Sedikit sangat bukti carigali berkenaan empayar ini yang ditemui. Menurut kepada Batu Besurat Kedukan Bukit, tahun Saka 605 (683 M), kerajaan Srivijaya dimulakan oleh Sang Dapunta Hyang Śrī Yasanasa atau Śrī Jayanasa. Baginda mengheret bersama seramai 20,000 bala tentera dan 312 orang dalam berangai dengan 1312 tentera darat dari Minanga Tamvan ke wilayah Jambi dan kota Palembang.
Walaupun disebut bahawa kerajaan ini dibangunkan dalam tapak kota Palembang, namun disebut bahawa baginda Dapunta Hiyang itu terbit dari Minanga Tamvan. Kedudukan tempat itu masih dibincangkan dengan lebih lanjut tanpa ditemui jawapannya lagi. Teori Palembang sebagai tempat berdirinya Srivijaya itu dipersembah oleh G. Coedes dan disokong pula oleh Pierre Yves Manguin. Soekmono pula, membahaskan bahawa kota Palembang itu bukannya tapak kota Srivijaya, tetapi mencadangkan bahawa sistem Sungai Kampar di Kepulauan Riau dekat dengan runtuhan Biara Muara Takus itulah letaknya Minanga Tamwan. Teori lain pula mencadangkan bahawa Dapunta Hyang itu datang dari Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu dan dicadangkan pula Jaya, yang kini berada dalam wilayah kerajaan Thailand di selatan sebagai kota pusat bagi Srivijaya.
Sekitar 500 M, tapak Srivijaya itu mula berkembang sekitar Palembang di Indonesia moden. Empayar ini disusun dengan tiga pusat mandala yang pusat Yang diPertuan Agungnya terletak di Palembang, dekat dengan lembangan Sungai Musi di perhuluan. Bahagian hulu bukit Sungai Musi itu pula terdapat banyak bahan yang penting bagi pedagang dari China. Ibukota diperintah oleh pemerintah secara terus manakala kawasan hulu diperintah oleh datu-datu tempatan yang bertindak seperti gabenor di zaman moden. Mereka akan membuat jaringan persekutuan dengan Maharaja Srivijaya pada masa-masa yang tertentu.
Jambi dan Bangka
Batu bersurat berbahasa Sanskrit menyatakan bahawa Sri Jayanasa melancarkan serangan di lautan pada tahun 684 dengan 20,000 bala tentera bagi mendapatkan kemewahan dan kekuasaan politik. Dengan ketenteraan dikepalai oleh baginda, kerajaan Malayu dikatakan merupakan antara kerajaan pertama yang diserang lalu diserap masuk ke empayar Srivijaya. Kejadian ini berlaku kira-kira pada tahun 680-an M. Kerajaan Malayu yang beribukota di Jambi itu kaya dengan galian emas dan dipandang tinggi oleh orang-orang di sekitar. Maharaja Srivijaya merasakan bahawa tindakan menundukkan kerajaan ini akan dapat memperkukuh lagi kedudukan kerajaan baginda.
Batu bersurat Kota Kapur di Pulau Bangka menyebut bahawa, Srivijaya menakluki hampir keseluruhan Sumatera Selatan dan kepulauan yang berjiran dengan Bangka, sejauh Lampung. Disebut lanjut lagi bahawa, Sang Hyang Jayanasa melancarkan juga serangan ke Bhumi Jawa pada lewat kurun ke-7 M. Ketika itu, di Bhumi Jawa, kerajaan Tarumanegara yang berkuasa memerintah di Barat Jawa dan kerajaan Kalingga pula di Tengah Jawa sedang mengalami kejatuhan.
Srivijaya turut mengawal beberapa laluan di perairan dengan bantuan suku kaum Orang Laut seperti di:
- Selat Melaka
- Selat Sunda
- Laut Cina Selatan
- Laut Jawa
- Selat Karimata.
Rekod Cina sekitar kurun ke-7 M menyebut dua kerajaan orang Sumatera, bersama dengan tiga kerajaan di Pulau Jawa telah dijajahi oleh Srivijaya.
Pada penghujung kurun ke-8 M, banyak kerajaan di Jawa Barat, seperti Tarumanegara dan Kalingga sudah pun meyembah ke Srivijaya. Disebut juga, keluarga sebuah kedatuan yang menganuti ajaran Buddha Mahayana berkaitan dengan Srivijaya pun turut menguasai rantau Jawa Tengah ketika itu. Kemungkinannya, merujuk kepada Śailendravaṃśa.
