa dah noh. Jasad abang sudah rosak teruk. Dah tak mampu bergerak lagi. Jika abang terus bertahan pun, cuma menyakiti diri abang saja. Saya rayu abang, pergilah tinggalkan jasad itu. Jangan risau, kami akan baik-baik saja. Amalan kebajikan kita bersama di dunia ini, terputus sudahlah di sini. Abang sudah lakukan yang terbaik. Saya gembira bertemu dengan abang dan berkongsi hidup dengan abang. Suatu hari nanti, kita akan bertemu lagi. Pergilah ke alam yang lebih baik".