Kebudayaan Srivijaya


Menurut kepada sumber-sumber sejarah, Srivijaya mempunyai kota-kota yang dihuni oleh masyarakat kosmopolitan dengan kebudayaan yang dinamik. Kehidupan penduduk di negara-negara kota yang dipengaruhi oleh Srivijaya juga kuat dipengaruhi oleh ajaran Buddha Mahayana yang berkembang pesat dari ibukotanya di Palembang.

Bahasa Melayu Tua

Batu bersurat Talang Tuo abad ke-7 M menggambarkan upacara mengikut ajaran Buddha dan para bhiksu memberi restu kepada masyarakat pada perayaan-perayaan agama di taman-taman awam di ibukota Srivijaya.

Batu bersurat Kota Kapur pula menyebut bahawa Srivijaya turut mempunyai pangkalan tentera yang bertempat di Pulau Jawa. Batu bersurat tersebut dipahat menggunakan bahasa Melayu Tua yang digunakan oleh penduduk Srivijaya dan ia menjadi nenek moyang bagi bahasa Melayu moden yang digunakan di beberapa negara di Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura, dan Brunei. Selain itu, ia turut digunakan oleh Republik Indonesia sebagai bahasa penyatuan segala etnik di rantau negara tersebut.   

Sejak abad ke-7 M, bahasa Melayu Tua digunakan di kepulauan selatan secara meluas. Hal ini boleh dilihat menerusi batu-batu bersurat Srivijaya serta batu-batu bersurat lain yang dipahat menggunakan bahasa Melayu Tua di pesisiran pantai seperti di Pulau Jawa. 

Hubungan perdagangan antara suku-suku kaum yang pelbagai turut memerlukan bahasa Melayu Tua menjadi alat untuk komunikasi. Keadaan ini menyebabkan bahasa Melayu Tua turut tersebar meluas di sekitar selatan Asia Tenggara. Ia menjadi bahasa pertuturan antara penduduk dan juga bahasa untuk penyebaran ajaran Buddha Mahayana. 

Pembinaan Biara dan Candi

Walaupun pengaruh Srivijaya terpapar pada kekuatan ekonomi, akar kebudayaan dan ketenteraannya, namun sedikit sangat jumpaan arkeologi yang boleh ditemui di hulu pulau Sumatera yang menjadi tempat timbulnya empayar ini. 

Berbeza pula dengan di Jawa, pemerintahan keluarga diraja Śailendra yang mewakili empayar Srivijaya di Jawa Tengah meninggalkan banyak sekali monumen di jajahannya seperti Candi Kalasan, Candi Sewu dan Candi Borobudur. Biara Buddha dari zaman Srivijaya di Sumatera seperti Candi Muara Jambi, Candi Muara Takus dan Candi Biara Bahal dibangunkan dengan menggunakan batu-bata merah. Berbeza dengan candi-candi di Jawa yang menggunakan batu gunung berapi yang hitam. 

Arca-Arca Buddha

Sesetengah arca yang mewakili ajaran Buddha seperti Buddha Vairocana, Bodhisatva Avalokiteśvara, dan Buddha Maitreya ditemui di merata-rata tapak arkeologi di Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu. Jumpaan arkeologi seperti arca Buddha Vairocana diperbuat dari batu di Bukit Saguntang di Palembang. Arca Avalokiteśvara dari batu yang dikutip dari Bingin Jungut di Musi Ravasa dan arca Arya Maitreya pula dari batu di Komering. Arca Meitreya ditemui di rantau Kapas Tua di Muara Bulian. 

Jumpaan arkeologi Srivijaya di Tanah Melayu, ditemui di sebelah Bidor di negeri Perak. Jumpaan arkeologi tersebut adalah arca gangsa Bodhisatva Avalokiteśvara. Terdapat juga jumpaan arkeologi Srivijaya seperti arca Bodhisatva yang ditemui di Chaiya, Selatan Thailand. Arca-arca tersebut menunjukkan kesenian pertukangan yang berpengaruh Srivijaya dari asal Amaravati dan Śailendra yang terkenal di Jawa pada abad ke-8 sehingga ke-9 M.

Kesenian Gamelan

Rasanya gamelan lebih banyak dimainkan orang di sebelah Jawa atau di Bali. Terutamanya penganut agama Hindu di Bali memainkan gamelan semasa upacara keagamaan di kuil-kuil awam dan upacara hari raya. Di Tanah Melayu, gamelan dimainkan di negeri Terengganu dan hanya dimainkan di istana diraja.

Terdapat nada bunyi yang diberi nama Salendro, yang menjadi asas kepada lima nada pendek yang sama jaraknya dalam satu tataran bunyi. Kiraan satu nada ini, sebanyak dua angin sahaja. Asal terbitnya nada ini tidaklah diketahui. Namun, nama Salendro ini dikatakan merujuk kepada keluarga diraja Srivijaya yang mengalahkan kerajaan Medang yang sebelum itu memerintah di Jawa. Kerajaan Medang kemudian disatukan dengan Srivijaya sebagai jajahan takluknya. Kedatangan keluarga diraja Sailendra ke Jawa itu, turut membawa bersama mereka alat kesenian gamelan ini.  

Bunyi nada pendek gamelan yang bernama Salendro itu, didakwa dibawa pula ke Srivijaya sebelum itu oleh seorang bhiksu Buddha Mahaya dari kerajaan Gandhara di Asia Tengah sebelum berkembang sekitar Jawa dan Bali.

Rujukan: Sumarsam 1995. Cultural Interaction and Musical Development in Central Java. Chicago University Press.