Kerajaan Tambralinga diperintah oleh Phra Oṃ Padmavaṃśa atau dinasti Teratai Putih. Yang memulakan dinasti ini adalah baginda Śrī Dharmāśokarāja. Kelemahan lagenda ini, tidak mempunyai kronologi tarikh dan tahun untuk mengesan tarikh bermula negeri ini.
Lagenda Pertama
Menurut Tamnan Muang Nakhon Si Thammarat, baginda Śrī Dharmāśokarāja berasal dari negara lain. Baginda masuk ke Segenting Kra di Tanah Melayu membuka penempatan.
Tidak berapa lama baginda di situ bersama pengikut-pengikut baginda, negeri di situ dilanda oleh wabak penyakit. Ramailah yang mati. Kemudian, segala penduduk di situ dibawa keluar berkapal-kapal. Mereka belayar sehingga ke Sai Kaew atau Pasir Kaca di Bukit. Selepas itu, mereka meneruskan perjalanan lagi sehingga tiba di kedudukan yang nanti akan terbangun Negara Sri Dharmaraja.
Di situ, baginda memerintahkan kota dibuka. Pada kemudian hari, candi-candi turut dibuka untuk menyimpan peninggalan-peninggalan baginda Buddha Gautama di kota tersebut.
Lagenda Kedua
Lagenda seterusnya menyebut bahawa tapak asal ibukota negara ini terletak di Biara Vieng Sa di daerah Vieng Sa di negeri Surat Thani kini.
Tembok kota ini dibangunkan di daerah Khura Puri di negeri Phang Nga. Dalam lagenda ini, dijelaskan bahawa Phra Oṃ Śrī Dharmāśokarāja adalah seorang Brahmin yang asalnya bergelar Mālī. Baginda berpindah dengan menaiki kapal bersama beratus-ratus ribu pengikut dan mendarat di Segenting Kra. Mereka melarikan diri sebab mengelakkan peperangan di negeri asal mereka di benua kecil India. Mereka membawa seluruh isi kampung keluar dan membina negeri baru di Segenting Kra. Lorraine M. Gesick menyebut bahawa Phra Oṃ Śrī Dharmāśokarāja ini merupakan seorang pedagang kaya di kota Pegu di Burma.
Mereka memulakan negeri baru berdekatan dengan negeri Takuapa di sebelah barat tebing tasik selepas mereka turun dari tongkang-tongkang mereka. Upacara pertabalan Hindu lengkap dengan abhiseka dijalankan untuk Brahmin Mālī dilantik menjadi seorang Brahmakshatria bergelar, Phra Oṃ Śrī Dharmāśokarāja. Adinda baginda, Mālā dilantik menjadi Mahā Uparaja atau pemangku. Negara tersebut diasaskan menurut perundangan tamadun Hindu. Mereka turut membawa masuk Phra Danta Dhatu (gigi Buddha Gautama) untuk disimpan di candi negara.
Sebelum sempat siap kota dan tembok negara mereka, negara mereka diserang oleh orang. Mereka terpaksa lari meninggalkan kampung-kampung dan kota. Mereka menyusuri aliran Sungai Takuapa, seterusnya menyeberangi Sungai Khao Sok. Mereka memudiki tebing ibu sungai menuju ke sebelah pantai timur, masuk ke unjuran utara lantas membina semula kota di Kampung Namrop, sekitar daerah Phumpin di negeri Surat Thani.
Persekitaran di situ kurang baik untuk mereka tinggal. Udara, air dan tanah di situ pun tidak sesuai dengan mereka. Habis mereka terkena penyakit. Mereka pun berpindah ke sebelah barat daya di kaki Bukit Jawa dan di Terusan Tasik Sinpun dalam daerah Khlong Thom di negeri Krabi. Di situ pun, masalah yang sama berulang kembali. Mereka tidak berjumpa tempat yang sesuai dan terpaksa berpindah randah. Di Kampung Sieng Srah pun tidak sesuai.
Terakhir sekali, di sebelah pantai timur barulah mereka bertemu tapak negara yang sesuai bersama sungai untuk sumber air. Tanah-tanah di situ sesuai untuk pertanian. Mereka membuka kota dan membina tembok-tembok untuk melindungi kota diraja serta membina candi untuk menjadi singgahsana bahan-bahan keagamaan dan tradisi Buddha.
Lagenda Ketiga
Negara ini pun maju perdagangannya. Nama keluarga Śrī Dharmāśokarāja menjadi harum dan dipahat di batu bersurat kerana kegemilangan negara mereka.
Lagenda menyebut bahawa keluarga diraja negara ini pernah menempuhi masalah di Lembangan Chao Phraya ketika air sungai banjir sebelum berpindah lebih ke selatan. Di samping itu, mereka pernah mengangkat sumpah untuk setia bersama dengan dinasti U-Thong dari negara Sri Ayutthaya.
Menurut janji sumpah setia mereka, mereka akan saling bantu-membantu ketika kecemasan dan kedaulatan negara mereka adalah hak bersama. Ibukota mereka pun ditetapkan, biarlah sama seperti dulu, di Lopburi.
Kesimpulan
- Keluarga diraja berketurunan India dan bukan penduduk asal di situ.
- Mereka berpindah bersama keluarga dan pengikut membuka negeri baru.
- Mereka berjati Brahmin dan mengikut tradisi Brahmin walaupun menganut ajaran Buddha.
- Gelaran Śrī Dharmāśokarāja ini merupakan gelaran untuk raja-raja pemerintah di situ.
- Candi Prasad Brahma Dhatu yang dibangunkan oleh pemerintah negara ini penting untuk pengkajian sejarah di selatan Thailand.
Keluarga diraja ini merupakan antara keluarga diraja Brahmakshatria yang tertua di dunia. Negara ini pernah muncul sebagai salah satu empayar teragung di Indochina.
Negara-kota dibangunkan secara terancang, dengan negara ini dikelilingi oleh 12 buah negara-kota lain. Negara-kota ini semua diberi lambang 12 ekor binatang seperti pada tahun-tahun Cina. Ia dikenali sebagai 12 Kota Naksat. Semua negara-kota ini saling berhubungan dengan negara Dharmaraja. Terdapat ketika juga, mereka saling berperang. Ketika yang lain pula, mereka saling melindungi ketika diserang musuh-musuh dari luar.
Candi agung Brahma Dhatu di pantai Sai Kaew merupakan tempat bersejarah yang menyimpan bahan-bahan sejarah negara.
Rujukan-Rujukan
Gesick, Lorraine. In the Land of the Lady White Blood: Southern Thailand and the Meaning of History.
Kitagawa, Joseph. The Religious Traditions of Asia: Religion, History and Culture.