Putera-putera raja dari kerajaan Srivijaya berkahwin campur dengan puteri-puteri kepada datu-datu tempatan seperti juga yang berlaku kepada Śailendravaṃśa yang berpengaruh di Jawa Tengah. Mereka hidup bersama dengan Sanjayavaṃśa yang merupakan pemerintah tempatan. Bila empayar Srivijaya berkembang, maka ibukota baru pun turut dibuka di tempat-tempat yang menyembah ke pusat mandala.
Tanah Melayu dan Selatan Thailand
Negara-negara kota persekutuan Langkasuka di Semenanjung Tanah Melayu sampai ke Segenting Kra di bahagian Thailand moden turut ditundukkan sehingga menyembah berbakti ke Srivijaya. Kemudian, dua buah negara kota lain iaitu negara Panpan dan negara Tambralinga di utara Langkasuka turut ditundukkan kebaktiannya kepada maharaja Srivijaya.
Kerajaan-kerajaan di Semenanjung Tanah Melayu serta Selatan Thailand itu merupakan negara kota yang membantu memindahkan barangan dagangan sekitar Semenanjung dan Segenting Kra serta menjadi jalan pintas untuk pedagang-pedagan dari Barat untuk ke Timur Jauh.
Dengan menembusi rantau Pulau Jawa dan Semenanjung Tanah Melayu, kerajaan Srivijaya berjaya menguasai dua laluan perdagangan utama di Asia Tenggara dan Kepulauan Hindu secara umumnya. Setengah runtuhan biara-biara Srivijaya masih lagi wujud di rantau Thailand dan Kemboja.
Kawasan Jaya (Chaiya), dalam negeri Surat Thani di Thailand, sudah pun didiami oleh orang Semang dan beberapa puak cawangan orang Melayu pesisir sejak zaman sebelum muncul Srivijaya lagi. Srivijaya pula dikatakan sudah berada dalam kewujudan ini sejak abad ke-3 SM sebelum menakluki Tanah Melayu dan kebanyakan kawasan di Pulau Jawa yang di selatan sampai abad ke-13 M.
Nama kota "Jaya" ini kemungkinan muncul dari kata bahasa Melayu-Sanskrit, cahaya yang bermaksud sinaran berkelip-kelipan. Setengah sarjana percaya bahawa kata Chaiya ini berkemungkinan datang dari Srivijaya. Ia memang merupakan ibukota perantauan kerajaan Srivijaya bermula pada abad ke-5 M sampai ke-13 M. Sesetengah sejarawan Thailand membahaskan bahawa kota Jaya itu sendiri adalah ibukota Agong negara Srivijaya. Namun, pendapat mereka ini umumnya tak diterima.
Indochina
Pada satu tahap sekitar kurun ke-7 M, pelabuhan kerajaan Chām di timur Indochina mula menarik ramai pedagang. Keadaan ini menyebabkan aliran perdagangan di Srivijaya berubah ke sebelah Chāmpa.
Dalam usaha menarik pedagang-pedagang ke Srivijaya, Maharaja Śrī Dharmasetu melancarkan serangan demi serangan ke negara kota pelabuhan di rantau Indochina sana. Negara kota Indrapura di sebelah Sungai Mekong untuk sementara waktunya jatuh ke kawalan dari ibukota Palembang selepas serangan pada awal abad ke-8 M. Kerajaan Srivijaya terus-terusan menguasai kawasan-kawasan di sekitar Kemboja moden sehingga maharaja Angkor, Śrī Jayavarman II mengambilalih selepas melemahkan lingkaran mandala Srivijaya di situ dalam zaman yang sama.
Selepas Maharaja Dharmasetu, naik pula Maharaja Samaratungga memerintah Srivijaya. Baginda memerintah dari 792 M sampai 835 M. Tidak seperti maharaja sebelumnya, baginda Samaratungga tidak berminat dengan kegiatan menjajah tapi lebih berminat menumpukan perhatian baginda kepada mencengkam kedudukan di sebelah Pulau Jawa.
Baginda sendiri yang memantau pembinaan Candi Bhumisambharabhudara atau Borobudur di Jawa Tengah sehingga selesai pembinaannya pada 825 M dalam pemerintahan baginda juga.